Wan Abdul Aziz Wan Mahmud

Perpaduan: Helah Untuk Tarik Sokongan

KOTA BHARU, 7 Jan (Hrkh) - Parti KeADILan Nasional Kelantan menyifatkan tindakan Umno yang terus mengguna isu perpecahan bangsa Melayu tidak lebih sebagai taktik murahan parti itu untuk menarik sokongan rakyat.

Anggota parlimen Kota Bharu, Haji Ramli Ibrahim, berkata pemimpin Umno yang menyedari bahawa parti itu semakin kehilangan sokongan daripada orang-orang Melayu beragama Islam akan mengguna pelbagai helah demi kepentingan mereka sendiri.

Beliau yang juga ketua KeADILan Kota Bharu mempersoal kejujuran pemimpin Umno apabila menyeru parti pembangkang duduk semeja membincangkan soal perpaduan bangsa melayu. Sehubungan itu beliau yakin rakyat tidak mudah terpedaya dengan taktik terbaru Umno untuk menarik kembali sokongan rakyat terhadap Umno.

"Yang berpecah dia.. berlaku dalam rumah dia, tapi dia beritahu orang lain berpecah juga.. ini kita tidak boleh terima sebab rumah kita sudah molek dah.. kita bersatu comel sungguh, bukti di Lunas baru ni.. tidak pernah terjadi orang melayu dan orang Islam bersatu sebegitu erat.

"Jadi hak berpecahnya siapa, kenapa dia berpecah dia nak kait dengan rumah kita, mukadimahnya sudah tidak betul, jadi kalau hak pertama sudah tidak betul, hak kedua dan ketiga seterusnya tidak betul juga, jadi soal perpaduan, nak berpakat semula ni sudah tidak menjadi masalah sebab kita sudah berpakat," katanya di majlis hari raya anjuran KeADILan Kelantan di sini kelmarin.

Turut hadir di majlis itu Ketua KeADILan Kelantan, Ustaz Muhamad Mustafa. Justeru itu Ramli menasihatkan barisan kepimpinan Barisan Alternatif supaya berwaspada dengan taktik Umno sebelum mengadakan sebarang perbincangan.

"Sebenarnya perkara ini tiada kena mengena dengan kita, sebab punca sebenarnya daripada parti.. mereka yang berpecah, sebab itu kini mereka dalam keadaan terdesak," tambahnya.