Laman Khas Laporan Persidangan Parlimen: Ahli-Ahli Parlimen Barisan Alternatif Negeri Kelantan



UCAPAN AHLI PARLIMEN BACHOK DI PARLIMEN PADA 20 MAC 2002 BERHUBUNG MENGGALAKKAN PELANCONGAN KETIKA MEMBAHAS UCAPAN TITAH DIRAJA DAN JAWAPAN MENTERI BERKENAAN.

Tuan Yang di-Pertua, dalam ucapan titah Yang di-Pertuan Agong disebutkan betapa negara kita mengharapkan satu kemajuan dalam industri pelancongan. Maka disebutkan satu slogan dikatakan "Mesra Malaysia".

Dalam hal ini, kita yakin dan percaya kedatangan pelancong ke negara kita telah begitu meningkat dari masa ke semasa dan dari setahun ke setahun mencapai angka 9 juta untuk tempoh terakhir ini. Kelantan telah menerima biasan yang sama ataupun menerima kehadiran daripada pelancong luar ekoran daripada kemajuan negara dan juga peralihan selera pelancong daripada Eropah kepada Asia.

Dalam hal ini, saya meyakini usaha-usaha untuk mengindahkan lagi negara kita dengan konsep warna-warna semula jadi di negara kita perlu dipertingkatkan kerana negara kita mempunyai satu keindahan, warna-warna yang begitu rupa.

Ramai pelancong daripada Eropah, daripada Singapura dan juga daripada Asia lain turut hadir ke negara kita termasuklah destinasi mereka sampai ke Pantai Timur dan Kelantan.

Cuma saya ingin bangkitkan beberapa perkara yang perlu dipertingkatkan oleh pihak kerajaan bagi menghayati usaha mesra Malaysia ini dan untuk mengindahkan lagi warna-warna negara kita ini.

Di sepanjang perjalanan ke Pantai Timur, khususnya melalui Kuala Lipis –Yang Berhormat bagi Lipis tidak sebut, saya cuba sebutkan – melalui Kuala Lipis ke Gua Musang dan Kuala Krai, seterusnya ke destinasi terakhir di Kota Bharu, sesungguhnya pelancong sangat minat melalui jalan darat kerana perjalanannya dihiasi dengan warna-warna daripada flora dan fauna dan tidak juga kita lupakan keindahan laluan yang berbukit-bukau serta bercerun landai.

Dalam hal ini, beberapa kes yang perlu dipertingkatkan di sepanjang perjalanan laluan Kuala Lipis-Gua Musang-Kuala Krai ini iaitu perlunya kepada suatu pusat persinggahan yang lebih menarik dan lebih membahagiakan pelancong-pelancong dan juga pengguna-pengguna domestik sendiri.

Beberapa laluan yang saya rasa ia perlu diadakan pusat-pusat persinggahan bagi memberi ruang dan masa yang baik kepada pelancong untuk menikmati keindahan, misalnya di satu laluan yang paling strategik ialah di kawasan bukit tinggi di antara laluan Kuala Lipis-Gua Musang iaitu kita namakan kawasan itu sebagai Bukit Tujuh. Di situ, di antara puncak-puncak tertinggi di sepanjang laluan Kuala Lipis ke Gua Musang, jika dibina suatu persinggahan untuk rehat dan memberi kemudahan untuk pelancong menyaksikan keindahan persekitaran di puncak pergunungan, sudah pasti ia lebih menarik lagi kepada perjalanan pelancong.

Oleh kerana itulah saya menganggapkan pihak JKR mahu pun pihak Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan seharusnya mengambil tanggungjawab dalam perkara ini dan pengalaman kita melalui kawasan lebuh raya ataupun jalan Pantai Timur ke Grik, kita dapati ada dua pusat persinggahan yang memberi ruang untuk pihak pelancong dan juga untuk pengguna jalan raya untuk singgah dan menyaksikan beberapa keindahan di kawasan hutan belantara itu. Satunya ialah dekat dengan Pengkalan Hulu, di antara Pengkalan Hulu, Baling dan satu lagi ialah di antara laluan Grik-Jeli. Jadi, perkara ini perlu dibina juga di sepanjang jalan Kuala Lipis ke Gua Musang.

