Penyatuan Melayu Untuk Pecahkan BA

TANAH MERAH, 10 Jan (Hrkh) - Cadangan penyatuan Melayu oleh Umno tidak lebih hanya helah mereka bertujuan memecahkan kesatuan dalam pakatan pembangkang. Ketua KeADILan Tumpat, Haji Mohd Saupi Daud berkata, parti itu tidak berkeyakinan pemimpin Umno bercita-cita untuk menyatukan bangsa Melayu, sebaliknya mempunyai agenda khusus untuk kepentingan mereka.

Katanya, sejarah lalu membuktikan Umno hanya mempelawa parti pembangkang untuk bersatu apabila mereka dalam keadaan tersempit. Keadaan itu membayangkan ketidakikhlasan pemimpin Umno terhadap tawaran yang dihulurkan. Beliau memberi contoh bagaimana PAS pernah menerima tawaran kerjasama dengan parti Perikatan suatu ketika dulu, namun selepas parti itu mendapat faedah daripada kerjasama tersebut, pemimpin PAS diketepi begitu saja.

Begitu juga katanya bekas pemimpin parti Semangat 46 (S46) menerima nasib serupa, apabila menerima tawaran pemimpin Umno kononnya atas tiket penyatuan orang Melayu. "S46 dianggotai 100 peratus orang Melayu, kini parti itu hanya tinggal nama, sedangkan nasib pemimpin bekas S46 tidak tentu hujung pangkalnya dalam Umno.

"Itulah caranya pemimpin Umno menghargai parti-parti yang menjalin hubungan dengan mereka, apakah hasil yang diperolehi oleh bekas-bekas pemimpin S46, Umno sedikitpun tidak menghargai jasa mereka apatah lagi untuk melantik ke jawatan penting dalam kabinet," katanya di sini. Beliau yang juga anggota parlimen Tanah Merah berkata, KeADILan tidak ingin sejarah masa lampau berulang kembali apabila menolak cadangan penyatuan yang dikemuka pemimpin Umno.

Justeru itu, beliau berharap pemimpin dalam pakatan Barisan Alternatif (BA) berhati-hati dengan perangkap yang dipasang Umno. Selain itu katanya, adalah tidak munasabah untuk parti KeADILan menerima pelawaan Umno kerana fokus penyatuan hanya melibat orang Melayu, sedangkan parti itu dianggotai pelbagai kaum.

"Kita menerima pandangan semua kaum yang ada dalam KeADILan justeru itu, tidak timbul dakwaan kononnya pemimpin KeADILan tidak ikhlas. "Lagi pun perpaduan kita bersama dalam pakatan BA semakin erat, kita tidak ingin melihat persefahaman yang kita jalinkan terlerai kerana mainan politik pemimpin Umno," tambahnya.