Laman Khas Laporan Persidangan Parlimen: Ahli-Ahli Parlimen Barisan Alternatif Negeri Kelantan


UCAPAN AHLI PARLIMEN BACHOK-MEMBAHAS AKTA MAJLIS PEPERIKSAAN

4.20 ptg.

Tuan Wan Nik Wan Yussof [Bachok]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya mengambil kesempatan dalam tempoh perbahasan pindaan Akta Majlis Peperiksaan Malaysia 1980 ini untuk pindaan tahun 2001. Memanglah akta ini tidak banyak pindaan dan pindaan kecil sahaja untuk menaik taraf ataupun untuk meletakkan jawatan Setiausaha Agong kepada jawatan Ketua Eksekutif dan sekali gus ia dilantik sebagai ahli kepada Majlis Peperiksaan Malaysia.

Begitu juga dipinda untuk membolehkan ataupun dimasukkan Universiti Teknologi MARA ini Naib Canselor menjadi salah seorang ahli Majlis. Cuma sehubungan dengan itu saya ingin menyebutkan beberapa perkara di antaranya ialah kewujudan Ketua Eksekutif mengganti Setiausaha Agong ini sekali gus dari segi sudut imej korporatnya suatu penarafan sesuai dengan perkembangan masa dan sekali gus memberi suatu kesan kepada pengurusan pihak Majlis Peperiksaan Malaysia pada masa akan datang.

Harapan daripada perubahan ini ialah beberapa perkara yang diputuskan oleh pihak Majlis Peperiksaan seharusnya memberi suatu perkembangan yang progresif ataupun memajukan lagi masa depan dalam pendidikan negara kita, lebih-lebih lagi di peringkat pengurusan peperiksaan ataupun pentadbiran semua urusan yang berkaitan dalam peperiksaan dalam sistem pendidikan negara kita. Oleh kerana itu, saya yakin tidak memberi sesuatu kesan yang negatif kepada perkaraperkara yang telah dibangkitkan oleh pihak Ahli-Ahli Yang Berhormat sebelum ini, seperti isu kebocoran soalan peperiksaan dan seumpamanya.

Walau bagaimanapun beberapa perkara yang saya ingin tonjolkan sebagai satu isu yang harus diambil kira dengan perkembangan pindaan akta ini. Pertama, dari sudut pertimbangan kepada pengenaan bayaran peperiksaan oleh pihak majlis ini kepada sesuatu subjek kertas peperiksaan kerana ada kesan-kesan tertentu kepada pihak pelajar dan ibu bapa yang bertanggungjawab kepada pihak anaknya memasuki sesuatu peperiksaan. Misalnya satu kertas periksa yang baru diperkenalkan pada tahun lalu ialah Sijil Tinggi Agama Malaysia. Satu komen yang diterima oleh pihak guru-guru khususnya di pusat pendidikan di Kelantan, Yayasan Islam Kelantan, kadar bayarannya dikenakan begitu mahal, hampir dua kali ganda lebih mahal daripada peperiksaan STU yang mereka uruskan sebelum ini dan ini memberi kesan kepada penyertaan pelajar untuk mengambil kertas peperiksaan tersebut dan respons daripada itu kita dapati keupayaan mereka untuk mengambil peperiksaan pada tahun pertama itu begitu rendah sekali dan ini telah berlaku di Kelantan kerana bayarannya dianggap mahal. Mungkin pertimbangan bayaran itu dibuat mengikut kos-kos pengurusan kepada Sijil Tinggi Agama tersebut.

