Kabinet Baru Tidak Mampu Pulihkan Umno

KOTA BHARU, 18 Jan (Hrkh) - Pelbagai pihak di negeri ini menyifatkan rombakan baru kabinet yang dilakukan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad, masih tidak mampu untuk menarik sokongan rakyat terhadap Umno. Malah, muka-muka baru yang ditampilkan tidak begitu mengejutkan dan sudah lama dijangka rakyat.

Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, apakah kabinet baru mampu merentasi usaha-usaha ke arah perpaduan dicanangkan Umno. "Terserahlah kepada mereka sama ada mampu menyesuaikan diri dengan perpaduan yang diperkatakan sekarang," katanya selepas majlis Aidil Fitri bersama wartawan di sini, hari ini.

Menurutnya, rakyat sekarang bukan lagi berada di zaman lama yang tidak berani menyuarakan hak mereka. Katanya, rakyat sekarang sudah berani memprotes kerajaan termasuk mengadakan demontrasi di jalan-jalan raya. Sehubungan itu, beliau berpendapat kabinet baru yang dibentuk harus disesuaikan dengan perpaduan rakyat.

Semalam, Dr Mahathir mengumumkan kabinet baru dengan menampil empat muka baru iaitu Dato' Abdul Hamid Zainal Abidin sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri menggantikan Dato' Dr Abdul Hamid Othman yang meletak jawatan. Setiausaha Kerja Umno, Dato' Tengku Adnan Tengku Mansor pula dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP), Dato' M Kayveas pula dilantik Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Manakala bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Dato' Zainuddin Maidin dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Penerangan. Dato' Shahrizat Abdul Jalil pula dinaikan pangkat menjadi Menteri Hal Hal Ehwal Wanita.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan melahirkan rasa canggung terhadap kewujudan Kementerian Hal Ehwal Wanita, di mana kemungkinan ada pihak akan mempersoalkan mengapa pula tidak diwujudkan Kementerian Hal Ehwal Lelaki atau Kementerian Hal Ehwal Kanak-kanak.

Bagaimanapun beliau berharap dengan pelantikan muka-muka baru dalam kabinet Dr Mahathir dapat membantu memberi manfaat kepada pentadbiran Kelantan. "Tidak patut sekali Kelantan dilayan tidak sama seperti yang dilakukan kepada negeri-negeri lain," tambahnya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan berkata, tidak perlu wujud satu portfolio khas mengenai wanita, kerana dalam Islam semua jantina dipandang sama. Katanya, Islam tidak membezakan di antara lelaki dan wanita kerana mereka mempunyai peranan dan tanggungjawab sama kepada agama dan negara.

Beliau juga berpendapat pelantikan Abdul Hamid sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak mungkin dapat menyumbangkan sesuatu yang lebih bermakna kepada Umno memandangkan jawatan itu sudah menjadi streotaip kepada mereka menjadi Ketua Pengarah Pusat Islam.

"Tidak banyak kejayaan yang dilakukan bekas Ketua Pengarah Pusat Islam lalu, Dr Abdul Hamid Otman sehingga dia terpaksa meletak jawatan, baru-baru ini. "Namun sekarang tokoh dari jabatan yang sama pula dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri," katanya.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Annual Bakhri Haron berkata, pelantikan muka-muka baru dalam kabinet Dr Mahathir tidak mampu menarik sokongan rakyat yang sudah beralih kepada Barisan Alternatif (BA). Katanya, pelantikan itu bukan sesuatu yang mengejutkan dan tidak mungkin mampu memberi keyakinan baru kepada kerajaan BN.

Menurutnya, rakyat sudah kenal siapa muka-muka baru yang dilantik dan mempunyai senario politiknya tersendiri. "Pelantikan tokoh-tokoh baru dalam kabinet Dr Mahathir tidak memperlihatkan ruang untuk memulih semula kekuatan Umno kerana pemimpin yang benar-benar berwibawa tidak diketengahkan," katanya.

Beliau juga melihat pelantikan Presiden PPP sebagai anggota kabinet baru, seolah-olah Umno tidak lagi menaruh keyakinan terhadap perjuangan MIC yang banyak membantu BN sebelum ini. Menurutnya, pelantikan itu kemungkinan akan menimbulkan pergolakan baru dalam BN, di mana pemimpin MIC yang sudah lama bersekongkol dengan Umno tentunya tidak akan duduk diam.

"Secara umumnya, pelantikan muka baru dalam kabinet kerajaan BN sekarang tidak mampu menghalang sokongan moral penghijrahan lebih ramai lagi orang Melayu dan bukan Islam menyertai BA," katanya.

Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ustaz Mohd Fauzi Zakaria pula merakamkan tahniah kepada Zainuddin yang dilantik sebagai Setiausaha Parlimen baru. Bagaimanapun beliau berharap pelantikan itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memberi ruang kepada perjuangan rakyat, menyuarakan hak mereka.

Katanya, Zainuddin perlu memperjuangkan kebebasan akhbar sepenuhnya termasuk membenarkan akhbar bukan pro BN mendapatkan permit untuk melunasi proses demokrasi di negara ini.