Demikian juga rungutan-rungutan telah ditimbulkan oleh pengguna-pengguna jalan raya di sepanjang Kuala Lipis-Gua Musang ini iaitu adanya laluan-laluan bahaya dan puncak-puncak yang menghalang laluan-laluan daripada kenderaan berat untuk lalu dengan selesa dan mudah. Bas, lori dan trailer yang memuatkan muatan yang melebihi daripada 10 tan, kebanyakan bermasalah untuk melepasi puncak bukit yang dikatakan Bukit Tujuh tadi.

Oleh kerana itu, mereka terpaksa membuat alternatif melalui jalan jauh, melalui Karak, Kuantan dan Kuala Terengganu untuk sampai ke Kota Bharu. Dalam perkara ini, dari sudut ekonominya, kita rasa satu kerugian sebab mereka telah terpaksa menghabiskan masa melebihi dua jam kelewatan daripada perjalanan melalui Kuala Lipis-Gua Musang untuk sampai ke Kota Bharu.

Oleh kerana itu, pihak JKR khususnya seharusnya mengambil satu tanggungjawab atau Kementerian Kerja Raya seharusnya mengambil tanggungjawab yang lebih serius bagi memastikan sumber pertumbuhan ekonomi sepanjang perjalanan Pahang-Gua Musang, Kelantan ini diambil satu langkah yang lebih serius lagi dan untuk tempoh itu saya rasa ini satu tempoh yang paling sesuai dalam keadaan kita telah pun diperuntukkan beberapa peruntukan rangsangan ekonomi.

Satu perkara lagi berhubung laluan berkenaan ialah untuk mengelakkan beberapa laluan bahaya yang boleh mengancam nyawa dan juga berlakunya accident ataupun kemalangan yang tidak diduga. Misalnya, pada cuti penggal persekolahan penghujung tahun lalu, kira-kira dalam sesi Parlimen lalu, telah berlaku satu accident yang paling mendukacitakan. Sebuah keluarga berasal dari Pasir Mas Kelantan telah menghadapi maut kerana mereka melalui laluan berliku yang merbahaya di Chegar Perah, kira-kira di kilometer 225 yang menyebabkan accident yang meragut nyawa satu keluarga.

Dalam hal ini, kita yakin jika satu usaha untuk memperbaiki mutu dan juga keselesaan jalan ini tidak dibuat, maka lebih banyak lagi nyawa akan "tercabut" daripada pengguna-pengguna jalan raya itu sendiri.

Kemudian lagi saya perhatikan dalam usaha untuk memajukan pelancongan negara ini, kita menghendaki betapa usaha-usaha untuk mewarnakan negara kita dengan keindahan dan juga suatu kesinoniman dari sudut kejiwaan jiwa Malaysia itu sendiri. Misalnya kita lihat warna utama atas nama Kerajaan Barisan Nasional, mereka memilih warna biru. Begitu juga parti komponen Barisan Nasional, mereka juga memilih warna biru. Asas ini telah menjadikan asas kepada warna utama kepada kerajaan. Tetapi dalam masa yang sama, kita wujudkan satu keunikan apabila pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya lebih berkonsepkan kehijauan.

Dalam hal ini mungkin suatu nilai yang lebih baik lagi jika Putrajaya itu diindahkan lagi dengan pelbagai warna dari sudut binaan bangunan ataupun lanskapnya.

Oleh kerana itu, saya mencadangkan supaya dalam konsep memajukan pelancongan berasaskan kepada kewarnaan negara kita ini, perlunya pusat-pusat tumpuan pelancong dan juga bandar-bandar yang menjadi suatu tarikan kepada pelancong ini mesti dibangunkan dengan berasaskan kepada lanskap yang berkonsepkan kewarnaannya yang pelbagai bagi menarik minat para pelancong itu sendiri.

