Laman Khas Laporan Persidangan Parlimen: Ahli-Ahli Parlimen Barisan Alternatif Negeri Kelantan


 

Berikut adalah soal jawab di parlimen PM dengan Ketua Pembangkang pada 2 April 2002.

Soalan 4. Dato' Haji Fadzil bin Md. Noor [Pendang] minta Perdana Menteri menyatakan sama ada sikap antiulama yang ditunjukkannya semasa berucap di World Economic Forum di New York sebagai sikap kerajaan Malaysia atau pandangan peribadi beliau.

Perdana Menteri: Tuan Yang di-Pertua, saya sekali lagi mohon izin untuk menjawab soalan ini bersama-sama dengan soalan oleh Ahli Yang Berhormat bagi Parit pada 28 Mac 2002 mengenai perkara yang sama.

Tuan Yang di-Pertua: Baik.

Perdana Menteri: Tuan Yang di-Pertua, ada orang yang suka mendakwa bahawa ulama adalah pewaris Nabi. Kita tidak dapat pasti kesahihan hadis ini, tetapi yang kita tahu ialah ulama adalah manusia biasa, bukan Nabi, bukan maksum dan bukan bebas dari membuat kesalahan, kesalahan biasa ataupun kesalahan berkenaan dengan tafsiran ajaran Islam. Lagipun ramai yang mendakwa mereka adalah ulama, sebenarnya bukan ulama, sebenarnya mereka mempunyai pengetahuan agama yang amat cetek. Ada pula orang yang amat jahil dan jahat, namun tetap mendakwa mereka adalah ulama dan pewaris Nabi kerana kepentingan diri dan ingin mendapat pengaruh yang gelaran ini memberi kepada mereka. Mereka ini kerap menyesatkan umat Islam.

Dalam sejarah Islam tidak ramai orang yang cukup alim dalam bidang agama sehingga diiktiraf oleh masyarakat dan sejarah sebagai ulama sebenar. Mereka seperti Imam Hanafi, Hambali, Maliki, Shafie, Bukhari, Muslim dan lain-lain iktiraf sebagai ulama bukan kerana ijazah yang didapati oleh mereka, bukan kerana keahlian dalam persatuan ulama tetapi kerana pengetahuan agama yang mendalam yang ada pada mereka, kerana peribadi mereka yang mulia dan keutamaan mereka yang hanya untuk kepentingan Islam dan bukan politik diri atau puak mereka. Namun demikian, pendapat dan ajaran Islam mereka kerap kali berbeza dan pengikut-pengikut mereka kadang-kadang terpisah antara satu dengan yang lain.

Ada juga ulama lain yang mengembangkan ajaran Islam yang begitu berbeza dengan ulama yang diiktiraf sehingga perpecahan dan permusuhan berlaku antara pengikut mereka dengan orang Islam lain. Fahaman Qadiani umpamanya, datang dari ulama jenis ini. Ulama yang seperti ini yang saya maksudkan apabila saya sebut tentang ulama-ulama dalam ucapan saya di mana-mana sahaja. Ulama yang mempunyai kepentingan tertentu kerap membuat tafsiran agama untuk menyokong kepentingan mereka. Demikian ulama yang berpolitik sanggup dengan sengaja menyalahtafsirkan ajaran Islam untuk kepentingan politik mereka. Ulama politik mudah mengkafirkan orang Islam bukan kerana agama tetapi kerana politik.

[Tepuk]. Jika mereka ditegur, maka mereka akan melenting dan menuduh sesiapa yang menegur mereka sebagai antiulama, anti-Islam dan kafir. Mereka hendak supaya mereka tidak ditegur apabila mereka bersalah. Dengan ini mereka dapat terus menipu pengikut mereka dan orang Islam lain tetapi sebaliknya mereka boleh menegur ulama lain yang tidak sependapat dengan mereka, bahkan memanggilkan ulama lain ini ‘barua’. [Tepuk].

