Laman Khas Laporan Persidangan Parlimen: Ahli-Ahli Parlimen Barisan Alternatif Negeri Kelantan


Perdebatan di antara YB Tanah Merah (Tuan Hj Saufi) dan YB Pasir Mas (Ustaz Ismail Noh) dengan Menteri Penarangan, berhubung isu siaran TV yang merendah-rendahkan keupayaan kerajaan negeri Kelantan dalam menyediakan pekerjaan kepada penduduk menyebabkan ramai berhijrah, natijahnya diakui sumbangan rakyat Kelantan (berhijrah) dihargai.

Tuan Saupi bin Daud: Berhubung dengan Yang Berhormat sebentar tadi, RTM sebagai alat propaganda kepada UMNO, saya ingin menarik perhatian Yang Berhormat mengenai satu dokumentari yang disediakan ataupun yang disiarkan oleh RTM dalam bulan Ramadan yang lepas, yang bertajuk "Kelantan Ceria Dalam Gundah". Ini suatu niat jahat dan suatu propaganda murahan yang dibuat oleh UMNO berdasarkan kenyataan-kenyataan di mana didakwa bahawa 300,000 rakyat Kelantan telah berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki dan sebagainya.

Sedangkan mengikut perangkaan rasmi daripada Jabatan Sumber Manusia 148,248 orang sahaja yang keluar daripada Kelantan daripada tahun 1990 sampai ke tahun 2000, bukannya 300,000. Kemudian, manakala seramai 144,514 rakyat negeri lain yang datang ke Kelantan untuk bekerja dan berkhidmat di negeri Kelantan.

Jadi, di sini suatu percanggahan. Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri dari mana sumber dan juga angka-angka yang diperolehi oleh pihak RTM menyiarkan perkara ini dan pihak RTM tidak langsung meneliti sebelum menyiarkan perkara-perkara ini. Dan propaganda ini saya ingin juga bertanya: Adakah salah rakyat Kelantan berhijrah ke Kuala Lumpur atau bekerja di Kuala Lumpur jika dibandingkan dengan warga asing yang datang daripada Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan sebagainya yang lebih banyak membawa masalah kepada negara ini? Jadi, seolah-olah kehadiran rakyat Kelantan ke Kuala Lumpur ini mendatangkan masalah atau banyak menyusahkan pihak kerajaan. Jadi, inilah saya rasa suatu perkara yang mula memecahkan masyarakat kita dan rakyat negara kita sendiri. Pihak RTM sendiri yang terlibat. Saya minta penjelasan.

Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Khalil bin Yaakob: Tuan Yang di-Pertua, apa yang disebut oleh Yang Berhormat tadi kalau kita ambil perhatian - dia kata - Bangladesh, Indonesia atau negara-negara lain yang berhijrah. Adakah salah? Begitu juga penduduk daripada Kelantan kalau berhijrah. Adakah salah? Kalau kita ambil kesamaan kenapakah mereka ini berhijrah, sudah tentu ada kelemahan di negeri masing-masing. Umpamanya daripada segi peluang kehidupan, daripada segi ekonomi tidak ada langsung atau tidak ada lagi, maka mereka berhijrah. Ini juga yang berlaku kepada penduduk-penduduk dari negeri Kelantan.

Tuan Haji Ismail bin Noh: Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya rasa terkilanlah dengan ucapan Yang Berhormat Menteri yang mengatakan bahawa penghijrahan rakyat Kelantan ke luar negeri berdasarkan kepada kemiskinan atau lebih kurang begitulah. Saya suka mengambil kesempatan ini untuk memberitahu kepada Yang Berhormat Menteri bahawa saya sebutkan dasar itu kerana fesyen orang Kelantan daripada dahulu lagi zaman berzaman suka berjalan, suka berhijrah dan kedatangan mereka keluar daripada negeri Kelantan bukan membawa tempurung atau meminta sedekah.