Dalam masa yang sama, kita mempunyai satu imej korporat yang begitu berjaya. Misalnya Petronas dengan imej warna kehijauannya, walaupun tidak disenangi oleh banyak pihak daripada pemimpin Barisan Nasional tetapi warna Petronas yang bersifat korporat sedemikian harus diperlebarkan dan digagahkan lagi dengan imej yang begitu gah dengan kedudukan Petronas sebagai satu pencetus kepada pertumbuhan ekonomi negara. Dalam hal ini, kita yakin dan percaya usahausaha untuk mewarnakan negara kita ini dengan konsep yang sedemikian boleh digarapkan dengan lebih cemerlang lagi.

Menerusi Sistem Penerbangan Malaysia ataupun MAS, kita melihat MAS telah memilih pada khidmatnya dengan warna merah dan putih. Oleh kerana itu, kita melihat MAS seharusnya berfikir dengan secara lebih terbuka lagi bagi menghadapi kemajuan sistem penerbangan ini berkonsepkan warna yang serasi dengan sebutannya iaitu sebutan MAS itu sendiri, sepatutnya warna pilihan ialah warna kuning emas ataupun golden colour.

Tetapi dalam keadaan yang sama, suatu asas yang boleh kita pertimbangkan dengan sebaik-baiknya supaya MAS lebih terbuka dalam menerima konsep kewarnaan dalam imej korporatnya sebagai sistem penerbangan yang telah pun dimiliki sepenuhnya oleh pihak kerajaan menerusi pembelian daripada Tan Sri Tajuddin Ramli ini.

Dalam keadaan yang demikian, telah wujud satu penerbangan yang memberi suatu kompetitif kepada MAS iaitu Air Asia. Air Asia dengan kempen "terbang murah untuk 30 penumpang pertama", saya merasai satu kempen yang baik untukmeletakkan taraf sistem penerbangan sebagai satu pilihan untuk pergerakan dalaman ataupun di luar negara, termasuklah untuk menarik pelancong itu datang ke negara kita.

Walaupun begitu, lobi Air Asia untuk terus menggunakan Lapangan Terbang Subang sebagai satu lapangan terbang pilihan mereka seharusnya diberi pertimbangan oleh pihak kerajaan untuk memastikan tidak berlaku pembaziran atau penutupan kepada lapangan terbang tersebut kerana dengan cara kempen Air Asia ini yang berkonsepkan warna merah pada kaunter jual tiketnya dan juga berkonsepkan warna biru putih dan sticker hijau pada pesawatnya membuktikan satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk memastikan penggunaan pesawat terbang ataupun Lapangan Terbang Subang dan juga Air Asia ini sebagai satu pilihan terbaik dalam memberi satu cabaran kepada MAS dalam konsep perniagaan penerbangan.

Oleh kerana itu, kita meyakini bahawa asas untuk memajukan negara perlu lagi diperindahkan dengan beberapa keindahan di pusat bandar raya kita sendiri.

Warna-warna yang ada di bandar raya, kita lihat khususnya pada hari Jumaat, saya menyaksikan sendiri dan saya hadir untuk sembahyang Jumaat di Masjid Jamek di belakang Jalan Tuanku Abdul Rahman, saya melihat suasana sesak dan tidak indah pada pandangan mata dan tidak cantik.

Walaupun asas kewujudan warna pada hari Jumaat itu dengan putih kopiahnya, dengan hitam songkoknya, dengan jubah dan seumpamanya, indah pada suatu pandangan tetapi pada pentafsiran, ia menggambarkan satu imej yang mengalpakan Kerajaan Barisan Nasional kepada pembangunan masjid yang menjadi tumpuan ramai itu sendiri.

