Sejarah
50 Tahun PAS Kelantan
Latar
Belakang
Berikut
adalah dinukilkan catatan Amaluddin Darus rahimahullah mengenai usahanya
mengembangkan PAS di Kelantan.
"Menerusi
saudara Ahmad Yatim, saya diminta memberi penerangan di Masjid Repek,
kira-kira tiga batu dari Pasir Mas. Saya pergi kesana menemui Imam, dan
dibenarkan saya memberi penerangan selepas sembahyang Jumaat. Saya tidak
tahu siapakah yang meminta saya bersyarah disana.Saya pergi bersendirian,
dan bersyarah di sana. Orang-orang mendengar penerangan saya dan
kemudian bersurai. Tidak ada seorangpun pedulikan saya.
Saya keluar dari Masjid setelah bersalaman dengan Imam lalu menuju ke
sebuah kedai kopi, kerana perut telah terasa kosong benar.
Saya meminta secawan the dan memakan kueh, sambil tunduk memikirkan
bagaimana sambutan yang saya terima. Dalam hati saya mengatakan bahawa
apa yang terjadi kepada saya juga pernah terjadi kepada hamba-hamba
Allah yang lain. Atas apa-apa hal pun, saya telah melaksanakan tugas dan
kewajipan saya. Semoga ini semua tidak akan disia-siakan oleh Allah.
Dalam keadaan begitu tiba-tiba satu suara mengejutkan saya. Suara itu
dari seorang muda yang sedang berdiri sambil menarik kerusi. "Huh!
Katanya, "Boleh saya tanya sikit?”. Saya merenung pemuda itu dan
mempersilakan dia mumbuat pertanyaan. "Demo yang bersyarah tadi,
demo ingat bila PAS boleh menang nak perintah Kelantan?” Saya
tersenyum kepadanya. Dia mengulangi lagi ,"Bila PAS boleh perintah
Kelantan?”. Kata saya, perjuangan ini seperti kita bertanam padi. Kita
membuka hutan, menebang, membakar, membuat batas, mencedung atau menanam,
menaruh baja, menghalau burung dan babi, itulah kerja kita, tetapi
mengantung buah padi itu adalah urusan Allah sendiri dan bukannya urusan
saya. Bagaimanapun pada hemat saya apabila sahaja Tok Guru-Tok Guru di
Kelantan membuka mata melihat perjuangan PAS ini, maka pada waktu itulah
PAS menang dan isya'Allah akan memerintah Kelantan ini. Beliau
mengucapkan terima kasih, dan mengatakan tidak perlu bayar harga teh dan
kueh itu. Dia adalah anak dari tuan punya kedai tu barangkali.
Beberapa
hari setelah pilihan raya tahun 1959, di mana PAS menang 28 dari 30
kerusi negeri Kelantan, pemuda ini yang namanya saya tidak ingat telah
bertemu dengan saya di Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu. Beliau
memanggil saya dan berjabat tangan sambil mengigatkan kepada saya apa
yang telah saya terangkan kepadanya pada tahun 1953 dahulu. Katanya
" Apa yang ustaz kata dulu memang betul. Saya pada masa itu adalah
seorang pemuda UMNO dan mulai 1958 saya telah menyokong PAS.”
Faktor Penubuhan PAS di Kelantan
Penubuhan
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mempunyai kaitan rapat dengan kesedaran
para ulama’ yang bangkit memperjuangkan Islam di kalangan masyarakat
Tanah Melayu. Kesedaran itu diperkukuhkan lagi dengan perjuangan
membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British. Asas dan
dasar inilah juga yang menjadi teras perjuangan PAS menuntut kemerdekaan
daripada British.
Dengan
demikian lahirkan sebuah parti yang mempertegaskan cita-cita dan prinsip
perjuangan ke arah mewujudkan sebuah pemerintahan berdasarkan al-Quran
dan al-Hadis dan rakyatnya mengamalkan Islam sebagai cara hidup.
Demikian
mengenai penubuhan PAS di Kelantan adalah sebenarnya bertitik tolak
daripada pelbagai faktor. Di antaranya, sejarah kebangkitan Tok Janggut
dengan semangat jihad bangkit menentang penjajah Inggeris dalam isu
penindasan terhadap rakyat menerusi pengenaan cukai tanah. Begitu juga
tidak kurang penting adalah peranan ulamak seperti Tok Kenali atau Haji
Mahmood Yusoff bin Ahmad menerusi tulisan dan buah fikirannya membawa
kesedaran politik secara tersirat di sebalik pengajaran Islam kepada
rakyat Kelantan. Tokoh-tokoh ini adalah sangat berperanan dalam membuka
hati rakyat memahami dan menerima perjuangan politik.