Mereka datang dengan pengalaman mereka, dengan ilmu mereka, dengan kemampuan mereka dan dengan tulang empat kerat yang ada pada mereka. Saya rasa negeri Pahang sendiri pun - separuh negeri Pahang - terbuka dan diterokai oleh orang Kelantan. Di zaman pemerintahan Dato' Ibrahim Fikri di Terengganu, separuh daripadanya diterokai oleh orang Kelantan. Khidmat orang Kelantan kepada negeri-negeri lain, saya rasa, patut dipuji dan patut diberi tahniah.

Di Kuala Lumpur ini sendiri, cuba Yang Berhormat check balik, di kementerian-kementerian saya kira ramai orang Kelantan. Di Jabatan Agama Islam atau JAKIM, ada kawan-kawan saya berkelulusan daripada Azhar dan sebagainya.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ya, apa persoalan Yang Berhormat?

Tuan Haji Ismail bin Noh: Mereka datang dengan ilmu pengetahuan mereka, mereka memberi sumbangan kepada rakyat, dan mereka patut diberi tahniah. Bukan kerana kemiskinan. Saya rasa ini tidak betul.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ya, soalan Yang Berhormat.

Tuan Haji Ismail bin Noh: Soalannya saya rasa fakta ini mesti dijelaskan. Apa lagi oleh Yang Berhormat Menteri sebagai Menteri Penerangan, kerana rakyat mendengar kenyataan-kenyataan sedemikian. Saya rasa tidak adil kalau dari segi kemiskinan dipersalahkan kepada Kelantan, kerana saya lihat bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi di seluruh dunia. Saya juga berjalan sebagaimana juga orang lain, saya pergi sebelah Timur Tengah dan lain-lain tempat saya tengok rakyat Kelantan begitu maju. Mereka mampu bukan setakat di bidang agama sahaja tetapi bidang ekonomi dan lain-lain.

Jadi, saya rasa Yang Berhormat perlu memperjelaskan keadaan ini dan menarik balik seboleh-bolehnya, kalau tidak kami akan terangkan bahawa ini boleh menimbulkan kebencian rakyat Kelantan yang berada di Kuala Lumpur ini kepada pemimpin-pemimpin UMNO. Ini secara ikhlas saya katakan. [Tepuk] Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Cukup Yang Berhormat.

Tan Sri Dato' Seri Mohd. Khalil bin Yaakob: Tuan Yang di-Pertua, penerangan saya sudah betul. Saya tidak kata orang Kelantan ini miskin. Saya kata, keadaan di negeri Kelantan itu tidak memungkinkan dia mencari rezeki kerana tahap pembangunannya rendah. Saya menghargai memang orang-orang Kelantan yang datang ke Kuala Lumpur ini yang bijak-bijak semua, itu kita terima. Di kementerian saya pun banyak juga orang-orang daripada Kelantan. [Ketawa]

Saya tidak tanya kenapa mereka berhijrah? Kita tahu, kita mengakui bahawa orang Kelantan ini banyak yang pintar. Dalam dunia korporat pun kita mengakui ramai orang Kelantan yang maju. Saya tidak kata macam itu. Saya kata kenapa yang menyebabkan mereka ini keluar? Dan ini gambaran yang kita berikan, berbalik kepada persoalan kita bahaskan tadi, bermakna peluang di negeri Kelantan itu kurang jika dibandingkan dengan tempat lain, itu sahaja. Jadi, tidak perlu saya membetulkan penerangan itu. Saya memang menghormati, mengakui bahawa orang Kelantan memang pandai, di merata-rata dunia, baik di kedutaan dan sebagainya, kita terima bahawa sumbangan mereka adalah banyak. Jadi, saya harap Ahli Yang Berhormat tadi, dapat gambaran apa yang saya terangkan tadi, antara gambaran di negeri dengan orangnya. Saya ingat sudah cukuplah ini kita berbahas, saya telah beri peluang yang banyak tentang hal ini.