MB Rakam Tahniah Kepada Thailand

KOTA BHARU, 10 Jan (Hrkh) - Menteri Besar Kelantan merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan Thailand yang baru selesai mengadakan pilihan raya parlimen negara berkenaan, baru-baru ini. Ucapan tahniah itu disampaikan melalui Duta Thailand ke Malaysia, Suchitra Hiranprueck yang berkunjung ke pejabatnya, hari ini.

Pada 6 Januari lalu, kerajaan Thailand mengadakan pilihan raya bagi memilih calon ke parlimen dan parti yang akan membentuk kerajaan baru. Mengikut perkembangan terkini, parti Thai Rak Thai mendahului parti-parti lain, termasuk Demokrat yang menjadi kerajaan sebelum ini. Dr Thaksin Shinawatra seorang tokoh telekomunikasi terkemuka Thailand yang memimpin parti Thai Rak Thai dikatakan bakal menjadi Perdana Menteri baru negara tersebut.

Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, proses demokrasi yang berlangsung di negara Thailand sekarang berjalan dengan baik. Suchitra mengadakan kunjungan rasmi kepada Menteri Besar bagi mengucapkan selamat jalan, apabila beliau akan menamatkan perkhidmatan sebagai Duta di Kuala Lumpur, tidak lama lagi.

Sebelum ini, pada 1997 beliau pernah mengunjungi hormat Menteri Besar semasa mulai bertugas di negara ini. Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih di atas hubungan dua hala yang sedia terjalin di antara Thailand dan Malaysia terutamanya negeri-negeri yang berada di sempadan.

"Terima kasih di atas hubungan baik dua hala yang sentiasa terjalin erat," katanya. Beliau juga memberitahu, penduduk keturunan Melayu di Thailand hidup selesa dengan masyarakat Siam dalam sesuatu komuniti. Malah katanya, kerajaan Thailand turut memberi peluang sama rata kepada penduduk termasuk Melayu untuk mendapatkan pendidikan dan menceburi pelbagai sektor lain.

Menteri Besar berharap semangat kejiranan yang sedia terjalin sejak berpuluh tahun lalu dapat dipereratkan lagi. "Saya sebagai ketua kerajaan juga mengambil berat mengenai masyarakat bukan Islam di negeri ini. "Ketika mula-mula menerajui kerajaan, saya melawat kuil-kuil Buddha bagi menjalinkan hubungan rapat dengan masyarakat Siam. "Ini menggambarkan masyarakat Islam boleh hidup bersama biarpun berlainan agama, kepercayaan, bangsa dan keturunan dengan kaum-kaum lain," katanya.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berharap rakyat negeri ini dapat menimba ilmu mengenai teknologi terkini di bidang pertanian, yang berkembang pesat di Thailand sekarang.