Lanjutan
kemunculan UMNO terlebih awal, PAS muncul kemudiannya menguasai
pemikiran rakyat Kelantan bagi memperjuangkan kepentingan mereka atas
dasar Islam.
Kemudian
dalam konteks lain, Amaluddin Darus membayangkan terdapat faktor lain
yang menggerakkan tokoh-tokoh tempatan menubuhkan PAS.
"Muhammad
Asri , Hasan dan Abdul Rahim adalah kawan lama, dan mereka adalah
pemuda-pemuda dari API yang diharamkan, di mana banyak daripada mereka
di Kelantan telah ditangkap oleh British bersama pemimpin-pemimpin PKMM
atau Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Di antara pemimpin-pemimpin API itu,
ada juga yang cerdik dan melarikan diri dari Kelantan. Bila Muhammad
Asri kembali ke Kelantan dan bertemu dengan teman-teman seperjuangannya,
mereka berbincang hebat mengenai politik. Cara berfikir, Hasan dan Abdul
Rahim masih sama seperti dulu, ke kiri. Selalunya radikal dan progresif.
Tetapi cara berfikir Muhammad Asri sekarang telah berubah. Beliau
memandang politik nasional dengan kacamata Islam".
Walau apapun, faktor sebenar
PAS cepat bertapak dan berkembang di Kelantan adalah hakikatnya kerana
arus perjuangan Islam telah lama bertapak di kalangan tokoh tempatan
khususnya di sekitar Kota Bharu. Pengaruh perjuangan Islam tersebut
telah dibawa oleh beberapa pemimpin Masyumi Indonesia (parti
berlandaskan dasar Islam) yang datang menetap dan melawat Kelantan.
Di
antara mereka yang dimaksudkan ialah Tamee @ Bustamin bin Ismail yang
telah datang menetap di Kelantan sejak 1932. Beliau dilahirkan di Bukit
Tinggi Sumatera Barat. Di Kota Bharu, beliau telah membuka perniagaan
restoran yang menyediakan menu masakan ala Sumatera. Beliau telah
bersahabat baik dengan Mohd Daud bin Salleh seorang penulis petisyen
bertauliah di Kota Bharu. Mohd Daud adalah seorang yang meminati dan
menghayati perjuangan Masyumi. Semasa PAS ditubuhkan pada 1951, berita
itu cepat sampai ke pengetahuan Bustamin dan Mohd Daud. Mereka mendapat
maklumat daripada beberapa rakan dan individu tertentu di Perak,
khususnya melalui Khaidir bin Khatib yang mengajar agama di Ma'ahad Ehya
al-Syariff Gunung Semanggol. Khaidir juga berasal dari Sumatera.
Menurut
Amaludin Darus, pada masa itu Mohd Asri
yang aktif dalam API telah berpindah ke Perak untuk mengelak dari
diburu oleh pihak berkuasa. Beliau kemudian berkahwin dengan Sakinah
anak kepada Haji Joned (juga dari Sumatera), salah seorang guru di
Maahad Ehya Al-Syariff. Di maahad itulah Mohd Asri telah mula memahami
perjuangan Islam dan kemudian bekerja dengan Pejabat PAS di Kepala
Batas, Seberang Prai selepas PAS ditubuhkan.
Mohd
Asri adalah adik ipar kepada Mohd Daud. Sokongan moral dan kewangan dari
Mohd Daud dan Bustamin serta beberapa rakan lain turut sama mengadakan
ceramah mengembangkan PAS di sekitar Kota Bharu. Sehingga mereka berjaya
menubuhkan ranting PAS pertama di
Kota Bharu dalam tahun 1952. Di antara tokoh yang bersama -sama Mohd
Daud dan Bustamin ialah Mohd Amin bin Yaakob (pembantu Mohd Daud), Ishak
Lotfi bin Omar (anak tiri Mohd Daud/ Pegawai Majlis Agama) dan Abdul
Rahman sulong (imam di Dewan Beta).
PAS
Kelantan Ditubuh
Selepas
penubuhan ranting PAS itu, ia diikuti dengan penubuhan PAS cawangan
pertama di Kelantan bertempat di Pasir Mas. Penubuhan itu adalah atas
usaha Amaluddin Darus, Omar bin Yusuf, Ustaz Badullah Ahmad dan
lain-lain. Penubuhan secara rasmi PAS cawangan Pasir Mas ialah pada 23
Julai 1953.