Perbuatan mereka memperlekehkan ulama lain tidak pula dianggap oleh mereka sebagai sikap antiulama, anti-Islam dan kafir. Mereka hendak supaya mereka dianggap pewaris nabi yang tidak boleh ditegur walaupun mereka mengutuk ulama lain. Mereka tidak menerima, bahawa mereka antiulama apabila mereka mengecam dan memaki ulama lain.

Perpecahan yang terdapat dalam Islam adalah disebabkan oleh ulama songsang seperti ini, yang membuat tafsiran yang salah tetapi tidak mahu menerima teguran. Apabila teguran dibuat terhadap ulama seperti ini, ulama yang berpolitik, ulama yang gila kuasa, maka mereka ini mendakwa bahawa pengkritik yang menegur adalah antiulama.

Walaupun yang menegur ulama songsang ini mengiktiraf ulama lain yang tidak berkepentingan dan ulama-ulama yang terkenal dan diiktiraf dalam sejarah Islam, ulama songsang ini tetap mendakwa sesiapa yang menolak mereka yang songsang sebagai antiulama, anti semua ulama.

Ulama adalah satu gelaran yang mulia untuk orang yang mulia. Orang yang mulia yang terpelajar dalam Islam tidak pernah menghinakan Tuhan. Tetapi kita dapati orang yang mendakwa diri mereka sebagai ulama dan pewaris nabi sanggup menghinakan Tuhan dengan mendakwa Allah swt mencarut. Allah swt adalah lebih samseng dari semua samseng, lebih jahat dari penjahat lain.

Apakah apabila kita menegur orang ini bermakna kita antiulama? Sebenarnya kita ingin memelihara nama baik ulama, sebab itu kita menolak ulama yang berkepentingan, ulama yang gila kuasa, ulama yang memutarbelitkan ajaran Islam dan sengaja menyesatkan pengikut mereka. Kita tolak semua ulama songsong tetapi kita terima ulama yang sebenar. Ulama yang tidak mempunyai kepentingan selain daripada kepentingan agama.

Ucapan saya di New York, bukan antiulama seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang telah mengeluarkan buku untuk [menunjukkan buku tersebut] memburukkan lagi nama saya. Tetapi saya antiulama yang berkepentingan. Dalam sejarah Islam, ulama yang memecahbelahkan umat Islam sehingga mereka bermusuh dan berperang, ulama songsang yang suka memaki hamun ulama lain dan memanggil mereka barua, ulama songsang yang dengan sewenang-wenangnya mendakwa orang lain sebagai antiulama. Membuat soalan yang berbentuk tuduhan untuk kegunaan politik mereka.

Saya berdoa kepada Allah swt [beberapa orang mengaminkan] supaya melindungi kita orang daripada ulama songsang ini. Saya ingin ingatkan mereka akan firman Allah swt dalam surah An Nahl ayat 25 yang bermaksud, "mereka dibiarkan menuduh dengan demikian supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya supaya pada hari kiamat dan juga memikul sebahagian dosa-dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar, sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu." [Tepuk]

Tuan Yang di-Pertua: Pendang

Dato' Haji Fadzil bin Md. Noor: Tuan Yang di-Pertua, soalan tambahan. Terima kasih atas kesudian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk datang menjawab dan memberi penjelasan kepada soalan yang saya bangkitkan. Dengan menyebutkan ulama politik oleh Perdana Menteri, tidakkah Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat menyedari bahawa kenyataan itu adalah suatu kenyataan yang memerangkap diri dalam suatu pembahagian ulama yang dibuat oleh dunia Barat terutama oleh Amerika.

Bukan sahaja membahagikan ulama kepada ulama politik dan bukan politik tetapi membahagikan Islam kepada Islam politik dan bukan politik yang dijelaskan …… sikap para ulama Islam seperti yang disebutkan Dr. Yusuf Al-Qardawi bahawa kita menolak pembahagian Islam seperti itu.