Walau bagaimanapun saya ingin tahu dari sudut kriteria ataupun asas-asas sebenar sesuatu pertimbangan pada pengenaan bayaran peperiksaan itu dibuat oleh pihak Majlis Peperiksaan ini harus dibutirkan secara lebih tepat untuk dijadikan asas lojik tadi. Oleh kerana itu, kita dapati peperiksaan (STAM) yang berlaku di Kelantan tidak mendapat sambutan dan kesan daripada itu saya anggap pihak Majlis Peperiksaan seharusnya memberi satu garis panduan yang lebih umum supaya perkara ini tidak membebankan. Saya ingat perlu buat suatu kajian baru supaya kadar bayaran peperiksaan ini dapat dipertimbangkan dengan asas-asas yang berorientasikan nilai yang tidak komersial tetapi lebih kepada asas-asas keperluan progresif di bidang pendidikan.

Kesan daripada bayaran peperiksaan ini saya yakin ianya berkait juga dengan bayaran kepada pemeriksa, kepada pemeriksa yang akan memeriksa kertas-kertas peperiksaan. Ada sungutan daripada kumpulan-kumpulan pemeriksa kertas ialah perlu dibuat satu kajian baru agar kajian itu melibatkan suatu imbuhan yang setimpal kepada pemeriksa mengikut pengalaman dan kepakaran mereka yang telah pun begitu lama terlibat di bidang peperiksaan. Sebab daripada pengalaman kumpulan pemeriksa kertas ini ada di kalangan mereka telah dinaik taraf menjadi ketua pemeriksa. Daripada dulunya menjadi pemeriksa biasa, mereka berpengalaman bertahun-tahun menjadi pemeriksa akhirnya mereka telah dilantik oleh kumpulan menjadi ketua pemeriksa.

Saya yakin dan percaya dengan usaha yang dibuat oleh pihak kementerian melalui majlis peperiksaan ini boleh meramaikan lagi jumlah pemeriksa kertas-kertas yang mahir dan satu peringkat kita boleh melahirkan satu kumpulan pemeriksa kertas yang pakar. Sekiranya di sekolah-sekolah telah wujud kumpulan guru-guru pakar yang boleh diberi suatu pengharapan untuk membuat satu pengurusan dari sudut pendidikan sesuatu mata pelajaran tertentu, sains, matematik atau bahasa, sebagaimana yang diperdebat panjang oleh Yang Berhormat bagi Kepong tadi, saya ingat di bidang pemeriksaan kertas pun pihak kementerian seharusnya menjurus satu target untuk melahirkan kumpulan pakar pemeriksa kertas mengikut subjeksubjek kertas-kertas peperiksaan itu sendiri.

Dalam hal ini, langkah-langkah tertentu atau spesifik ataupun secara terancang perlulah diatur kerana kita yakin Majlis Peperiksaan Malaysia dengan masuknya anggota-anggota Majlis daripada pelbagai bidang menganggotai ahli Majlis ini pasti mempunyai satu cara yang khusus daripada segi melahirkan tenaga pemeriksa pakar.

Jadi sehubungan dengan itu, imbuhan kepada pemeriksa-pemeriksa itu satu daripada faktor ke arah untuk melahirkan tenaga pemeriksa kertas peperiksaan ini yang istiqamah, kerana ada rungutan daripada pihak mereka apabila didapati masa ataupun disebabkan oleh hambatan masa, guru-guru kita dengan sibuk mata pelajaran di sekolah dan seumpamanya mereka tidak sanggup untuk meneruskan sebagai seorang pemeriksa kertas, maka mereka mengambil masa untuk tempoh tiga tahun berturut-turut sahaja sebagai pemeriksa kertas, dengan pengalaman tiga tahun tadi mereka bazirkan dan akhirnya mereka stop atau berhenti daripada menjadi pemeriksa kertas. Oleh kerana itu, sayangnya kita sekiranya mereka teruskan untuk menjadi pemeriksaan kertas untuk tempoh lima tahun ke depan mungkin mereka boleh diberi pengiktirafan sebagai pemeriksa kertas yang pakar.