Berteraskan
perjuangan Islam, PAS berjaya menarik golongan yang benar-benar cintakan
Islam seperti pada ulamak, ustaz-ustaz dan pelbagai lapisan masyarakat.
Kejayaan penubuhan PAS cawangan Pasir Mas telah mendorong Amaluddin
Darus bersama-sama Ahmad bin Yatim dan Mohd Noor bin Senik terus
menyebarkan PAS ke seluruh negeri Kelantan dengan pelbagai cara. Di
antaranya ialah dengan cara berbual di kedai kopi. Kesempatan berbual di
kedai kopi dimanfaatkan dengan memperkenalkan dasar perjuangan PAS .
Cawangan
kedua PAS ialah di Machang pada 21 September 1953. Pengasas penubuhannya
ialah Hj. Muhammad Nor bin Hj Yusoff atau lebih dikenali sebagai Haji
Mohd Nor Machang.
Selepas
cawangan Machang, PAS berjaya menubuhkan rantingnya di Tanah Merah
diikuti dengan Pasir Puteh pada tahun 1954. PAS dikatakan berkembang
pesat setelah kepulangan Mohd Asri bin Hj. Muda dibantu oleh Ishak Lotfi
bin Omar anak saudaranya. Ustaz Othman Abdullah, Ketua Pemuda PAS Pusat
turut berperanan membantu Mohd Asri. Kemudian muncul seorang tokoh
tempatan dari Pasir Puteh, Ustaz Hj Adam Kamil.
Hasilnya
PAS telah berkembang dan berjaya menubuhkan cawangan di Tanah Merah
(1955), Bachok (1956), Kuala Krai (1958) dan Tumpat (1959).
Perkembangan
PAS di Kelantan
Selepas
tahun 1955, PAS Kelantan membuka lembaran baru berikutan kepulangan Mohd
Asri. Beliau diberi penghormatan menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan dan
Terengganu. Sementara Amaluddin Darus selaku Setiausaha Perhubungan PAS
Kelantan dan Terengganu.
Ketokohan
Mohd Asri banyak menyumbang kepada menggerakkan sentimen kefahaman
politik Islam. Pidatonya yang disokong dengan bacaan ayat-ayat Al-Quran
dan Hadis di samping pandai menyelitkan unsur-unsur nasionalisme.
Persembahan pidatonya telah berjaya menarik guru-guru pondok menyertai
PAS. Di antara guru pondok yang terkedepan ialah Tuan Guru Haji Abdullah
Tahir dari Pondok Bunut Payong.
PAS
Kelantan Mewarisi Perjuangan Islam
Sebelumnya
PAS
pada asalnya adalah Persatuan Alim-Ulama’ Se-Tanah Melayu mewarisi
Hizbul Muslimin yang ditubuhkan pada tahun 1947 (oleh Ust Abu Bakar al-Baqir,
Pengasas Ihya’ al-Syarif Gunung Semanggol), iaitu kesinambungan
daripada perjuangan pembaharuan masyarakat Islam oleh ulamak yang
belajar di Timur Tengah.
PAS
telah didaftarkan sebagai sebuah parti politik sehari sebelum penamaan
calon bagi pilihan raya Majlis Undangan Persekutuan iaitu pada 31 Mei
1955. Lantaran itu, pengaruh PAS belum menyeluruh, hanya baru bertapak
di Perak, Kelantan dan Terengganu. Meskipun begitu, PAS percaya bahawa
langkah untuk menyertai pilihan raya pada masa itu merupakan latihan
semata-mata dan sangat wajar untuk memperkenalkan PAS kepada rakyat
secara terbuka.
Setelah
empat tahun penubuhan, PAS menyertai pilihan raya Majlis Undangan
Persekutuan tahun 1955. PAS meletakkan calon bertanding di tiga kawasan
di Kelantan dan kesemuanya kalah. Mereka ialah Mohammad Asri (Bachok dan
Pasir Puteh), Muhammad Nor Hj Yusof (Mahang dan Ulu Kelantan) dan Haji
Mokhtar Hj Ahmad (Pasir Mas).
Walau
bagaimanapun, PAS mendapat satu kemenangan di Kerian, Perak melalui
calonnya Tuan Haji Ahmad Tuan Husain, seorang guru pondok di Pokok
Sena, Seberang Prai.
