Penduduk Minoriti Bangga Tinggal Di Kelantan

PASIR PUTEH, 30 Jan - Penduduk dari golongan minoriti di negeri ini tidak perlu merasa curiga terhadap kepemimpinan ulamak, kerana sepanjang lebih 10 tahun pentadbirannya cukup memuaskan sekali.

Ahli Majlis Daerah Pasir Puteh, Tan Gim Young berkata, sepatutnya golongan minoriti melahirkan rasa bangga kerana berada di negeri yang ditadbir ulamak. Katanya, kerajaan negeri sekarang lebih prihatin terhadap nasib penduduk tanpa mengira agama dan bangsa.

"Keadaan ini adalah berbeza berbanding ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri ini," katanya selepas majlis muhibbah antara kaum di sini, baru-baru ini. Majlis itu dirasmikan anggota Exco, Haji Anuar Tan Abdullah.

Menurutnya, kerajaan Kelantan di bawah pentadbiran PAS telah membuktikan kepemimpinannya bersifat penyayang dan toleransi yang tinggi. Beliau berkata, kerajaan negeri melaksanakan tanggungjawabnya sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran, iaitu tidak meminggirkan golongan bukan Islam.

Sementara itu, Majlis Daerah Pasir Puteh masih unggul dan setanding dengan yang lain, Majlis Daerah Pasir Putih (MDPP) telah merangka plan pembangunan di sembilan kawasan tumpuan utama yang membabitkan keluasan 6,000 hektar. Ketua Jajahannya, Haji Abdul Aziz Abdul Rahman berkata, sembilan kawasan terbabit antaranya bandar Pasir Puteh, Gaal, Selising, Bukit Abal, Padang Pak Amat, Gong Kedak dan Tok Bali.

Menurutnya, pelan pembangunan tersusun itu perlu dibuat dalam usaha memberi keselesaan kepada masyarakat yang dijangka bermula awal tahun ini sehingga 2005.

"Menerusi program ini, ruang perniagaan, bazar, mini stadium, industri perikanan, lanskap dan lain-lain lagi akan dilengkapkan di tempat-tempat tersebut," ujarnya. Beliau bagaimanapun berkata usaha untuk menjadikan Bandar Pasir Puteh indah dan bersih tidak akan kesampaian sekiranya masyarakat tidak bekerjasama menjaga kebersihan. Katanya, budaya membuang sampah merata-rata hendaklah dibuang segera, sebaliknya mengamalkan budaya bersih dan sihat.