Keloil melabur di luar negara

KOTA BHARU, Dis (Hrkh) - Keloil Sdn Bhd sebuah syarikat yang terbabit secara langsung dalam industri petrokimia di Kelantan kini mengembang operasinya dengan melabur di luar negara.

Keloil merupakan anak syarikat kepada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) kini sedang meneroka industri berkaitan petroleum di Pakistan. Keloil mendapat tawaran untuk menyiapkan terminal LPG di Port Qasim, Karachi, Pakistan secara 'turn-key'.

Projek tersebut akan dikendalikan anak syarikat Keloil iaitu Keloil Pakistan Pvt Ltd. Ekoran itu, Keloil melantik sebuah syarikat dari Australia Barat, Process Control Technology (PCT) sebagai kontraktor utama bagi menyiapkan pembinaan terminal tersebut.

Baru-baru ini, perjanjian di antara Keloil dan PCT diadakan di pejabat Timbalan Perdana Menteri Australia Barat, Mr Hendy Cowan Mla yang juga memerangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Pembangunan Wilayah, dan Perniagaan Kecil Australia Barat.

Keloil diwakili Ketua Eksekutif Keloil Sdn Bhd, Wan Zulkefli Wan Yusoff dan Pengarah Keloil, Mohd Nor Yusoff menandatangani perjanjian tersebut.

Manakala PCT diwakili pengarahnya, Garry Napier dan Pengurus Besar PCT, Bruce Phillips.

Hadir sama menyaksikan perjanjian tersebut Timbalan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman selaku Pengerusi Keloil dan anggota Exco, Takiyuddin Hassan.

Perjanjian itu turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri Australia Barat.

PCT merupakan syarikat antarabangsa yang bergiat cergas dalam bidang pembinaan, prosesan batu batan, minyak, gas dan petrokimia.

Projek pembinaan terminal gas di Karachi membabitkan kos RM90 juta (USD 23.5 juta). PCT juga menjadi 'equity partner' kepada Keloil Pakistan Pvt Ltd