Kitar Semula: Pusat Pinggirkan Kelantan, Terengganu

TANAH MERAH, 10 Jan (Hrkh) - Kerajaan Kelantan kecewa dengan tindakan kerajaan Pusat yang meminggirkan negeri ini dalam beberapa projek untuk kemudahan rakyat bagi Rancangan Malaysia Kelapan (RM-8).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Sains dan Teknologi, Ustaz Ahmad Ya'kub berkata, program kitar semula yang termasuk dalam RM-8 tidak disenaraikan bagi Kelantan dan Terengganu. Katanya, peruntukan untuk program itu sepatutnya melibatkan semua negeri. Menurut beliau, pihak Pusat sepatutnya berlaku adil kerana program itu melibatkan kepentingan awam terutama di bandar besar seperti Kota Bharu.

"Kita kecewa kerana terdapat beberapa program seperti kitar semula yang melibatkan pihak berkuasa tempatan disisih kerajaan persekutuan. "Di Kota Bharu contohnya, kita menghadapi masalah kawasan pelupusan sampah, di mana tempat sedia ada sudah penuh, sebab itu kerajaan negeri amat berharap peruntukan untuk program kitar semula turut diberi kepada Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat di majlis Angkat Sumpah dan Penerimaan Watikah perlantikan sebagai ahli Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM) di sini, hari ini. Hadir sama di majlis itu anggota exco, Ustaz Abdullah Ya'kub, Yang Dipertua MDTM, Haji Shafie Ismail, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ustaz Mohd Fauzi Zakaria dan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Roslan Ahmad.

Ustaz Ahmad juga berkata, mulai tahun ini semua anggota majlis-majlis daerah negeri ini akan dinilai melalui Penilaian Prestasi Tahunan bertujuan menilai prestasi seseorang ahli majlis yang dilantik. "Ia juga bertujuan meningkatkan keupayaan dan kesungguhan bekerja di kalangan ahli, agar mereka sedar bahawa perlantikan mereka merupakan suatu tanggungjawab yang mesti dilaksana secara amanah," tambahnya.

Yang Dipertua MDTM, Haji Shafie Ismail pula berkata, MDTM turut menghadapi masalah tunggakan cukai yang tidak dibayar, sehingga ini lebih RM2 juta hasil masih tertunggak. "Kita hanya berjaya mengutip sebanyak 60 peratus daripada jumlah hasil yang sepatutnya diperolehi dan kita akan cuba cari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah bersama-sama ahli yang baru dilantik," katanya.