Kias Lahirkan Pemimpin Islam Berdinamik

KOTA BHARU, 11 Jan (Hrkh) - Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) akan mempergiatkan program berbentuk kemasyarakatan melibatkan pelajar-pelajar kolej itu menerusi motto 'memasyarakatkan Kias'.

Pengerusi Akademi Yakin Sendirian Berhad (AYSB), Dato' Abdul Razak Salleh berkata, mulai tahun ini tumpuan akan diberikan terhadap program bersama masyarakat. Katanya, ia selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang ingin melihat pelajar kolej itu mampu menjadi pemimpin dan pendakwah terlatih apabila mereka menamatkan pengajian kelak.

Menurut beliau, harapan tinggi itu tidak akan tercapai, seandainya pelajar tidak didedahkan dengan pelbagai kegiatan di luar kampus kerana ia mampu memberi pengalaman berguna kepada mereka sebelum berdepan dengan suasana sebenar nanti.

"Pelajar kolej ini haruslah bergerak cergas, aktif dan dinamik, sentiasa berfikiran kritis dan kreatif serta sentiasa bersedia untuk menghadapi pelbagai cabaran masa depan. "Ia selaras dengan cita-cita kolej untuk melahirkan masyarakat profesional yang berwibawa dan pendakwah yang mampu menyebarkan Islam sebagaimana mereka pelajari di kolej ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena majlis Hari Raya Aidil Fitri bersama kakitangan dan pelajar-pelajar Kias di sini semalam. Hadir sama di majlis itu Pengerusi Pengelola Kias, Ustaz Yahya Othman, Ketua Eksekutif, Haji Mohd Nawawi Mahmood dan anggota parlimen Pengkalan Chepa, Ustaz Mohd Amar Abdullah.

Menurut Dato' Razak, pihak pentadbiran Kias akan memastikan pelajar kolej itu tidak hanya berinteraksi sesama sendiri, bahkan mereka sentiasa berhubung dengan masyarakat. Selain itu katanya, persatuan pelajar turut digesa memain peranan aktif dan bergiat cergas menganjurkan program berbentuk kemasyarakatan termasuk melibatkan masyarakat bukan Islam.

Sementara itu Ustaz Yahya Othman berkata, perkembangan fizikal di Kias kian terserlah apabila sebuah bangunan baru dibina berhampiran kampus sedia ada yang turut mengandungi sebuah bangunan asrama yang boleh menampung lebih 300 pelajar. Selain itu katanya, sebuah lagi bangunan asrama yang mampu menampung 360 pelajar dijangka siap selewatnya Jun depan sebelum pengambilan pelajar baru sesi 2001/02.

Kias yang sebelum ini dikenali sebagai Maahad Dakwah Wal-Imamah kini menawarkan tiga bidang pengajian berbanding hanya satu sebelum ini iaitu pengajian Dakwah, Usuluddin dan Syariah.