Peletakan jawatan Dr Hamid

KEMELUT DALAMAN UMNO PARAH

PASIR MAS, 8 Jan (Hrkh) - Usaha Umno untuk menjuarai perpaduan Melayu mungkin tidak kesampaian apabila parti itu dilanda kemelut dalaman yang semakin parah sekarang.

Perkembangan terbaru berlaku sekarang apabila Dato' Paduka Dr Abdul Hamid Othman meletak jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam. Situasi itu menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku dalam Umno ketika ini, sekaligus memberi pukulan hebat kepada kepemimpinan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad yang sedang bergumang untuk mencari pengaruh.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Ustaz Ismail Nuh berkata, apa yang berlaku dalam Umno itu menggambarkan parti tersebut kini sedang berpecah. "Tidak mungkin seorang menteri meletak jawatan secara tiba-tiba, tanpa ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam kepemimpinan parti tersebut," katanya pada ceramah di Pohon Buluh, dekat sini, baru-baru ini.

Hadir sama di majlis itu, Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub, anggota Malis Kerja Tertinggi KeADILan, N Gobalakrishnan, Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Takiyuddin Hassan dan Ketua Perhubungan KeADILan Kelantan, Ustaz Mohamad Mustafa.  

Ustaz Ismail yang juga anggota parlimen Pasir Mas berkata, Umno tentunya sukar untuk mencari pemimpin berkelulusan agama bagi menduduki jawatan tersebut.

Baru-baru ini, Dr Hamid mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Pada pilihan raya umum ke-10 lalu, Dr Hamid tewas kepada Prof Emeritus Dato' Shahnon Ahmad bagi kawasan parlimen Sik. Bagaimanapun beliau dilantik sebagai senator untuk membolehkan Perdana Menteri melantiknya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ketua Pemuda KeADILan Kelantan, Rushdan Mustafa berkata, Umno tidak mampu lagi untuk menyembunyikan pergolakan dalaman yang berlaku dalam parti itu sekarang. Katanya, sekiranya tidak ada sesuatu masalah, sudah tentu seseorang yang berjawatan menteri tidak akan meletak jawatan seperti dilakukan Dr Hamid. Bagaimanapun beliau berharap apa yang dilakukan bekas menteri terbabit tidak seperti Dato' Seri Dr Ling Liong Sik dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Abdul Aziz Sheikh Fadzir yang menarik balik keputusan meletak jawatan, sebelum ini.

 "Sebagai seorang berpendidikan agama dia perlu mempertahankan prinsipnya," katanya. Beliau juga berkata, alasan Dr Hamid meletak jawatan untuk menumpukan kepada fardhu kifayah bagi membetulkan masyarakat Melayu yang berpecah adalah kurang munasabah, memandangkan tugas itu boleh dilakukan dengan memegang jawatan apa sekalipun. Menurutnya, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang mampu berdakwah, biarpun memegang jawatan sebagai menteri besar.