Minda Pengarang:12-18 Nov. 2000

 

PERMIT POLIS: PERHIMPUNAN HARAM ATAU HALAL?

 

Perhimpunan Aman sekarang sudah ditukar istilahnya kepada perhimpunan haram. Sejak berakhirnya pilihan raya umum November 1999 lalu, gerakan reformasi dan program ceramah parti dari Barisan Alternatif semakin terhimpit oleh penggunaan kuasa yang berleluasa dan berlebihan oleh pihak kerajaan barisan nasional melalui satu institusi penguatkuasaan undang-undang kerajaan iaitu POLIS. Di seluruh negara, termasuk Kelantan sendiri sebagai sebuah kerajaan negeri, PAS dan Keadilan dihimpit dengan situasi tersebut. Di negeri pantai barat, Melaka, Selangor, Negeri Sembilan dan lain-lain negeri, institusi Polis digunakan untuk menyekat penyebaran maklumat (ceramah) oleh parti pembangkang. Permit tidak dikeluarkan walaupun permohonan dibuat, dan ada yang sudah dikeluarkan tetapi tiba-tiba ditarik balik. Di Kelantan, sering berlaku program ceramah terpaksa dipindahkan menjadi program Urusetia Penerangan Kerajaan apabila polis tidak mengeluarkan permit. Paling terkini, YAB Menteri Besar Kelantan mengalami situasi tersebut di negeri Selangor. Ini kes kedua selepas beliau disekat dari memberi ceramah di surau dan masjid di Selangor oleh JAIS. Kes terbaru ini berlaku pada 9 November lalu, apabila beliau  menerima jemputan berceramah di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri YB Khir Toyo. Ceramah beliau telah dihalang oleh 4 buah trak FRU dan khabarnya Tok Guru hanya sempat membaca doa sahaja. Tok Guru keluar dari kawasan tempat ceramah tersebut melalui jalan kampung setelah FRU mengugut akan mengambil tindakan jika ceramah diteruskan. Nasib Tok Guru sama seperti  mula-mula beliau terlibat sebagai penceramah PAS di masa dahulu, apabila kereta beliau sering dilontar batu oleh orang-orang yang marah kepada ceramah beliau.

 

Itulah yang berlaku sekarang. Semua perhimpunan yang melibatkan parti Barisan Alternatif adalah perhimpunan haram yang mesti dihenti dan disuraikan oleh FRU.  BA memohon permit tetapi sengaja tidak dikeluarkan atas alasan menimbulkan kekacauan supaya mudah bagi mereka mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Polis. Walaupun pada hakikatnya, perhimpunan dan ceramah BA tidak pernah menimbulkan huru-hara dan kekacauan.  Tidak pula kepada perhimpunan menyokong PM di Putra Jaya dan juga himpunan Pemuda UMNO di Dewan Perniagaan Cina Selangor, walalupun Naib Ketua mereka menunjukkan tingkah laku yang tidak beradab dan berbaur perkauman. Inilah Malaysia, perhimpunan diistilah Haram bagi BA tetapi tidak kepada BN. Soal permit tidak timbul kerana Polis sengaja tidak mahu mengeluarkan permit kepada BA. Yang mendapat keuntungan politik ialah BN, kerana mereka dihalalkan berbuat apa sahaja walaupun tiada permit, dan mereka tidak pula didakwa di bawah Akta Polis.