Sekolah (JK) Cina Disisihkan Kerajaan BN

KOTA BHARU, 16 Jan  (Hrkh) - Masyarakat Cina di sini melahirkan rasa tidak berpuas hati terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dianggap mengenepikan hak mereka mendapatkan kemudahan pendidikan sebagaimana dijanjikan. Masalah tersebut menghantui institusi pendidikan Cina sejak zaman berzaman, yang tidak berjaya diselesaikan sepenuhnya kerajaan BN. Antaranya, peruntukan tidak mencukupi bagi sekolah-sekolah jenis kebangsaan (JK) Cina, kekurangan bilik darjah dan kekurangan guru mengajar matapelajaran Bahasa Cina.

Bekas pendidik, Hu Pang Chaw berkata, tiga masalah tersebut berlaku sejak kerajaan BN mengambilalih sekolah-sekolah persendirian Cina pada tahun 1960-an. Katanya, pada peringkat awal sebelum mengambilalih sekolah-sekolah berkenaan, kerajaan BN menjanjikan untuk memberi bantuan sepenuhnya tanpa pilih kasih.

"Namun setelah hampir 40 tahun, masalah itu masih lagi berlarutan dan tidak diselesaikan sepenuhnya kerajaan. "Masyarakat Cina menganggap kerajaan mengkategorikan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina sebagai kelas kedua, kerana janji untuk membantu pembangunan sekolah dan menambah bilangan guru bahasa Cina mencukupi tidak dilunas sehingga sekarang," katanya.

Menurutnya, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan sepatutnya meningkatkan kemahiran guru-guru kontrak yang mengajar bahasa Cina melalui kursus dalam cuti. Bagaimanapun tambahnya, sehingga kini usaha tersebut tidak dilakukan. Pang Chaw yang kini anggota Majis, Majlis Perbandaran Kota Bharu berkata, kerajaan BN juga menjanjikan untuk memberi bantuan modal secukupnya kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina. Katanya, bantuan disyaratkan itu sebelum ini, misalnya apabila jemaah pengelola berjaya mengumpul sebanyak RM1,000, maka kerajaan pula memberi tambahan RM1,000.

"Bantuan ringgit ke ringgit sekarang masih tidak mampu untuk membangunkan sekolah jenis kebangsaan Cina sepenuhnya, setanding sekolah-sekolah lain," ujarnya. Beliau berkata, sepatutnya kerajaan perlu memberi bantuan sepenuhnya kepada sekolah-sekolah terbabit, sebagaimana tercatat dalam Akta Pendidikan Nasional.

Bagaimanapun katanya, pihak terbabit tidak mematuhi sepenuhnya apa yang terkandung dalam akta tersebut.  Sehubungan itu, beliau berkata, adalah menjadi alasan lojik bagi masyarakat Cina menolak konsep sekolah wawasan yang menjadi isu sebelum ini, berdasarkan kepada pengalaman dilalui masa lampau. Katanya, masyarakat Cina takut pisang berbuah dua kali, biarpun kerajaan BN kerap kali berjanji untuk menyelesaikan masalah berkenaan.