Isu Tanah Kesultanan Perkara Lama - MB

KOTA BHARU, 30 Jan - Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menjelaskan isu tanah kesultanan perkara lama yang berlarutan sejak kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Dato' Ishak Lutfi.

Katanya, isu itu berbangkit pada tahun 1970-an, yang berpunca pengambilan tanah kepunyaan sultan dan kaum kerabatnya di persekitaran Istana Balai Besar di bandar, untuk tujuan pembangunan.

"Sewaktu saya menjadi menteri besar, persoalan ini diangkat kembali melalui satu memorandum yang dibawa oleh pihak pegawai tinggi kerajaan. "Saya memaklumkan kepada mereka hal ini akan cuba diselesaikan oleh kerajaan negeri sekarang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Teks sidang akhbarnya dibaca oleh Setiausaha Akhbarnya, Ustaz Mohd Fauzi Zakaria. Menteri Besar berkata, beliau meminta Timbalan Menteri Besar, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman mewujudkan sebuah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh beliau sendiri (TMB). Jawatankuasa tersebut turut dianggotai anggota-anggota Exco, Ustaz Mohamed Daud dan Takiyuddin Hassan serta pegawai tinggi kerajaan.

"Melalui beberapa perbincangan yang dibuat, kerajaan berharap akan dapat mencari penyelesaiannya. "Bagaimanapun saya dukacita kerana hal ini telah diperbesar-besarkan begitu rupa semacam ianya sahaja dijadikan isu kerana Kelantan sudah lama tidak ada isu. "Saya memohon agar semua pihak memberi kerjasama dan tidak saling memburukkan keadaan," katanya.

Baru-baru ini, akhbar melaporkan istana Kelantan menarik balik darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada dua Exco kanan, iaitu Ustaz Mohamed Daud dan Takiyuddin dipercayai kerana membantah permohonan tanah oleh pihak istana di Hulu Kelantan.

Menurut sumber yang dipetik dari akhbar berkenaan, kemuncak rasa tidak puas hati pihak istana apabila anggota Exco kerajaan Kelantan membantah permohonan tanah istana Kelantan yang dibuat mengikut peruntukan khas 'The Sultanate Land'.

Menurut laporannya, jawatankuasa tersebut mengenalpasti beberapa ribu hektar tanah milik kerajaan negeri untuk ditukar status kawasan Diraja menerusi 'Sultanate Land'. Bagaimanapun sumber yang diperolehi Harakahdaily.com memberitahu isu 'Sultanate Land' dianggap sudah selesai apabila berlaku pertukaran tanah milik kerabat di Bulu Kubu ditukar dengan tanah di Kubang Kerian untuk pembinaan istana negeri.

Katanya, tanah di kawasan istana lama di Balai Besar hanya sekitar 10 ekar ditukar dengan tanah seluas 60 ekar yang dibeli kerajaan negeri daripada rakyat di Kubang Kerian. "Sultan yang menduduki takhta ketika itu sudah mempersetujui perkara tersebut, apabila pihak baginda meminta istana baru dibina.

"Kerajaan negeri ketika itu sudah membuat keputusan membina istana baru di Kubang Kerian sebagai pertukaran dengan Sultanate Land di kawasan bandar," kata sumber tersebut.

Oleh itu, beliau berkata, adalah tidak wajar lagi isu sultanate land ditimbulkan kembali, sehingga ada memorandum diserahkan kepada kerajaan negeri sekarang. Sementara itu, orang ramai di negeri ini melahirkan rasa kesal di atas kenyataan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato' Wan Muhamad Wan Konok yang mempertikaikan keptusan kerajaan negeri melantik Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) daripada kalangan Adun.

Bekas Guru dari Selising, Daud Zakaria berkata sebagai seorang pegawai kanan kerajaan, Wan Muhamad tidak sepatutnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyentuh mengenai dasar kerajaan negeri. "Pegawai terbabit bernasib baik kerana berada di bawah kerajaan PAS, jikalau kerajaan Umno sudah tentu dia akan dinasihatkan supaya letak jawatan," katanya.

Beberapa pegawai kerajaan yang ditemui turut melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindak tanduk Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) seolah-olah cuba menonjolkan diri sendiri.

Hassan Dolah, 40 seorang peniaga berkata, beliau tidak berpuas hati terdapat seorang pegawai kanan yang tidak mampu melaksanakan tugas sebagaimana dikehendaki kerajaan negeri.

Baru-baru ini, ketika sidang akhbar di Istana Balai Besar, Wan Mohamad mempertikaikan keputusan kerajaan negeri melantik Adun Wakaf Baru, Haji Ramli Abu Bakar sebagai YDP MPKB.

Manakala dalam perkembangan lain, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berharap semua pihak dalam parti berhenti membuat kenyataan media berhubung isu penarikan balik darjah kebesaran.

"Saya nasihatkan semua pihak tidak lagi membuat sebarang kenyataan media. "Ini kerana saya tidak nampak isu yang berbangkit boleh selesai melalui media masa dan semua pihak hendaklah memberi peluang kepada kerajaan untuk menyelesaikan sendiri isu berkenaan," katanya.

Menurutnya, kenyataan media hanya boleh dibuat selepas diarah oleh ketua parti. Bagaimanapun beliau berkata, larangan mengeluarkan kenyataan mengenai isu berkenaan tidak tertakluk kepada ceramah-ceramah anjuran parti.