Walaupun kita ada Masjid Negara yang kita megahkan tetapi di dada Kuala Lumpur ini ada masjid-masjid yang tidak indah untuk dipandang. Masjid Jamek yang begitu sesak dengan keadaan keselesaan tidak berlaku, maka kita yakini pihak Dewan Bandaraya atau pihak berkuasa kepada pembangunan masjid itu perlu diberi perhatian. Kita tidak rela untuk lihat ahli jemaah sembahyang di kaki lima, sembahyang di celah-celah…

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Muhamad bin Abdullah]: Sila gulung Yang Berhormat.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: …lanskap…

Timbalan Yang di-Pertua [Dato’ Haji Muhamad bin Abdullah]: Sila gulung Yang Berhormat.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Sembahyang di atas jalan yang begitu menghodohkan imej terutamanya kepada mereka yang bukan beragama Islam. Oleh kerana itu, dalam menjawab sahutan negara kita yang berkonsepkan asas pembangunan keIslaman ini seharusnya memberi tumpuan dalam perkara-perkara ini.



JAWAPAN TIMBALAN MENTERI KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN PELANCONGAN (Dato' Dr Ng Yen Yen) pada 25 Mac 2002:

Tuan Yang di-Pertua, Yang Berhormat bagi Bachok, telah membangkitkan mengenai pusat-pusat perhentian dan persinggahan di perhentian rehat di sepanjang jalan, lanskap berkonsepkan warna-warni dan pengindahan pusat-pusat bandar raya. Untuk makluman Yang Berhormat, seperti Yang Berhormat cadangkan semasa perbahasan supaya pihak JKR mewujudkan pusat-pusat perhentian dan pusat persinggahan untuk pelancong menikmati keindahan alam sekeliling di sepanjang jalan ianya satu cadangan yang baik. Saya akan mengajukan perkara ini kepada pihak-pihak yang berkenaan.

Cadangan Yang Berhormat untuk menggunakan konsep warna-warni di pusat-pusat tumpuan pelancong, bandar serta lanskap adalah juga cadangan yang sangat baik. Mana-mana bangunan atau pusat-pusat pelancongan di bawah tanggungjawab kementerian saya telah pun mengambil kira konsep ini pada bangunan dan lanskap di sekitarnya. Contohnya, di Kompleks Pusat Pelancongan Malaysia di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, konsep warna-warni digunakan untuk menampilkan suasana yang mesra, ceria dan menyenangkan hati tetapi dalam masa yang sama menggunakan warna-warna ini juga perlulah bersesuaian dengan keadaan tempat di sekelilingya.

Untuk penggunaan warna-warna pada bangunan di bandar-bandar, saya berharap Ahli-ahli Yang Berhormat, dapat bekerjasama dengan Majlis-majlis Perbandaran di kawasan Ahli-ahli Yang Berhormat untuk melaksanakannya kerana pengindahan bandar adalah di bawah tanggungjawab Majlis Perbandaran berkenaan. Namun begitu, saya juga akan menganjurkan perkara ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Tuan Yang di-Pertua, Program Mesra Malaysia adalah bertujuan untuk mewujudkan satu budaya atau amalan di masyarakat kita terutamanya front liners, dengan izin, yang lebih prihatin mengenai kebersihan, bersopan dan mesra terhadap pelancong agar mereka menjadi tuan rumah yang baik kepada pelancong-pelancong selaku tetamu di negara kita.

Dalam hal ini, saya mengharapkan sokongan dari semua Ahli Yang Berhormat Dewan yang mulia ini di dalam pelaksanaannya. Ini adalah kerana kejayaan industri pelancongan di mana-mana negara tidak hanya bergantung kepada produk-produk pelancongan sahaja tetapi juga bergantung kepada perkhidmatan serta penduduk negara itu sendiri. Negara pelancongan menggunakan warna negara yang peramah, tuan rumah yang mesra dan front liners, dengan izin, bertaraf antarabangsa.

