Tabung Haji jangan monopoli - Nik Aziz

 

KOTA BHARU, 18 Feb (Hrkh) - Lembaga Tabung Haji diminta lebih fleksibel bagi mengendalikan urusan jemaah haji dan bukannya mengenakan syarat rakyat yang hendak menunaikan haji hanya melalui agensi itu sahaja.

Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mempersoalkan mengapa Tabung Haji hendak bersikap monopoli dengan mengawal urusan jemaah haji.

"Orang yang tidak mahu menggunakan perkhidmatan Tabung Haji tentunya sebab mereka berbuat demikian. Saya sendiri pernah merasainya dan orang lain pun tahu juga," katanya.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato' Dr Abdul Hamid Othman dipetik sebagai berkata, seramai 12 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia akan ditempatkan di pintu masuk di Jeddah dan Madinah bagi mengesan jemaah haji yang pergi ke tanah suci melalui agensi yang tidak sah.

Menurutnya, pegawai berkenaan akan mengesan rakyat Malaysia yang menggunakan pasport antarabangsa dan bukan pasport yang dikeluarkan Tabung Haji.

Menteri Besar berkata, bukan caranya dengan menggunakan undang-undang yang keras bagi menyelesaikan perkara itu.

"Berilah sedikit kelonggaran kepada syarikat-syarikat lain untuk mengendalikan jemaah haji....barulah jemaah haji ada pilihan," katanya.

Bagaimanapun tambahnya, rakyat yang hendak menunaikan ibadat haji menggunakan visa umrah tidak boleh kerana ia akan mengganggu urusan kerajaan Arab Saudi dan Malaysia.

"Tetapi kalau hendak 'control' orang pergi menunaikan haji dengan Tabung Haji sahaja saya tidak boleh terima.

"Begitu juga dengan rakyat Kelantan pergi ke Makkah melalui Thailand kerana tambangnya lebih murah. Tak kan hendak guna tambang mahal sedangkan yang murah ada," ujarnya.

Menurutnya, sikap monopoli Tabung Haji bagi mengendalikan urusan jemaah tidak wajar sama sekali.

Sementara itu, bakal-bakal haji yang dihantar pulang setelah berada di Makkah mendakwa kemungkinan terdapat campurtangan pihak-pihak tertentu menyebabkan mereka dihantar pulang oleh kerajaan Arab Saudi.

Mereka mendakwa sebelum ini dapat menunaikan ibadat dengan sempurna tanpa sebarang gangguan memandangkan mempunyai visa haji yang dimohon melalui kedutaan di Arab Saudi.

Seorang jemaah yang terbabit dengan penghantaran pulang itu, Zamiyah Mamat, 63 dari bukit Merbau, Pasir Puteh berkata, sebelum ini dia bebas ke mana sahaja dan pihak berkuasa Arab Saudi tidak pernah mengganggu.

Beliau bersama 363 jemaah haji dari negara ini ditahan kerajaan Arab Saudi kerana tinggal di tanah suci melebih tempoh visa umrah dan dihantar pulang baru-baru ini.

"Walau bagaimana pun kami bersyukur kerana telah sampai ke rumah dan dapat berjumpa dengan anak-anak," katanya.

Beliau juga berharap pihak yang bertanggungjawab mengembalikan barang-barang yang dibeli ketika berada di Makkah.

Menurut beliau pemergiannya ke tanah suci menggunakan agensi swasta disebabkan tambang lebih murah berbanding Tabung Haji.

Beliau memberitahu tidak akan serik untuk ke Makkah dan berazam akan ke tanah suci lagi menggunakan agensi swasta pada masa akan datang.