Umno Tidak Faham Perpaduan Ummah

KOTA BHARU, 17 Jan (Hrkh) - Ketua Dewan Muslimah PAS Pusat, Ustazah Jamilah Ibrahim berkata, Islam tidak menumpu kepada penyatuan sesuatu bangsa semata-mata, sebaliknya menyaran ke arah perpaduan ummah seluruh umat manusia.

Sehubungan itu, beliau turut melahirkan rasa sedih kerana pemimpin dan penyokong Umno masih tidak faham kebenaran tersebut. "Perkara ini sudah dijelaskan dalam al Quran dan ia telah lama diperjuangkan PAS," katanya di majlis sambutan Hari Raya Aidil Fitri anjuran Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan, dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Kawasan Kota Bharu di sini, baru-baru ini.

Kumpulan lawak jenaka terkenal Kelantan 'Wak Sir' telah dijemput bagi menceriakan lagi majlis tersebut.  Lebih 1,000 yang hadir terhibur dengan telatah Wak Sir dan Pak Ya. Turut menjayakan majlis berkenaan, Pegawai Penerangan Urusetia Penerangan Kerajaan Kelantan, Haji Buniyamin Yakub.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak, isteri Timbalan Menteri Besar, Hajjah Aminah Abdullah, isteri wakil-wakil rakyat dan lain-lain pimpinan.

Ustazah Jamilah berkata, perpaduan yang dilaungkan Umno tidak akan ke mana-mana, kerana ia tidak meliputi kehendak agama yang menyatukan manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Pada majlis yang sama beliau juga menyarankan muslimat seluruh negara menghafal satu surah ayat al-Quran setiap hari bagi meningkatkan ilmu Islam pada jiwa mereka.

"Sekiranya setiap hari muslimat dapat menghafal satu surah, ini bermakna sebanyak 30 surah berjaya dihafal dalam masa sebulan. "Dengan ini, Allah akan memberi petunjuk kepada kita, di samping kekuatan untuk menangkis dakyah musuh yang mempersendakan Islam," ujarnya.