Perpaduan Melayu Tajaan Umno Sekadar Lakonan

KOTA BHARU: Usaha PAS untuk mewujudkan perpaduan ummah dengan mempelawa Umno untuk bermuzakarah sudah lama dilakukan, namun ia tidak lebih seperti bertepuk sebelah tangan sahaja.

 Mursyidul Am, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, langkah untuk memantapkan perpaduan ummah di negara ini melalui muzakarah sudah lama dibangkitkan dan ia bukannya isu baru.

"Telah lama PAS cuba menyelesaikan masalah ini melalui muzakarah, tetapi tidak memperlihatkan kesungguhan di pihak Umno," katanya pada majlis Dialog Pimpinan Kerajaan Negeri dengan anak-anak Kelantan di perantauan, sempena Aidil Fitri di sini, baru-baru ini.

Hadir sama di majlis itu, Timbalan Menteri Besar, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, anggota-anggota Exco, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Tengku Shah Buddin Tengku Mohd Maasom dan Timbalan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Haji Hanifa Daud.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, PAS adalah parti yang membawa wadah perjuangan Islam dan bukannya perpaduan Melayu. Katanya, perpaduan Islam merangkumi semua bangsa yang beragama Islam sama ada Melayu, Cina, India dan Arab atau seumpamanya.

"Sedangkan apa yang dimahukan Umno ialah perpaduan Melayu dan ia tidak sama dengan perpaduan Islam. "Saya secara peribadi menganggap tidak sesuai laungan perpaduan Melayu memandangkan perkara sebenar yang dituntut ialah perpaduan Islam," katanya.

Baru-baru ini, Presiden Umno, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad mengajak PAS dan KeADIlan berbincang mengenai perpaduan orang Melayu sekiranya keadaan mengizinkan. Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, perpecahan yang dimaksudkan di kalangan orang Melayu sekarang hanya berlaku dalam Umno sahaja.

"Sekiranya Islam diletak di atas, kesejahteraan hidup semua bangsa akan wujud," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh berkata, strategi Umno untuk mengajak PAS dan KeADILan membincangkan soal perpaduan Melayu tidak lebih sebagai lakonan semata-mata. Katanya, taktik itu dilakukan setelah usaha Umno mengecam habis-habisan Suqiu tidak mendapat sokongan orang Melayu keseluruhannya.

"Hampir keseluruhan orang Melayu tidak bersimpati dengan taktik Umno tersebut. Oleh itu Umno terpaksa mencari pendekatan lain dengan mengajak PAS dan KeADILan kononnya untuk membincangkan soal perpaduan Melayu," katanya pada ceramah Aidil Fitri di Pasir Pekan, Tumpat, malam Sabtu lalu.

Menurutnya, apa yang dimaksud Umno perpecahan orang Melayu hanya berlaku dalam parti itu sahaja dan ia tidak membabitkan PAS dan KeADILan serta Barisan Alternatif (BA). Ketika berceramah di Mini Stadium Ketereh, malam berikutnya Ustaz Wan Ismail mendakwa Umno sudah lama memperolehi manfaat dengan memainkan isu perkauman.

Menurutnya, kursus-kursus yang dianjurkan sebuah agensi kerajaan Pusat sering membangkitkan soal perkauman, untuk menimbulkan sentimen bagi menguatkan kedudukan Umno. "Namun sekarang orang Melayu sudah sedar terhadap taktik itu, dan kini mereka tidak lagi bersimpati terhadap lakonan Umno menggunakan isu tersebut," tambahnya.

Beliau mempersoalkan sekiranya benar soal perpaduan Melayu ditekankan Umno, mengapa pula Kelantan dan Terengganu yang didiami hampir 100 peratus orang Melayu cuba disisihkan kerajaan Pusat. Katanya, banyak bukti diskriminasi dilakukan kerajaan Pusat (Umno) terhadap Kelantan dan Terengganu sejak negeri berkenaan diterajui PAS.

"Kelantan sering kali menerima geran wajib tahunan sehingga akhir tahun dan hak royalti minyak kerajaan Terengganu pula dinafikan," ujarnya. Menurutnya, taktik yang dilakukan Umno itu dengan harapan kerajaan yang diterajui PAS jatuh. Beliau berkata, sekiranya masalah tersebut tidak dapat diselesaikan, Umno usah berlakon untuk memperkatakan soal perpaduan Melayu.