Dalam tradisi Islam dan peradaban Islam ulama tidak dibahagikan kepada ulama politik dan bukan politik. Ulama dibahagikan kepada ulama akhirat dan ulama dunia. Ulama akhirat inilah ulama yang bersedia dan sanggup memperkatakan yang hak, memperkatakan yang benar walaupun mereka diancam oleh memerintah.

Mereka sanggup untuk menegur pemerintah, mengkritik penyelewengan pemerintah. Mereka sanggup menentang segala bentuk penyelewengan, kezaliman dan penyalahgunaan kuasa. Inilah yang diamalkan oleh ulama-ulama besar dalam tamadun Islam seperti nama-nama mereka yang disebut oleh Yang Amat Berhormat Perdana tadi.

Tuan Yang di-Pertua: Soalan Yang Berhormat.

Dato' Haji Fadzil bin Md. Noor: Yang kedua, ialah ulama-ulama dunia, iaitu ulama-ulama yang mementingkan dunia dan tidak bersedia untuk memperkatakan yang hak dan tidak bersedia untuk menegur segala penyelewengan yang berlaku. [Disampuk] dan apabila Yang Amat Berhormat menyebut tentang ulama politik, tidakkah beliau menyedari bahawa dengan adanya ulama-ulama yang prihatin tentang politik inilah yang telah membangkitkan dunia Islam, menentang segala bentuk kezaliman, kekejaman seperti mana yang dilakukan oleh Al-Iman Ibnu Thaimiah dalam menentang kezaliman pemerintahan Kerajaan Tartar, Moghul sebelum Islam [Tepuk].

Tidakkah Yang Amat Berhormat Perdana Menteri menyedari dengan kenyataan itu, beliau telah terperangkap dalam pembahagian yang dilakukan oleh Amerika dan dunia Barat untuk memecahkan umat Islam dan memecahkan ulama [Tepuk] dan menjauhkan ulama daripada ikut terus menjalankan peranan untuk memimpin umat. Yang kedua apabila Yang Amat Berhormat [Disampuk]

Tuan Yang di-Pertua: Teruskan Yang Berhormat.

Dato' Haji Fadzil bin Md. Noor: Apabila Yang Amat Berhormat menyebut tentang ulama politik, tidakkah ini seperti meludah ke muka sendiri, kerana dalam UMNO juga ada ulama. Mereka adalah ulama politik.

Tuan Yang di-Pertua: Cukuplah Yang Berhormat.

Dato' Haji Fadzil bin Md. Noor:dan yang ketiga dan sangat penting Tuan Yang di-Pertua..

Tuan Yang di-Pertua: Cukuplah Yang Berhormat.

Dato' Haji Fadzil bin Md. Noor: iaitu tidakkah dengan kenyataan itu telah menyinggung perasaan sebuah negara Islam dan negara sahabat kita iaitu Republik Islam Iran yang dipimpin oleh para ulama.

Tuan Yang di-Pertua: Cukuplah Yang Berhormat.

Dato' Haji Fadzil bin Md. Noor: Bukankah mereka telah menunjukkan keupayaan, kemampuan mereka untuk mentadbir sebuah negara moden dan selepas ulama Iran ini berkuasa, memerintah, mereka telah mengendalikan urusan pemerintahan yang sangat baik.

Mengendalikan pilihan raya yang diakui oleh dunia sebagai pemilihan yang bersih… [Dewan riuh], parlimen mereka, sidang parlimen mereka disiarkan secara langsung melalui televisyen [Tepuk], mereka mempunyai keberanian kerana mereka mengendalikan pentadbiran yang telus, beramanah ..

Tuan Yang di-Pertua: Cukuplah Yang Berhormat, panjang sangat Yang Berhormat, Yang Berhormat panjang sangat tu.

Dato' Haji Fadzil bin Md. Noor: [Bercakap tanpa pembesar suara] [Dewan riuh]

Dato' Haji Fadzil bin Md. Noor: soal Pasti, soal tadika….[Pembesar suara dimatikan] tidak mengulangi kenyataan-kenyataan seperti itu, sekian, terima kasih.

