KADAR PERTUMBUHAN EKONOMI KELANTAN DIJANGKA LEBIH MANTAP 



KOTA BAHARU, 26 Jun -- Kerajaan negeri Kelantan
menjangka kadar pertumbuhan ekonomi negeri pada tahun ini lebih mantap memandangkan pelbagai langkah pembangunan sektor ekonomi yang sedang dilaksanakan. 

Pengerusi Jawatankuasa Perancang, Kewangan dan Pentadbiran
Awam Negeri Takiyuddin Hassan berkata, strategi berkesan
memantapkan ekonomi negeri itu melibatkan pelbagai sektor
seperti perindustrian, pertanian, perikanan dan infrastruktur. 

Penyertaan pihak swasta dan agensi-agensi kerajaan dalam
pelbagai sektor ekonomi terutamanya pertanian dan perindustrian merupakan penjana kepada pertumbuhan ekonomi negeri tahun ini, katanya ketika menjawab soalan Dr Nik Mazian Nik Mohamed (PAS-Gaal) pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini. 

Takiyuddin berkata, kadar pertumbuhan ekonomi negeri pada
tahun lepas ialah 3.3 peratus iaitu meningkat sebanyak 8.4
peratus. Pada 1998 kadar pertumbuhan ekonomi Kelantan menurun iaitu -5.1 peratus. 

Takiyuddin juga berkata, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)
masih membayar cukai tanah mengikut kadar lama iaitu RM225,068 setahun kepada kerajaan negeri. 

Katanya, cukai tanah itu sepatutnya dibayar mengikut kadar baru yang diwartakan pada 1995 iaitu RM4.1 juta setahun. 

Cukai tanah oleh KTMB itu membabitkan keluasan 19.5 juta meter persegi melibatkan 79 lot tanah di Pasir Mas, Tumpat, Machang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang, katanya. 

"KTMB kena bayar mengikut kadar baru kerana ia telah
dikorporatkan," katanya semasa menjawab soalan Zakaria Yaacob (PAS-Banggol Judah). 

Beliau berkata, rundingan sedang dijalankan oleh pihak kerajaan
negeri dengan KTMB serta Kementerian Tanah dan Pembangunan
Koperasi untuk menyelesaikan masalah berkenaan termasuk
tunggakan. 

Timbalan Menteri Besar, Abdul Halim Abdul Rahman pula berkata
projek petrokimia di Pantai Senok, Bachok di bawah Keloil Sdn Bhd berjaya menjadi penjana kepada sumber kewangan negeri. 

Keloil Bottling Sdn Bhd dan Keloil LPG Cylinder Sdn Bhd, dua anak
syarikat Keloil masing-masing telah menunjukkan prestasi yang
memberangsangkan sejak beroperasi dua tahun lepas, katanya
ketika menjawab soalan Dr Nik Mazian Nik Mohamed (PAS-Gaal). 

Beliau berkata, Keloil Bottling yang menjalankan kegiatan
pembotolan gas untuk Syarikat Esso, sehingga Mei lepas mampu
mengeluarkan 1,200 unit selinder sehari, untuk pasaran tempatan dan eksport. 

Keloil LPG Cylinder pula mampu memasarkan gas petroleum cecair
(LPG) secara pukal kira-kira 500 metrik tan sebulan. 

Abdul Halim berkata, Kelantan mempunyai prospek yang cerah
dalam sektor petrokimia memandangkan terdapat kira-kira 13 trilion meter padu bahan itu di persisiran pantai negeri ini dan 20 trilion meter padu di luar pantai. 

Ketika menjawab soalan tambahan Wan Othman Wan Yusoff
(PAS-Tendong), Abdul Halim berkata walaupun KUB Berhad telah
menandatangani perjanjian persefahaman dengan kerajaan negeri untuk memajukan projek petrokimia di Pantai Senok, syarikat itu masih berdiam diri berikutan kegawatan ekonomi. 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri Abdullah Ya'kub pula berkata, prestasi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sejak mengambil alih pembekalan air bersih di negeri ini daripada Kelantan Water Sdn Bhd (KWSB) tahun lepas, semakin baik dan mampu mengeluarkan 211 juta liter sehari berbanding 184 juta liter sehari sebelum ini.