LATAR BELAKANG NEGERI KELANTAN

    Negeri Kelantan terletak di bahagian Timur Laut Semenanjung Malaysia
dengan keluasan kira-kira 14,922 km persegi dan jumlah penduduk adalah
seramai 1,484,076 orang dalam 1998. Dari segi pentadbiran, negeri Kelantan terbahagi kepada sepuluh jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh, Bachok, Kuala Krai, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang.
Majoriti penduduk ialah Melayu. Kegiatan ekonomi utama penduduk Kelantan ialah dalam bidang pertanian.

    Menurut cerita dahulu kala, nama Kelantan dipadankan dari perkataan "gelam hutan" (melaleuca leucadention) iaitu sejenis pokok paya yang terdapat di negeri ini.  Selain itu, ada juga yang menyatakan bahawa nama Kelantan diambil dari perkataan 'kilatan' iaitu cahaya yang memancar dari pancaran kilat.  Sementara itu berdasarkan catatan sejarah, dalam abad ke-5 masihi, sejarahwan Cina, Shen-Yao (414-512) dalam Sung Shunya sudah mencatat nama Ho-lo-tan atau Kuo-lo-tan sebagai sebuah ibu kota di Semenanjung Tanah Melayu.  Daripada sebutan itu, ia mempunyai bunyi sebutan yang seakan-akan atau hampir dengan nama Kelantan.

Negeri Kelantan terkenal dengan nama Tanah Serendah Sekebun Bunga dan juga Serambi Mekah.  Gelaran Serambi Mekah diberikan kepada Kelantan kerana sejarah negeri tersebut yang menunjukkan bahawa sejak dari dahulu lagi telah wujud pondok-pondok bagi pengajian agama Islam dan juga tempat tokoh-tokoh agama berhimpun bagi menuntut dan mempelajari Islam.  Dari situ lahir pusat-pusat pengajian pondok dan juga ulama'-ulama' terkenal seperti Tok Kenali, Tok Selehor, Tok Haji Nik Mat dan lain-lain lagi.