KeADILan Yakini Kemampuan Presiden PAS

TANAH MERAH,  - Ketua Pemuda KeADILan, Ezam Mohd Nor menaruh keyakinan penuh terhadap kemampuan PAS, khususnya kebijaksanaan Presiden parti itu, Dato' Fadzil Mohd Noor menangani isu perpaduan Melayu bersama Umno.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh penyokong-penyokong Barisan Alternatif (BA) supaya tidak mudah melatah dengan perangkap media yang mempergunakan sepenuhnya isu itu untuk memecahkan kesatuan BA. Kata beliau, walaupun KeADILan menolak pelawaan pemimpin Umno, namun pemimpin parti itu meyakini kemampuan PAS berhubung isu tersebut.

Beliau percaya, sebagai pemimpin berpengalaman dalam sepak terajang politik Umno, Dato' Fadzil tentunya akan menggunakan pengalaman beliau untuk duduk semeja bersama pemimpin Umno. "Saya nasihatkan seluruh para penyokong kita dalam BA supaya tidak terpedaya dengan putar belit media yang berterusan memainkan isu tersebut untuk melaga-lagakan antara pimpinan atasan dalam BA.

"Kita mesti menaruh keyakinan kepada pucuk pimpinan, jangan sekali-kali kita meragui keupayaan pucuk pimpinan dalam menangani isu perpaduan Melayu ini," katanya di majlis ceramah perdana Pemuda KeADILan di Kampung Dumis, Bukit Panau, dekat sini.

Ezam bagaimanapun melahirkan rasa kesal kerana masih ramai ahli-ahli bawahan menerima bulat-bulat laporan media pengampu kerajaan. Tambah beliau, sepatutnya penyokong BA memberi perhatian terhadap salah guna kuasa dan penyelewengan pemimpin BN, bukannya mempersoal apa jua keputusan pucuk pimpinan parti.

"Dalam hal ini saya tegaskan, kalau pun mereka (Fadzil dan Dr Mahathir) berjumpa, secara peribadi saya amat yakin kebijaksanaan dan keupayaan Presiden PAS dalam menangani isu perpaduan," katanya.