Laman Khas Laporan Persidangan Parlimen: Ahli-Ahli Parlimen Barisan Alternatif Negeri Kelantan


 

CADANGAN YB BACHOK YANG TIDAK MENDAPAT RESPON BAIK DARIPADA MENTERI.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: [Bangun]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat Bachok bangun ya.

Tuan Wan Nik bin Wan Yussof: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan terima kasih Yang Berhormat Menteri. Berhubung dengan SPR tadi, sebelum masuk lebih lanjut kepada tajuk berikut, satu isu yang berbangkit ialah penglibatan aktif agensi kerajaan semasa kempen pilihan raya. Saya ingat perkara ini perlu diberi perhatian dan perlu ditangani secara perundangan kerana tidak ada dalam Akta Kesalahan Pilihanraya itu yang memberi had kuasa kepada pihak kerajaan untuk campur tangan dalam kempen kepada suatu parti iaitu parti pemerintah. Jadi, bagaimana pandangan Yang Berhormat dalam perkara ini?

Datuk Seri Utama Dr. Rais bin Yatim: Tuan Yang di-Pertua, untuk memberi pandangan saya berkaitan dakwaan bahawa beberapa agensi kerajaan aktif semasa pilihan raya, perkataan ‘aktif’ itu perlu dihurai dan dimengertikan dalam konteksnya.

Pertamanya, Kementerian Penerangan misalnya terpaksa membuat pelbagai penerangan ataupun makluman untuk rakyat semasa pilihan raya. Oleh itu sifat aktifnya semasa itu tidak harus dipertikaikan. Tinggal lagi sekiranya ada pihak-pihak atau yang mewakili agensi kerajaan yang nampak sebagai berat sebelah ataupun dengan izin, bias menggunakan tanggungjawab maka mereka harus dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk disiasat tugas dan tanggungjawab mereka.