Radio Thailand siar tazkirah MB

KOTA BHARU, 15 Jan (Hrkh) - Tazkirah agama oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan sahaja diminati rakyat negara ini, malah diikuti penduduk Islam di Selatan Thailand.

Kira-kira lima juta penduduk Islam di empat wilayah selatan mengikuti tazkirah tersebut secara rakaman yang disiarkan radio milik Royal Thailand Army (RTA) yang berpangkalan di Sungai Padi, Narathiwat.

Siaran tersebut boleh didengar dengan jelas melalui gelombang 92.5 mHz, mulai jam 2.10 petang hingga 3 petang setiap hari Ahad.

Tazkirah hampir sejam itu berdasarkan kepada rakaman tazkirah mingguan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Dewan Zulkefli Mohamad di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan.

Tazkirah tersebut akan diudarakan selama setahun oleh radio berkenaan memandangkan permintaan masyarakat Islam tempatan begitu tinggi sekali.

Ekoran itu, satu perjanjian diadakan di antara RTA dan Unit Audio Visual Badan Perhubungan PAS Kelantan, di sini, baru-baru ini.

RTA diwakili Timbalan Pengarah Penyiarannya, Sidek Che Mat dan Hanafi Yaakob mewakili Unit Audio Visual, Badan Perhubungan PAS Kelantan.

RTA merupakan anak syarikat kepada TV5 yang dimiliki kerajaan Thailand.

Siaran radio berkenaan boleh diikuti dengan jelas di empat wilayah selatan Thailand dan hampir tiga suku negeri Kelantan termasuk Jertih.

Radio berkenaan menggunakan dua bahasa perantaraan utama iaitu Melayu dan Siam.

Hanafi berkata, segmen tazkirah Menteri Besar begitu diminati penduduk Selatan Thailand kerana ia menggunakan dialek Kelantan yang mudah difahami mereka.

Katanya, berdasarkan kepada kajian dibuat RTA, segmen berkenaan mempunyai pendengar paling ramai sekali setakat ini.

Sebelum ini, kaset-kaset kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz cukup laris di Selatan Thailand yang didapati daripada mereka yang berkunjung ke Kota Bharu.

RTA juga sebelum ini acap kali menyiarkan tazkirah Menteri Besar dan perutusan Hari Raya Aidil Fitri.

Ketika sambutan ulangtahun ke-10 Dasar Membangun Bersama Islam pada Oktober lalu, RTA memberi ruang sepenuhnya menyiarkan tazkirah Tuan Guru Nik Abdul selama sebulan.

"Tazkirah itu diudarakan setiap hari bermula 21 September hingga 21 Oktober 2000," katanya.

Selain itu, sebuah radio swasta di Pantai Timur turut menyiarkan perutusan Hari Raya Menteri Besar Kelantan, biarpun RTM langsung tidak memberi ruang.

Hampir 10 tahun lalu, kerajaan Kelantan pernah berusaha mendapatkan lesen untuk mengendalikan radio sendiri, namun tidak dibenarkan Kementerian Penerangan.