Tuan Yang di-Pertua, akhir kata sekali lagi saya ingin merakamkan ribuan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua Ahli Yang Berhormat Dewan yang mulia ini yang telah bersama-sama memberikan sumbangan yang positif dalam perbahasan-perbahasan yang berkaitan dengan secara langsung atau tidak langsung dalam membangunkan kebudayaan dan industri pelancongan negara. Cadangan dan saranan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat akan membantu kementerian mencapai visi kita menjadi Malaysia sebuah negara pelancongan yang terunggul. Sekian, terima kasih.

JAWAPAN TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA (Tuan Mohamaed Khaled Hj Nordin) pada 25 Mac 2002.

Ahli Yang Berhormat bagi Bachok meminta pihak Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan untuk menyediakan tempat-tempat persinggahan untuk pelancong menikmati keindahan semulajadi di laluan Lebuhraya Kuala Lipis-Gua Musang seperti di Bukit Tujuh.

Beliau meminta pihak Kementerian Kerja Raya memperbaiki keadaan laluan jalan raya Kuala Lipis-Gua Musang-Kota Bharu dengan bertujuan untuk memperbaiki pertumbuhan ekonomi di kawasan terlibat untuk menjaga mutu keselesaan dan juga keselamatan pengguna lebuh raya.

Tuan Yang di-Pertua, mengenai permintaan tersebut supaya Kementerian Kerja Raya bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, sukalah dimaklumkan bahawa pembangunan di kawasan pelancongan perlu dirancang dengan teliti dari segi kemudahan infrastruktur dan pengendaliannya.

Dari segi penyediaan infrastruktur jalan raya, jalan menuju ke kawasankawasan pusat pelancongan adalah bergantung kepada perancangan pembangunan yang dirancang oleh agensi yang terlibat. Kementerian Kerja Raya sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan untuk melaksanakan projek-projek jalan raya ke kawasan pelancongan seperti kawasan pelancongan Tasik Pedu di Kedah, Gunung Raya di Langkawi, Cameron Highlands, Bukit Fraser di Pahang dan Tasik Kenyir di Terengganu.

Mengenai cadangan Ahli Yang Berhormat, saya suka menasihatkan Ahli Yang Berhormat membangkitkan perkara ini kepada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.

Mengenai cadangan memperbaiki laluan jalan raya Kuala Lipis-Gua Musang, ingin dimaklumkan di bawah penswastaan penyelenggaraan jalan persekutuan, Kementerian Kerja Raya sentiasa memastikan jalan berkenaan diperbaiki dan diselenggarakan dengan sempurna berdasarkan skop kerja penyelenggaraan di bawah penswastaan tersebut. Saya difahamkan telah terdapat kerja pembaikan dan penyelenggaraan di kawasan-kawasan tertentu di sepanjang laluan berkenaan.

JAWAPAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (Brig Jen (B) Datuk Abdul hamid Hj Zainal Abidin) pada 25 Mac 2002.

Yang Berhormat bagi Bachok pula menyarankan kerajaan menangani masalah kesesakan solat Jumaat di Masjid Jame’ Kuala Lumpur. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, bangunan Masjid Jame’ Kuala Lumpur di Jalan Tun Perak telah diwartakan sebagai bangunan lama dan tapak tanah bersejarah di bawah Akta Benda Purba 1976. Oleh itu, buat masa ini kerajaan belum bercadang untuk membesarkan ruang solat bagi menangani masalah kesesakan solat Jumaat di masjid tersebut. Walau bagaimanapun, kerajaan telah menyediakan ruang solat yang mencukupi, malah melebihi daripada keperluan penduduk Bandaraya Kuala Lumpur. Ruang solat yang disediakan di Masjid Negara boleh menampung seramai 8,000 orang, manakala ruang solat di Masjid Wilayah Persekutuan boleh menampung seramai 17,000 orang. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya bersolat Jumaat di kedua-dua masjid ini bagi mengatasi masalah kesesakan semasa mengerjakan solat Jumaat di Masjid Jame’ Kuala Lumpur.

Tuan Yang di-Pertua, saya rasa itulah sahaja antara perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat yang menyentuh tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri yang dapat saya jawab.