Saya juga ingin bertanya pihak kementerian adakah di dalam kumpulan pemeriksa kertas yang dilantik oleh pihak kementerian ataupun melalui Majlis Peperiksaan ini terdiri daripada pensyarah-pensyarah universiti yang memeriksa kertas-kertas khususnya di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kita. Kerana kita yakin penglibatan pensyarah-pensyarah universiti ini sendiri sedikitsebanyak boleh memberi suatu cabaran baru ataupun cabaran yang berterusan kepada guru-guru di peringkat sekolah-sekolah yang mengajar anak-anak kita di peringkat peperiksaan STPM itu sendiri untuk lebih berdaya maju bagi menyaingi keupayaan akademik pensyarah-pensyarah tadi.

Oleh kerana itu, dengan situasi yang sedemikian, guru-guru berkenaan akan menambahkan lagi keupayaan mereka dari sudut kepakaran dan juga dari sudut ilmunya bagi menguasai bidang pemeriksa kertas tadi supaya persaingan akademik dan ilmu bagi memastikan mutu pemeriksaan mereka kepada kertas-kertas peperiksaan tadi dapat dipertingkatkan. Sekiranya pihak Majlis Peperiksaan menawarkan peluang untuk pensyarah-pensyarah terus menjadi pemeriksa kertaskertas di peringkat peperiksaan SPM misalnya, saya yakin ini satu perkembangan baik dan langkah yang bersifat progresif.

Demikian juga dari sudut memastikan asas-asas penerusan kepada melahirkan lebih ramai tenaga guru yang menjadi pemeriksa pakar di bidang kertaskertas peperiksaan ini, selain daripada bayaran yang diambil kira mengikut kadar jenis ataupun subjek yang diperiksa, perlu juga dipertimbangkan elaun-elaun ataupun bayaran-bayaran yang bersifat elaun perjalanan lodging dan seumpamanya, semasa mereka menghadiri kursus-kursus untuk memeriksa dan untuk memahami skima pemarkahan setiap kertas pemeriksaan tadi. Sebab apa yang saya ketahui sebelum kumpulan pemeriksa ini diberi tugas secara individu untuk memeriksa kertas-kertas peperiksaan setiap tahun itu, perlu mereka ini mengadakan satu bengkel khas sama ada di Genting Highlands atau di mana-mana hotel di ibu kota negara kita dalam satu tempoh tertentu.

Jadi, sekiranya pihak Majlis Peperiksaan boleh mempertimbangkan suatu bayaran elaun yang lebih berpuas hati kepada pihak pemeriksa ataupun bakal-bakal menjadi pemeriksa tadi, sudah pasti ia boleh memberi suatu galakan bagi guru-guru untuk terlibat lebih aktif lagi untuk tempoh jangka panjang menjadi kumpulan pemeriksa pakar tadi.

Berikutnya saya ingin bangkitkan persoalan Ahli Majlis Peperiksaan Malaysia ini sendiri. Ahli Majlis Peperiksaan, saya yakin terdiri daripada mereka yang pakar dalam perkara yang berkaitan dengan pentadbiran peperiksaan, pengurusan soalansoalan, perkara-perkara yang berkaitan dengan asas-asas kerahsiaan soalan-soalan dan perincian-perincian untuk membuktikan fakta-fakta bagi dirumuskan menjadi suatu soalan yang standard dan bertaraf dunia atau bertaraf antarabangsa. Oleh kerana itu, dengan memasukkan dua eksekutif sebagai orang utama yang mengetuai kepada perjalanan pentadbiran Majlis Peperiksaan Malaysia, satu daripada asas untuk melengkapkan lagi peranan ahli Majlis dalam pengurusan peperiksaan ini.

Demikian juga dengan memasukkan Naib Canselor UiTM, juga satu daripada juga sumbangan kepada menjayakan lagi peranan Majlis Peperiksaan. Cuma saya ingin bertanya pihak kementerian, adakah keanggotaan ahli Majlis Peperiksaan ini melibatkan sama wakil-wakil daripada perguruan itu sendiri ataupun pihak-pihak yang mewakili tenaga pengajar guru-guru sama ada daripada pihak persatuan ataupun daripada persidangan pengetua-pengetua sekolah-sekolah ataupun mana-mana yang boleh dianggap sebagai mewakili kepentingan tenaga pengajar yang begitu lama terlibat dalam pendidikan di sekolah-sekolah itu sendiri.

