Laman Khas Laporan Persidangan Parlimen: Ahli-Ahli Parlimen Barisan Alternatif Negeri Kelantan


Perdebatan di Parlimen Pada 25 Mac 2002, 
Menteri Penerangan menjawab dan diperjelaskan oleh YB Rantau Panjang.


Tan Sri Dato' Seri Mohd. Khalil bin Yaakob: Saya ingat saya sudah beri peluang kepada semua. Ada lagikah? Tidak ada lagi. Terima kasih.

Yang Berhormat bagi Jeli membangkitkan penyiaran klip video Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kelantan yang menyebut perkataan ‘barua’ dalam ceramahnya tetapi tidak menyiarkan secara penuh ucapan tersebut. Ahli Yang Berhormat, media kerajaan cuma berhasrat memberikan berita kepada rakyat, betapa tidak sepatutnya menamakan seseorang dengan kata-kata yang mengikut bahasa Melayu tidak beretika di khalayak ramai, yang tidak sesuai dalam masyarakat Islam walaupun terdapat perbezaan fahaman politik. Dengan ini rakyat sendiri boleh membuat penilaian sendiri perkara ini.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Ya, masa sudah hendak habis Yang Berhormat. Ya.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Terima kasih. Memang Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato’ Menteri Besar dalam ucapannya dan dipetik oleh pihak TV memang tidak menyebut sesiapa, cuma sifat orang seperti itu, sifat orang yang mengikut telunjuk orang ini, orang itu yang barua maksud dia. Tidak sebut nama sesiapa tetapi ada yang terasa kerana ramai di kalangan UMNO yang memang ada sifat barua itu. Ini yang jadi begitu, tidak ada pula orang yang terasa, dia rasa dia yang kenanya, kalau dia buat berkawan macam itu.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Masa sudah cukup pukul 1.00 tengah hari Yang Berhormat.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Itu sebenarnya. Jadi, saya minta kalau boleh lain kali siarkan panjang-panjang supaya kita dapat mengetahui bahawasanya apa maksud yang sebenarnya ‘barua’ yang dimaksudkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar itu.

Timbalan Yang di-Pertua [Dato' Haji Muhamad bin Abdullah]: Yang Berhormat, masa sudah cukup Yang Berhormat.

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: ….. kalau kita tidak siar semua, kita dok tuduh menuduh begitulah. Dan hasrat yang sebenar itu perlu diketahui oleh umum. dan makna ‘barua’ sendiri kalau boleh kita forumkan sebenar. Saya minta pihak Menteri beri peluang sedikit supaya kita buat forum takrif barua sebenarnya, kita berhujah dan siapa yang barua di kalangan rakyat Malaysia.

Menteri Penerangan [Tan Sri Dato' Seri Mohd Khalil bin Yaakob]: Tuan Yang di-Pertua, kita menangguhkan Dewan tadi apabila kita sampai kepada perkara yang saya ingin menjelaskan tentang perkataan ‘barua’ di dalam klip video yang ada kaitan dengan ucapan Yang Berhormat Menteri Besar Kelantan. Kita ingin menjelaskan bahawa sebenarnya yang dimaksudkan oleh YAB Menteri Besar Kelantan dalam ucapan dalam video itu memang jelas ianya ditujukan kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Kita ingin menyatakan apakah salahnya kalau Yang Berhormat Menteri itu mengambil alih menjadi khatib dan di dalam khutbahnya sebenarnya tidak menyentuh tentang hal-hal politik. Apakah salah kalau dalam khutbah kita membincangkan hal perpaduan ummah, tentang kebijaksanaan, untuk kita mengekalkan keadaan harmoni dan juga berbaik-baik dan juga tentang kesederhanaan dan kandungan khutbah tidak langsung menyebut, perkara-perkara yang boleh mengapi-apikan keadaan dan percubaan untuk mempengaruhi pengundipengundi dalam pilihan raya yang dimaksudkan.

Kita mengulangi tayangan itu supaya penonton-penonton tidak ragu-ragu dan boleh memahami bahawa perkataan tidak seharusnya disebut apatah lagi ditujukan kepada mana-mana pihak, apatah lagi dalam hal ini salah seorang pemimpin di dalam kerajaan, sudah tentu ianya tidak sesuai sekali.

