Perhimpunan Bantah Makan Malam PTN: Pemuda PAS Desak Polis Siasat

 

KOTA BHARU: 15 Okt, Hrkh: Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan Takiyudin Hassan mendesak pihak polis supaya menyiasat dengan terperinci perhimpunan rakyat kerana membantah nyanyian dan tari menari yang diadakan di Majlis Makan malam sempena ulang tahun ke-50 Pegawai Tadbir Negeri PTN malam tadi.

 

Katanya sepatutnya pihak polis tidak boleh bertindak terhadap rakyat yang mengadakan perhimpunan tersebut tapi sebaliknya pihak berkuasa harus bertindak kepada kedua-dua pihak kerana PTN yang menganjurkan majlis tersebut juga tidak membuat permohonan permit dengan mana-mana penguasa tempatan.

 

Takiyudin juga menafikan ada laporan sebuah media pro kerajaan yang menyatakan perhimpunan yang berlaku itu atas kebenaran pihak kerajaan negeri Kelantan dan menganggap akhbar tersebut sengaja memutarbelitkan isu untuk menimbulkan anggapan buruk kepada kerajaan negeri pimpinan PAS ini.

 

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini bagi pengesahan penahanan reman tiga pemuda PAS yang ditangkap polis malam tadi kerana disyaki sebagai pengajur pehimpunan haram disini malam tadi. Mereka yang ditahan tersebut direman selama 5 hari untuk siasatan.

 

Katanya perhimpunan tersebut tidak dirancang oleh mana-mana pihak dan ianya mungkin berlaku dengan kesedaran rakyat Kelantan sendiri yang tak suka dengan hiburan dan tambahan pula mereka tahu bahawa undang-undang di Kelantan tidak membenarkan majlis yang berbentuk hiburan seperti itu diadakan.

 

Katanya, mengikut undang-undang Enakmen Kawalan Hiburan 1998, ia tidak membenarkan mana-mana pihak sama ada pertubuhan atau pun individu yang ingin menganjurkan majlis yang berbentuk hiburan tanpa mendapat permit daripada pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu MPKB atau pun Majlis Daerah yang mana tempat hiburan tersebut mahu diadakan.

 

Ditanya adakah Pemuda PAS yang terlibat yang mengajurkan perhimpunan tersebut, beliau berkata bukannya para penyokong dan pemuda PAS yang terlibat dalam perhimpunan tersebut, malah setiap rakyat Kelantan tidak mahu majlis yang berbentuk hiburan seperti itu diadakan.

 

"Jikalau mana-mana pihak menuduh Pemuda PAS yang menganjurkan majlis tersebut, ia amatlah tidak betul dan saya sebagai Ketua Pemuda PAS Kelantan menafikannya kerana perhimpunan seperti itu sesiapa saja boleh menyertainya sama ada orang yang lalu lalang disitu atau pun sebaliknya.

 

"Saya difahamkan ramai ahli jemaah yang kebetulan turun dari masjid atau madrasah berdekatan yang turut menyertai kumpulan tersebut.

 

"Mungkin juga mereka yang menyertai perhimpunan itu bukanlah niatnya hendak mengadakan tunjuk perasaan tapi disebabkan mereka tengok orang ramai dan mungkin mereka berhenti untuk melihat apakah perkara yang berlaku disebaliknya tetapi telah disalah angap oleh pihak-pihak tertentu," katanya.

 

Yang dipertua Majlis Perbandaran Kota Bharu MPKB, Ramli Abu Bakar ketika ditemui memberitahu pihak MPKB tak pernah menerima sebarang permohonan pun dari pihak Pegawai Tadbir Negeri (PTN) yang ingin mengadakan majlis makan malam sempena ulang tahun ke-50nya itu.

 

"Jikalau mana-mana permohonan yang diselitkan dengan hiburan kita akan batalkan serta-merta kerana mengikut Enakmen Kawalan Hiburan 1998 No.6 (1) menyatakan tiada seorang pun boleh mengadakan hiburan di mana-mana tempat sama ada di kediaman sendiri atau di tempat awam.

 

"Jikalau seseorang atau pertubuhan atau Jabatan yang melakukan serta sabit kesalahan tersebut boleh didenda tidak lebih dari dua puluh ribu ringgit atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

 

Ramli juga menjelaskan, Enakmen Hiburan Negeri Kelantan no. 8 Pindaan 1998 seksyen 19 (1) telah memberi kuasa kepada mana-mana pegawai polis yang berpangkat Inspektor dan ke atas serta mana-mana orang yang diberi kuasa boleh memasuki mana tempat-tempat hiburan tanpa waran dan jikalau didapati menyalahi undang-undang mereka boleh memberhentikan majlis yang diadakan itu dengan serta merta dan pihak berkuasa juga boleh memeriksa dan menyiasat apa-apa dokumen yang difikirkan perlu oleh Pegawai atau orang yang diberi kuasa itu.

 

Tapi jelas di sini pihak polis yang menjalankan kuasa tidak mampu menjalankan undang-undang seperti yang diperuntukkan, sebaliknya mereka menangkap rakyat yang lemah sahaja, katanya.

 

"Sepatutnya dengan peristiwa malam tadi pihak polis harus membatalkan majlis yang dianjurkan oleh PTN itu kerana kesalahan tak mempunyai permit dan tisak membenarkan majlis tersebut berlangsung," kata Haji Ramli.