Yang kedua, adakah juga ahli Majlis Peperiksaan ini dilibatkan sama daripada mereka pakar-pakar psikologi kerana kita yakin dan percaya dalam aspek pengurusan peperiksaan ini banyak pertimbangan psikologi khususnya daripada segi pengaturan jadual peperiksaan. Jadual agung peperiksaan yang diatur, di tempat kami di Kelantan ini boleh dikatakan setiap tahun peperiksaan itu berlaku pada penghujung tahun dalam tempoh musim tengkujuh ataupun musim banjir.

Pada pertimbangan psychologist itu kita tidak ambil kira sangat dan oleh kerana itu banyak dibebankan dengan jadual-jadual yang begitu ketat dan apabila berlakunya banjir besar ataupun musim tengkujuh, sudah pasti ia boleh merombak sebahagian besar jadual. Jadi, dengan itu menjejaskan daripada segi perancangan kelicinan pengurusan peperiksaan mengikut jadual yang asal. Oleh kerana itu juga saya yakin dan percaya pihak kementerian perlu mengambil pandangan bagi memastikan agar ahli Majlis tadi mengambil kira juga pakar daripada psychologist.

Tidak kurang penting juga ialah ahli-ahli agama, mereka yang mahir dalam bidang agama Islam perlu juga dilibat dalam perancangan pihak Majlis Peperiksaan ini kerana pertimbangan tertentu juga diambil kira. Misalnya saya ambil contoh, peperiksaan dijalankan juga pada hari Jumaat. Oleh kerana itu, sebahagian besar daripada calon-calon yang mengikuti ataupun mengambil peperiksaan itu khususnya daripada lelaki terlibat dengan sembahyang Jumaat. Jadi, kadangkala jadual yang begitu ketat memaksa untuk pelajar untuk ponteng ataupun tidak hadir ke masjid kerana jadual yang diatur tidak mengambil kira aspek keagamaan sedemikian.

Dan akhirnya, saya ingin mencadangkan kepada pihak kementerianmengambil pertimbangan dari sudut kriteria-kriteria yang paling sesuai diambil kira untuk dilantik pemeriksa kertas dan juga ketua pemeriksa itu sendiri. Dalam perkembangan yang terkini, kita dapati ada beberapa isu yang melibatkan ketidakpercayaan pihak ibu bapa kepada pemeriksa-pemeriksa kertas dan juga dari sudut asas disiplin guru-guru yang terlibat dalam bidang pemeriksaan kertas ini. Misalnya kes yang terbaru pada penghujung tahun lalu, mungkin ianya berlaku dengan tidak sengaja, tetapi itu asas kepercayaan yang boleh diperdebatkan. Seorang ketua pemeriksa telah kecurian kenderaannya dan menyebabkan berlonggok-longgok, beribu-ribu kertas peperiksaan di dalam kenderaannya turut dicuri dan akhirnya perkara itu telah menjadi police case. Tetapi alhamdulillah pencuri itu mempunyai budi baik juga - walaupun kerjanya jahat mencuri kenderaan tetapi budi baiknya ada - dilonggokkan di tepi jalan kertas-kertas tersebut. Alhamdulillah terselamatlah.

Tetapi asas kepercayaan yang perlu kita bina ialah disiplin kepada ketua pemeriksaan itu, harus wujud suatu disiplin yang begitu ketat kerana ada asas sekuritinya yang harus dia bertanggungjawab, tidak berlaku kecuaian sedemikian. Saya ingat kes ini berlaku di Kuantan, di pantai timur yang soalan itu dijumpai di Terengganu, bersempadan dengan Kelantan, dan perkara itu dapat menyelamatkan keadaan.

