Bawa Penumpang Ke Ta'ba: Pemilik Bot Rayu Kerajaan

TUMPAT, 11 Jan (Hrkh) - Pemilik bot berenjin galah yang beroperasi di sungai Kuala Ta'ba melahirkan rasa tidak puas hati terhadap larangan kerajaan yang menghalang beroperasi seperti biasa bagi mencari rezeki.

Menurut mereka, biarpun larangan tersebut bertujuan menghalang penyedupan, namun mata pencarian mereka membawa penumpang berulang alik dari negara jiran sudah berpuluh tahun dilakukan.

Seorang pemilik bot, Hasim Muhamad, 30 berkata, sepatutnya pihak polis mengadakan perbincangan terlebih dahulu dengan pemilik bot galah sebelum sesuatu arahan baru dibuat.

"Seperti mana yang diketahui umum, mata pencarian kami hanya semata-mata bergantung kepada orang ramai yang berulang alik dari Ta'ba ke Pengkalan Kubur," katanya. Menurutnya, larangan pihak berkuasa tersebut menjejaskan sama sekali rezeki keluarganya terutamanya ramai anak-anak yang masih bersekolah.

Ahmad Abdullah, 40 juga pemilik bot berharap pihak berkuasa mengkaji semula larangan tersebut kerana ia menjejaskan sumber rezeki mereka. "Tindakan polis melarang operasi kami di sini menyebabkan pendapatannya terjejas teruk kerana orang ramai takut hendak keluar masuk," ujarnya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi memberitahu pihak berkuasa mungkin mengkaji semula larangan tersebut selepas ini. Baru-baru ini, seorang anggota Pasukan Gerak Am ditikam seorang penyeludup di sempadan Kelantan - Thailand.