RM1 juta tingkatkan kebersihan bandar
Adi Putra


KOTA BHARU, 20 Dis (Hrkh) - Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) memperuntukkan hampir RM1 juta bagi mengindahkan kawasan bandar dan meningkatkan lagi sistem salirannya.

Projek tersebut akan dilaksanakan tahun depan, ke arah menjadikan Kota Bharu sebagai 'Kota Budaya' dan destinasi kunjungan ramai. Yang Dipertuanya, Haji Ramli Abu Bakar berkata, projek tersebut termasuk melibatkan kerja-kerja memperluaskan longkang bagi mengelakkan gangguan aliran air.

"Projek itu diharap dapat mengelakkan berlakunya banjir kilat ekoran aliran air tersumbat," katanya di sini. Menurutnya, sebelum ini MPKB menerima banyak aduan dari penduduk mengenai aliran air tersekat di kawasan rumah mereka semasa hujan lebat.

Sehubungan itu, Haji Ramli merakam ucapan terima kasih di atas kerjasama penduduk membangkitkan masalah tersebut dan MPKB sedang merangka program bertindak bagi mengatasi masalahnya.

Katanya, pada tahun depan operasi membersih sistem pengairan akan dilakukan di beberapa taman perumahan termasuk di Kampung Cherang, Kampung Dusun, Jalan Pekeliling, Jalan Sultanah Zainab dan Kebun Sultan. "Kawasan terbabit sebelum ini sering terjadi banjir kilat apabila hujan lebat," katanya