Perdana Menteri: Tuan Yang di-Pertua, inilah yang dimaksudkan dengan ulama songsang, [Tepuk] apabila dikehendaki membuat soalan, orang yang songsang dia buat ucapan, [Tepuk], soal saya…. [Dewan riuh]

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat! Yang Berhormat!

Perdana Menteri: Tak apalah, saya ..

Tuan Yang di-Pertua: Sila bertenang Yang Berhormat, [Dewan riuh]. Yang Berhormat cukuplah. Biarlah kita bertenang, biarlah kita selesaikan perkara ini, kita ada kerja lain lagi.

Perdana Menteri: Dia takut nak dengar jawapan, [Ketawa] seperti barua-barua lain jugalah. [Ketawa] Saya tak menyinggung mana-mana negara Islam, tidak menyinggung orang lain cuma menyinggung yang dok ada depan nilah. [Disampuk]

Orang lain tak ada complain, tak ada tegur, bahkan semasa saya buat ucapan di New York, ramai yang bangun untuk menyokong orang Islam, yang bangun untuk menyokong apa yang saya kata, yang terdiri daripada orang-orang dari banyak negara dan di antara orang yang menyokong saya ialah pemimpin-pemimpin negara Islam, tapi di sini saya takkan hendak harap boleh dapat sokongan daripada barua-barua balik sana.

Tentang orang dalam UMNO, mereka terpelajar dalam bidang agama dan mereka memberikan pendapat berasaskan kepada ajaran Islam, [Disampuk] jadi saya tidak bermaksud….. [beberapa ahli pembangkang bangun] dan saya telah membezakan [Disampuk] hai barua-barua. [Disampuk] Takut ke hendak dengar jawapan, [Ketawa] tak berani hendak dengar. Saya jawab soalan. [Disampuk]

Tuan Yang di-Pertua: Tolong jaga sedikit. Di sini Parlimen, tolonglah.[Disampuk] Baiklah kita dengar Yang Berhormat bercakap, orang dengar kita bercakap, ya.

Perdana Menteri: Ada yang kata kita tak boleh bahagikan ulama kepada ulama politik dengan ulama bukan politik tetapi boleh pula bagi antara ulama dunia dengan akhirat, yang dimaksudkan dengan ulama politik ialah orang yang bercakap tidak betul berkenaan dengan agama kerana kepentingan politik mereka. Hendak panggil ulama dunia ataupun akhirat itu terpulang kepada kitalah. Tetapi hakikatnya ialah ada jenis-jenis ulama. Ada ulama yang betul-betul berpegang kepada ajaran Islam dan memberi tafsiran yang benar, ada ulama yang kerana kepentingan politik mereka, memberi tafsiran yang salah untuk menyokong pendirian mereka.

Jadi tidaklah salah kalau saya kata, ada bermacam jenis ulama. Hanya kerana orang lain nak membahagikan ulama kepada ulama dunia dan ulama akhirat, itu adalah hak orang lain. Tapi hak saya ialah untuk membahagikan jenis ulama yang kita dapati terutama di negara kita ini.

Hanya satu orang sahaja yang biasa dengar berkata, Tuhan samseng, Tuhan penjahat yang terbesar, maha penjahat. Berkenaan dengan saya nak kena perangkap Barat, saya belum kena perangkap daripada sesiapa. Bahkan Malaysia diiktiraf oleh dunia sebagai satu-satu negara yang sanggup menegur saja sesiapa yang membuat salah termasuk kuasa besar [Tepuk].

Buat suatu masa, pihak tertentu yang di depan ini pun cuba hendak ampu orang Barat kerana hendak dapat sokongan daripada mereka dan mendapat pujian yang cukup tinggi semasa krisis yang berlalu dahulu kerana mereka inilah patut menjadi pengganti kerajaan yang sedia ada ini.

