Penghulu Perlu Dekati Rakyat Di masjid

KOTA BHARU, 24 Jan (Hrkh) - Kerajaan negeri mahu penghulu-penghulu mukim lebih kerap mendekati rakyat di kawasan masing-masing, terutamanya melalui kunjungan ke masjid-masjid dan madrasah di kawasan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Penghulu-Penghulu Kelantan, Haji Omar Mohamad berkata, penghulu perlu mengunjungi setiap masjid atau madrasah yang terdapat di kawasan mereka untuk mengenali rakyat secara lebih dekat.

"Kita tidak mahu timbul lagi runggutan di kalangan penduduk, di mana ada di antara mereka yang tidak mengetahui siapa penghulu dilantik kerajaan negeri. "Sebelum ini kerajaan negeri menerima surat dari rakyat yang tidak tahu nama penghulu di kawasan mereka, biarpun pelantikan sudah lama dilakukan," katanya di majlis penyampaian watikah pelantikan penghulu-penghulu kampung di sini, semalam.

Pada majlis itu, seramai 137 penghulu dari jajahan Kota Bharu yang merangkumi kawasan parlimen Kota Bharu, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian dan Peringat menerima watikah tersebut dari Haji Omar. Hadir sama di majlis itu, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Mohamed Daud dan Takiyuddin Hassan, wakil rakyat dan Ketua Jajahan Kota Bharu, Haji Mohd Aiseri Alias.

Haji Omar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Masyarakat dan Industri Desa berkata, penghulu yang bertandang ke masjid atau madrasah hendaklah berada di saf depan bagi memudahkan orang kampung mengenalinya.

"Apabila selesai sembahyang mereka jangan terus turun, sebaliknya bertemu dengan penduduk terlebih dahulu. "Sekiranya amalan seperti ini dapat dihayati, Insya Allah penghulu terbabit akan dihormati masyarakat dan kerajaan negeri tidak keberatan menyambung perkhidmatan pada tahun-tahun akan datang," ujarnya.

Selain itu, beliau mahu setiap penghulu mempunyai data khas mengenai kedudukan dan perkembangan yang berlaku di mukim di bawah jagaannya. Katanya, senarai keluasan mukim, bilangan penduduk, bilangan masjid dan surau, penduduk miskin, ibu tunggal dan pelbagai lagi perlu dibuat pada carta khas bagi memudahkan kerja mereka.

Menurutnya, berdasarkan kepada carta tersebut penghulu akan dapat mengetahui permasalahan yang berlaku di mukimnya untuk diketengahkan kepada wakil rakyat. Oleh itu, beliau berharap tahun 2001 akan detik bagi setiap penghulu memulakan agenda ke arah tersebut.

Jajahan Kota Bharu mempunyai 137 penghulu termasuk Penghulu Tanpa Mukim yang dipecahkan dari 14 daerah. Bilangan penghulu tersebut termasuk mewakili masyarakat Cina. Manakala bilangan penduduk di jajahan Kota Bharu sekarang kira-kira 460,000 orang. Bilangan penghulu bagi seluruh jajahan di Kelantan lebih dari 500.

Haji Omar turut memberitahu, penghulu yang dilantik akan dinilai melalui Laporan Perkhidmatan Penghulu dari semasa ke semasa sebelum perkhidmatan di sambung atau sebaliknya.