Ramai MT Umno Protes Dr Mahathir?

KOTA BHARU, 10 Jan (Hrkh) - Populariti Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad sebagai Presiden Umno sekarang dikatakan semakin terjejas teruk apabila ada pihak dalam parti tersebut tampil mempersoalkan kepemimpinannya. Difahamkan sudah ada di kalangan anggota Majlis Tertinggi (MT) mempersoalkan ketidakrelevan seorang pemimpin yang begitu lama berada di pundak kekuasaan.

Sumber Umno Kelantan memberitahu, peristiwa sepeprti itu berlaku pada satu pertemuan di antara Dr Mahathir dan beberapa ahli MT di Putrajaya, baru-baru ini. Beliau mendakwa, pada pertemuan tersebut beberapa MT yang sudah tidak berjawatan menteri bangkit mempersoalkan kepemimpinan Dr Mahathir yang begitu lama secara terbuka.

Katanya, mereka melihat kemerosotan teruk Umno di kalangan orang Melayu sekarang berpunca dari pemimpin yang terlalu lama berada di puncak kuasa. "Pertemuan Hari Raya itu sudah bertukar menjadi medan untuk mempersoalkan kepemimpinan Perdana Menteri, yang sebelum ini tidak dijangka boleh berlaku sedemikian. "Malah saya difahamkan beberapa MT yang lantang mengkritik sebelum ini tidak dipanggil pada pertemuan tersebut," katanya.

Dato' Shahrir Samad yang juga seorang MT pernah mengkritik secara terbuka Dr Mahathir, yang dikatakan menjadi punca kemerosotan teruk Umno terutamanya pada pilihan raya kecil Lunas, 29 November lalu. Malah ketenatan Umno semakin nyata apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Abdul Hamid Othman meletak jawatan baru-baru ini, ketika Dr Mahathir berada di Mynmar.

Sumber tersebut memberitahu, Umno akan menghadapi situasi seperti parti Golkar di Indonesia, yang tidak mampu lagi menjadi kerajaan selepas Suharto dijatuhkan. Katanya, teori yang berlaku di negara jiran tersebut tidak boleh ditolak kemungkinan berjangkit kepada Umno sekarang. Beliau juga melihat tidak ada tokoh lain yang layak untuk menerajui Umno selepas Dr Mahathir meletak jawatan atau diberhentikan rakyat, memandangkan Umno sudah berada pada tahap begitu teruk. "Sudah tidak ada tokoh yang mampu lagi memulih Umno ketika itu," katanya.

Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Anual Bakhri Haron berkata, pemimpin kanan Umno yang ada sekarang dilihat tidak mampu untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas ketiadaan Dr Mahathir. Katanya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mampu untuk memimpin negara berdasarkan kepada prestasi yang ada padanya sekarang. Menurutnya, ketokohannya setakat yang mampu dilihat sekarang, tidak mampu untuk terus menyambung tradisi Umno bagi menguasai pentadbiran negara ini pada masa akan datang. "Karismatiknya tidak begitu menonjol sekali, lebih-lebih untuk memimpin sebuah kerajaan yang sudah rosak moralnya," katanya.

Adun Panchor, Haji Yusof Ludin berkata, Umno sudah tidak mampu untuk menyelamatkan bangsa Melayu setelah bergelumang dengan pelbagai masalah. Katanya, parti itu sudah tidak mampu untuk menarik sokongan majoriti orang Melayu kerana tindak tanduknya banyak menyusahkan penduduk Melayu.

"Keadaan seperti itu mungkin difikirkan oleh banyak pemimpin Umno yang berfikiran rasional, namun mereka tidak berani untuk meluahkan secara terbuka kerana lebih pentingkan kedudukan. "Oleh itu, kita harapkan Dr Hamid Othman yang meletak jawatan sebagai menteri usah lagi bersekongkol dengan parti tersebut sekiranya benar-benar mahu memperjuangkan fardhu kifayah," katanya. Menurutnya, dia tidak sepatutnya terus berada dalam Umno kerana parti itu bukan bermatlamat untuk memperjuangkan Islam.