Kerajaan ini tidak disayangi oleh orang-orang tertentu, mereka mengata macam-macam kepada kerajaan ini. Kita terus juga dengan menegur mereka kerana kita tidak berasa kita berada dalam perangkap mana-mana. Kita adalah bebas! Yang tidak bebas ialah mereka yang cuba memancing sokongan daripada orang asing ini yang dahulu begitu sekali seronok apabila orang asing ini mengecam Kerajaan Malaysia. Saya tidak berasa sedikit pun terperangkap. Bila saya berasa hendak buat kenyataan mengecam orang yang buat salah, saya akan terus berkata.

Dan semalam saya telah buat ucapan yang membuktikan bahawa kita tidak menyokong orang lain kerana mereka besar atau mereka kuat, tetapi kerana kebenaran! [Tepuk].

Tuan Yang di-Pertua: Tebrau!

Datuk Haji Mohd. Ali bin Haji Hassan: Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Saya ingin mengemukakan soalan tambahan.

Yang pertama, saya hendak ucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat selaku Presiden Barisan Nasional di atas kejayaan BN dalam Pilihanraya Kecil Ketari. Tahniah Tuan Yang di-Pertua. [Tepuk]. Ini menunjukkan rakyat masih menyokong kuat kepada Barisan [Tepuk].

Saya hendak mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat kerana berani berucap di forum antarabangsa di New York, berani menegur ulama dengan niat yang baik. Orang yang dikatakan ulama - terutama parti pembangkang PAS - tetapi dalam hal ini yang dikatakan ulama ini saya dapati mempunyai sifat-sifat seperti berikut:-

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat, Yang Berhormat! ……

Datuk Haji Mohd. Ali bin Haji Hassan: Tidak, ada soalan, Tuan Yang di-Pertua. Bila habis di sini, saya akan mengemukakan soalan. Jadi, Tuan Yang di-Pertua, sedikit sahaja: [Disampuk].

- bertutur, berucap dengan nada kasar dan kesat; - suka fitnah orang; - suka mengumpat orang; - degil; - lekas naik marah; - mengeluarkan tuduhan melulu dan kesat; - menyeleweng daripada hukum Islam yang mengata dan menuduh orang-orang tertentu kafir; dan akhirnya - dia mengeluarkan dan tidak patuh kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Fatwa Kebangsaan berhubung dengan Memali dan juga Fatwa Negeri Kedah.

Saya hendak tanya Yang Amat Berhormat: Adakah sifat-sifat ini yang pertama yang dimaksudkan ucapan yang dikeluarkan itu kepada yang di depan itu?

Yang kedua, apakah tindakan kerajaan? Adakah kerajaan hendak membiarkan mereka ini boleh menyeleweng dari fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan Fatwa Negeri? Saya rasa tidak boleh dibiarkan, Yang Amat Berhormat. Mesti ada suatu tindakan yang tegas yang perlu diambil! [Tepuk].

Datuk Bung Moktar bin Radin: Tangkap dalam lokap!.

Tuan Yang di-Pertua: Ya.

Datuk Haji Mohd. Ali bin Haji Hassan: Sila beri penjelasan, Yang Amat Berhormat.

Beberapa Ahli: [Ketawa].

Perdana Menteri: Ya, Tuan Yang di-Pertua, ulama songsang yang saya maksudkan itu ialah ramai yang itulah, tidak payahlah saya tunjuk dengan jari.

Tuan Haji Mahfuz bin Haji Omar: Yang mana? Yang mana? Sebut!

Tuan Yang di-Pertua: Yang Berhormat! Tolonglah, tolonglah! Pokok Sena, tolonglah, tolonglah!

Perdana Menteri: Kalau tidak makan cabai, takkan hendak berasa pedas!Melainkan kulit dia tebal tidak tahu rasa apa, yang itu lainlah! [Disampuk].

Berkenaan dengan tindakan kerajaan, kalau mereka pecah undang-undang yang nyata, maka tindakan akan diambil, tetapi yang tetap akan berlaku ialah mereka di akhirat kelak esok akan jawab tentang perkara ini, kerana dosa yang mereka buat itu amat besar. Sekali lagi, menyesatkan orang Islam adalah suatu dosa besar!