Berikutan
dengan kekalahan itu, jentera PAS bergerak lebih aktif lagi, contohnya
Mohd Asri dan Amaluddin Darus hanya berehat seminggu dan terus berusaha
menyebarkan PAS ke seluruh Kelantan.
Berkat usaha gigih pemimpin terawal, PAS kemudian berjaya menguasai
kerajaan negeri Kelantan melalui pilihan raya pertama selepas merdeka
pada Ogos 1959. PAS Kelantan telah dianugerahkan kemenangan oleh Allah.
PAS menang 28 kerusi Dewan Undangan Negeri daripada 30 kerusi.
Kemenangan yang menguji PAS Kelantan untuk mentadbir kerajaan Negeri.
Dalam
pilihanraya 1959 itulah Profesor Zulkifli Muhammad selaku Timbalan Yang
DiPertua PAS Pusat, seorang tokoh PAS Pusat telah didatangkan bertanding
di Parlimen Bachok. Beliau telah menang dan berjaya menjadi salah
seorang ahli Parlimen pembangkang yang paling disegani oleh kawan dan
lawan.
Cabaran Perjuangan PAS Kelantan
Kemenangan
pilihan raya 1959, telah meletakkan taraf PAS Kelantan sebagai parti
kerajaan di negeri dan mengekalkan status-quo pembangkang di Persekutuan.
Oleh itu, perjalanan kerajaan negeri Kelantan sepanjang masa menghadapi
cabaran dan diskriminasi kerajaan Persekutuan yang dikuasai UMNO bersama-sama
parti komponannya yang membentuk Perikatan.
Pada
tempoh yang sama, PAS Kelantan turut mengalami cabaran kepimpinan ekoran
daripada perjalanan parti dan kerajaan negeri yang dikuasai. Sehingga
mana mewujudkan perselisihan dan percanggahan sesama sendiri. Ketika itu,
pemimpin UMNO sedia bertindak sebagai pemecah belah kestabilan
kepimpinan PAS di Kelantan. Akhirnya, PAS Kelantan tidak mampu bertahan,
apabila kekecohan kepimpinan memuncak dan kerajaan Persekutuan menerusi
kuasa-kuasa yang ada telah memagerankan kerajaan Kelantan pada tahun
1977.
Pilihan
raya negeri Kelantan secara khusus diadakan pada Mac 1978, PAS Kelantan
telah menjadi pembangkang. PAS hanya menang dua kerusi, diibaratkan batu
nesan – Kemumin (di hilir) dan manek Urai (di hulu). UMNO telah
menguasai kerajaan dengan bersama-sama parti Berjasa serpihan PAS.
Kebangkitan PAS Bersama-sama Kepimpinan Ulamak
Sesungguhnya
era kebangkitan semula pengaruh PAS Kelantan menguasai politik berlaku
selepas kekalahan pilihan raya negeri 1978. Ia berlaku selepas pilihan
raya umum 1982, sebaik sahaja kepimpinan PAS peringkat nasional berubah
daripada kepimpinan tradisi nasionalis kepada kepimpinan ulamak beragama.
Akibat daripada itu, sekali lagi PAS melahirkan parti serpihan, Hamim.
Kebangkitan
semula itu telah menserlahkan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan sekaligus sebagai Ketua Dewan
Ulamak PAS Pusat.
Pada
pilihan raya pertama selepas kekalahan tahun 1982, PAS memenangi 10
kerusi dewan negeri. Namun selepas itu, lima daripadanya telah menyertai
Hamim. Kemudian pada pilihan raya 1986, PAS masih memenangi 10 kerusi
dewan negeri.
Perkembangan
selanjutnya adalah dipengaruhi langsung oleh pendekatan kepimpinan
ulamak. Hala tuju tarbiah disusun semula. Ustaz Yahya Othman mengambil
peranan utama bersama-sama Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz melaksanakan
kuliah untuk masyarakat umum dan usrah untuk kepimpinan dalaman. Kesan
daripada itu, kepimpian dan ahli serta penyokongnya telah dibekalkan
kefahaman dan fikrah perjuangan mantap.
Menjelang
pilihan raya 1990 berlaku krisis dalaman hebat kepimpinan UMNO dan
ditambah pula permasalahan dalaman kerajaan Barisan Nasional Kelantan.