Saya juga berharap dengan pertimbangan-pertimbangan yang menekankan kepada persoalan disiplin dan sekuriti yang begitu ketat kepada pemeriksa kertas itu tadi, tidaklah diambil manfaat kerana kita yakin dalam dunia perkembangan pendidikan yang begitu laju sekarang ini, ada juga pemeriksa-pemeriksa kertas mengambil manfaat daripada pengalaman sebagai pemeriksa untuk commercialize ilmunya dijadikan modal untuk mereka mendapat pulangan wang tertentu. Misalnya mereka mengiklankan diri mereka sebagai guru tuition yang berjaya, sedangkan tuition sepatutnya tidak dibuat secara komersial oleh guru-guru yang berkhidmat sepenuh masa di sekolah. Ada pemeriksa kertas daripada guru yang sepenuh masa di sekolah ini telah menjadi tenaga pengajar di pusat-pusat tuition komersial secara private dan mungkin tanpa kebenaran ketua jabatan masing-masing dengan mengeluarkan balik rahsia-rahsia di sebalik disiplin sebagai pemeriksa kertas kepada pelajar-pelajar tuitionnya. Mereka menggunakan skima-skima kertas peperiksaan yang menjadi rahsia seorang pemeriksa tetapi dijadikan modal untuk mendapat imbuhan daripada penglibatannya sebagai tenaga pengajar di pusat-pusat tuition tadi.

Saya yakin dan percaya perkara ini dalam pengetahuan pihak kementerian khususnya di pihak Jabatan Pendidikan Negeri tetapi tidak ada suatu tindakan spesifik dibuat terhadap guru-guru sedemikian, dan di sudut disiplin perjawatan lebihlebih lagi dengan ada "Aku Janji" ini, saya ingat perkara ini perlu diperkemaskan lagi dari sudut pelaksanaannya supaya tidak berlaku sedemikian.

Akhirnya, saya ingin juga mendapat sedikit penjelasan dari sudut kelayakan-kelayakan am di antara pihak Majlis Peperiksaan ini dengan pihak Kementerian Pendidikan sendiri dari sudut asas-asas seseorang pelajar itu untuk memasuki sesuatu peperiksaan. Misalnya peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). Dari sudut kelayakan sebenar untuk mereka yang mengambil peperiksaan STAM ini, adakah mereka ini mesti lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia dahulu (SPM) ataupun tidak perlu kepada kelulusan SPM. Sebab kalau mengikut pengalaman Sijil Tinggi Ugama (STU) yang telah begitu lama, berpuluh tahun telah diterima oleh Universiti Al-Azhar supaya kelayakan masuk di sana tidak ada suatu asas yang mewajibkan pelajar yang akan mengambil STU wajib lulus SPM, tetapi untuk kepentingan masa depan dinasihatkan mesti lulus SPM dahulu. Demikian juga untuk mengambil STU itu, perlu kepada pelajar tersebut mesti lulus dahulu Sijil Rendah Ugama (SRU). Jadi di peringkat STAM ini tidak ada suatu penghebahan rasmi kepada ibu bapa khususnya kelayakan sebenar untuk pelajar ini mengambil peperiksaan STAM. Oleh kerana itu, perkara ini perlulah dibuat suatu penjelasan untuk memantapkan lagi mutu ataupun keupayaan pencapaian pelajarpelajar di peringkat STAM itu sendiri.

Dan akhirnya saya mengucapkan terima kasihlah di atas keprihatinan pihak kementerian meminda akta ini kerana dengan pindaan ini, sudah pasti suatu pengharapan lebih baik dari sudut pengurusan peperiksaan Malaysia, peperiksaan di negara kita ini, mudah-mudahan tidak berlakulah isu-isu yang boleh meragukan lagi kewibawaan pihak kementerian dalam menguruskan kepentingan pendidikan untuk tempoh masa hadapan. Terima kasih.