Yang Berhormat bagi Rantau Panjang cuba mempertahankan kegunaan perkataan ‘barua’ ini dengan mengatakan bahawa di Kelantan, ini merupakan satu perkataan yang biasa dan boleh diterima, maka dengan itu pihak RTM kita juga menanya kepada beberapa pihak di Kelantan sendiri dan juga pakar-pakar seperti Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dan juga seorang profesor bahasa yang terkenal Datuk Nik Safiah yang mengatakan bahawa perkataan barua itu memang mengandungi sifat mengeji dan menghina, maka dengan itu tak sepatutnyalah dia dikeluarkan dari mulut seorang Tok Guru. Maka dengan itu terpulanglah kepada penonton-penonton untuk menggunakan kebijaksanaan apakah ungkapan macam ini sesuai atau tidak sesuai.

Tuan Yang di-Pertua, saya tidaklah ingin menyampaikan ini, jawapan yang panjang lebar tetapi sebagai jawapan kepada Yang Berhormat dari Rantau Panjang. Sebenarnya RTM ditubuhkan pada dasarnya untuk memberi penerangan akan dasar kerajaan kepada rakyat. Peranan ini telah kita laksanakan sejak ditubuhkan 56 tahun yang lalu dan fungsi ini tidak pernah kita ubah dari segi dasarnya. Memang tidak ubah. Segala apa dilaporkan berdasarkan maklumat dan data yang tepat dan tidak ditokok tambah melalui apa-apa pindaan.

Kesimpulan dari perkataan fitnah yang dinyatakan oleh Yang Berhormat bagi Rantau Panjang itu adalah tidak benar sama sekali, kerana apa yang disiarkan oleh RTM ialah peristiwa khususnya melalui gambar dan gambar ini adalah medium yang paling baik untuk menjelaskan sesuatu. Tuan Yang di-Pertua, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Ahli Yang Berhormat yang telah ….

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: [Bangun]

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat Rantau Panjang bangun

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Dato’ Menteri yang memberi penjelasan secara baik, lembut barangkali untuk mendapat belas ehsan daripada pihak saya supaya tidak bangun kerap kali untuk membuat pertanyaan-pertanyaan dan penjelasan.

Walau bagaimanapun dengan nada yang baik begitu, saya rasa ada perkara perlu mendapat penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri. Yang Berhormat ada merujuk perkataan ‘barua’ itu kepada beberapa rakyat Kelantan selain daripada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk mendapat penjelasan sebenarnya.

Saya rasa apa yang nak saya bangkitkan di sini ialah, kita jangan tanya hanya terjemahan perkataan itu saja. Kita kena tanya balik dengan orang yang hendak kita tanya itu tadi. Perkara yang sebelum disebutkan itu, latar belakang orang yang hendak disebutkan perkataan ‘barua’ itu dan peristiwa yang berlaku kepada orang itu, baru kita dapat gambar yang sebenar. Kalau tidak, kita tidak akan dapat gambaran dan perkara yang sebenar.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat nak minta penjelasan atau apa…

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: Saya nak beri penjelasan dahulu untuk mendapatkan penjelasan daripada Menteri. Tidak Menteri dia tak faham juga. Dia perlu beri penjelasan dahulu maksud ‘barua’ itu. Jadi sebelum pada ini Menteri dia kata, masjid ini tak boleh diguna untuk kepentingan politik. Tapi waktu yang sama, di saat-saat pilihan raya, tentulah bila saat pilihan raya dia pergi, sebelum pilihan raya dia tak pergi di masjid itu, baca khutbah itu, tentulah semua rakyat akan tahu, orang cerdik semua tahu, tujuan dia pergi itu, kalau tidak kenapa dia pergi masjid dan baca khutbah di masjid itu, di musim itu.

Walaupun tak sebut perkataan-perkataan yang disebut oleh Yang Berhormat Menteri tadi. Tapi hasrat dia orang bagi orang celik dia tahu. Musim pilihan raya di kawasan pilihan raya, dia baca khutbah di situ …

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Cukuplah Yang Berhormat, nampaknya Yang Berhormat Menteri untuk menyambung ucapan….

Tuan Haji Abdul Fatah bin Haji Haron: ….. sebab itulah munasabah perkataan ‘barua’ digunakan oleh Yang Berhormat Tok Guru Menteri Besar Kelantan. Orang lain kata pun - tapi oleh kerana Menteri Besar barangkali dianggap Tok Guru oleh UMNO terasa berat sangat. Kalau saya kata sepuluh kali ‘barua’ pun dia tak terasa apa. Di majlis besar pun tak rasa apa.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat cukuplah, cukuplah