PAS Kelantan yang telah bertungkus lumus daripada awal menyusun kekuatan,
lantas bangkit mengisi peluang dan telah mengadakan kerjasama baik
dengan parti Semangat 46, serpihan UMNO yang dipimpin Tengku Razaleigh
bin Tengku Hamzah.
Berlaku
pilihan raya 1990, PAS telah mempunyai kekuatan berganda, bekerjasama
melalui Angkatan Perpaduan Ummah (didokongi oleh Parti Semangat 46,
Berjasa dan Hamim) dan berjaya memenangi kesemua 39 dewan undangan
negeri (25 – PAS, 12 Semangat 46, 1 – Berjasa, 1 – Hamim). PAS
kembali menguasai kerajaan negeri Kelantan berlaih kepada PAS atas
semangat kerjasama dengan Angkatan Perpaduan Ummah.
Pengalaman
10 Tahun Kerajaan PAS Kelantan
Selama
dua pengggal pilihan raya, kira-kira 10 tahun pemerintahan PAS bersama-sama
Angkatan Perpaduan Ummah banyak kejayaan telah dikecapi. Di antara yang
terbesar adalah merealisasikan pentadbiran secara Islam mengikut
kuasa-kuasa yang ada di peringkat kerajaan Negeri.
Namun,
kejayaan itu terganggu seketika bila mana Semangat 46 dilanda krisis
dalaman, lalu ia dibubarkan pada tahun 1996. Selepas itu, PAS Kelantan
mengenderai kerajaan dengan penuh berhati-hati terutama di dalam
menangani ganggu–gugat daripada bekas pemimpin Semangat 46 yang telah
menyertai UMNO.
Berkat
kesabaran dan keyakinan kepada usaha menegakkan Islam, PAS Kelantan
berjaya melepasi ganggu-gugat tersebut. Terlepasnya daripada usaha
pecah-belah di antara kepimpinan kerajaan Negeri dengan Institusi Istana.
Hasilnya begitu baik sekali. Prestasi pilihan raya 1999 jelas melonjak,
memenangi 41 daripada 43 dewan undangan negeri. Pembentukan kerajaan
negeri pda pengal ketiga ini dilihat lebih mantap. Lebih-lebih ia
dibayangi kekuatan Barisan Alternatif (kerjasama PAS, DAP, Keadilan dan
PRM) yang diterajui PAS di peringkat nasional.
PAS
Kelantan Menuju Mercu Kegemilangan
Sesungguhnya
PAS Kelantan kini sedang mencipta sejarah kegemilangan. Di antara nilai
kegemilangan itu adalah kejayaan mentadbir negeri atas nama perjuangan
Islam, menampilkan kepimpinan ulama’ di peringkat parti dan kerajaan
dan melengkapkan infrastruktur (fizikal) parti berasaskan kecanggihan
teknologi.
Oleh
itu, bersekali dengan kesibukan kepimpinan PAS Kelantan menguruskan
kerja-kerja pentadbiran kerajaan negeri, masih terlaksana juga
kerja-kerja untuk menyempurnakan tugas parti dan mengukuhkan PAS pada
keseluruhannya. Di dalam melaksana kedua-duanya (kerja kerajaan dan
parti) asas kebulatan tekad dan keupayaan tulang empat kerat di kalangan
pemimpin dan ahli PAS telah terbukti dan membuahkan kejayaan menjelang
sambutan 50 tahun – perayaan jubli emas.
Sambutan
Jubli Emas PAS
Jubli
Emas PAS akan disambut di peringkat nasional pada 7 – 9 September
2001.PAS Kelantan bertuah kerana terpilih sebagai tuan rumah. Sejarah
sambutan ini kelak amat bermakna sekali terutama ketika PAS Kelantan
bersama-sama PAS Terengganu kini menjadi fokus di pentas politik negara.
Justeru
itu, baik sekiranya semua kepimpinan, ahli dan penyokong PAS di semua
peringkat dapat menyelami, memahami dan dijadikan pedoman daripada
sejarah yang dilalui oleh PAS secara keseluruhannya.
PAS
yang telah banyak menghadapi liku-liku, onak dan duri. Sejarah
perjuangan yang berliku-liku ini tidak diketahui secara jelas oleh
kebanyakan generasi muda hari. Oleh itu, wajar bagi PAS Kelantan
bersempena genap umur 50 tahun ini, dapat bersama-sama melakar dan
merakamkan semula sejarah perjuangannya kepada semua ahli PAS dan orang
awam demi mendedahkan kebaktian perjuangan Islam di tanah air yang
tercinta ini.
Sekian
|