Perpecahan Melayu Hanya Dalam Umno

KOTA BHARU: Seruan Umno ke arah perpaduan bangsa Melayu menunjukkan kebimbangan pemimpin parti itu ekoran terhakisnya sokongan orang Melayu terhadap Umno. Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ustaz Mohd Fauzi Zakaria berkata, sebenarnya tidak timbul soal perpecahan bangsa Melayu, sebaliknya ia merupakan perpecahan dalaman parti itu yang berlaku sejak pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, perpecahan dalam umno berterusan hingga ke hari ini dan kini pemimpin Umno cuba mengalih perhatian rakyat kononnya kebimbangan mereka terhadap perpecahan bangsa Melayu. Ekoran itu katanya, pemimpin Umno merayu parti-parti pembangkang khususnya PAS dan KeADILan untuk duduk semeja berbincang mengenai penyatuan bangsa Melayu.

Menurutnya, apa yang dibimbangi pemimpin Umno ialah semakin ramai orang Melayu meninggalkan parti itu dan menyertai parti pembangkang terutama PAS dan KeADILan.

"Bagi pembangkang, fenomena penghijrahan orang Melayu meninggalkan Umno adalah sesuai dengan aspirasi mereka terutamanya PAS untuk menarik seramai mungkin orang Melayu beragama Islam menyertai perjuangan menegakkan Islam.

"Orang Melayu mula meninggalkan Umno sejak kejatuhan ekonomi dan pemimpin parti itu menyalahgunakan kewangan negara untuk menyelamatkan kroni dan kaum keluarga mereka," katanya.

Menurut beliau lagi, kemuncak kemarahan ahli-ahli Umno terhadap salah guna kuasa pemimpin mereka diluahkan bekas Ketua Pemuda Umno, Datuk Zahid Hamidi di perhimpunan agung parti itu, tahun 1997. Kata beliau, apa yang berlaku itu sebenarnya membuktikan kepimpinan Umno yang tidak memberi perhatian kepada ahli-ahli bawahan.

"Dan inilah tujuan mereka sebenarnya apabila menyeru pemimpin-pemimpin pembangkang untuk membincangkan kononnya perpecahan bangsa Melayu. "Fenomena ini mengingatkan kita kepada sejarah bangsa Arab yang akhirnya berduyun-duyun meninggalkan Makkah berhijrah ke Madinah untuk menyertai perjuangan Rasulullah s.a.w.

"Hal ini tentu tidak boleh dikatakan perpecahan bangsa Arab, sebaliknya menunjukkan bangsa Arab mula menemui jalan yang benar lalu menyertai perjuangan Islam yang dipimpin Rasulullah s.a.w..

Katanya, merujuk kepada seruan pemimpin Umno untuk berbincang mengenai perpaduan Melayu PAS ingin memastikan 2 perkara diberi penekanan iaitu sebab-sebab kenapa orang Melayu meninggalkan Umno. Seterusnya kenapa Islam tidak dilaksanakan sepenuhnya di negara ini.