Perpaduan Melayu: PAS diminta berhati-hati

MACHANG: Orang ramai menasihatkan PAS supaya lebih berhati-hati terhadap isu perpaduan Melayu tajaan Umno kerana ia mungkin sebagai satu helah parti itu untuk melepaskan diri dari tersempit. Mereka berpendapat Umno kini tersempit dan mungkin parti itu akan terkubur pada pilihan raya 2004 akan datang.

Ahmad Hamzah seorang guru  dari Machang berkata, politik Umno kini sudah tidak sependapat di antara satu sama lain. Katanya, Umno kini sering bergaduh sesama sendiri, buktinya bukan semua ahli Majlis Tertinggi bersependapat antara mereka.

"Pada  setiap kali mesyuarat Majlis Tertinggi  Dr Mahathir hanya mengunakan kuasanya supaya semua yang hadir bersetuju," katanya. Menurutnya, pemimpin tertinggi Umno kini merasakan hal tersebut tidak dapat dibendung lagi, dan mungkin Umno akan berkubur pada masa akan datang.

"Kekalahan Umno pada pilihan raya kecil Lunas baru-baru ini membuktikan rakyat tidak suka lagi kepada Umno," katanya.

Seorang pensyarah dari Universiti Malaya menyifatkan kekalahan Umno pada pilihan raya Lunas baru-baru ini, menyedarkan pemimpin Umno bahawa rakyat tidak mahu lagi kepada parti tersebut. Dr Hamzah Halim, 40 berkata, langkah paling baik untuk menyelamatkan Umno adalah mengadakan satu rundingan dengan PAS. Katanya, jika rundingan dengan PAS berjaya, Umno akan menyatakan kepada rakyat bahawa parti itu adalah suatu parti yang benar pula.

Seorang guru, Sidek Ibrahim meminta pemimpin Umno supaya memberi kebebasan kepada pembangkang untuk menerbitkan akhbar masing-masing sebelum mengajak mereka membincangkan isu perpecahan bangsa Melayu.

"Dia (Mahathir) ajak pemimpin pembangkang duduk semeja, tapi ketika PAS mohon diterbitkan akhbar Purnama mereka tidak layan bahkan akhbar Harakah pun sudah dikurangkan penerbitannya. "Inilah taktik mereka, ketika tersepit mula meminta tolong daripada pembangkang kononnya atas isu perpecahan bangsa, sedangkan maruah Islam tidak diambil peduli," katanya kesal