TEKS UCAPAN BELANJAWAN 2001

YAB TUAN GURU DATO’ HJ. NIK ABD. AZIZ B. NIK MAT

MENTERI BESAR KELANTAN.

 

 

Maksudnya:

Hendaklah orang-orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. Barang siapa yang sempit (sedikit) rezekinya, hendaklah memberi nafkah menurut yang diberikan Allah kepadanya. Allah tiada memberati diri seseorang, melainkan menurut yang diberikan Allah kepadanya. Nanti Allah mengadakan kemudahan sesudah kesukaran.

                             Ath-Thalaaq : 7

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua

Saya bersyukur ke hadhrat Allah SWT kerana dengan limpah izinnya sekali lagi saya dipanjangkan umur dan diberi kesempatan berdiri di dalam Dewan yang mulia ini untuk membentangkan Belanjawan Negeri Kelantan Tahun 2001.

Saya juga ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah SWT kerana dengan taufik dan hidayatNya Kerajaan Negeri Kelantan telah dapat melaksanakan tugasnya dengan sempurna walau pun terpaksa menghadapi berbagai cabaran di dalam beberapa tahun yang kebelakangan ini. Dengan berkat kesabaran kita serta dengan dasar berjimat cermat yang telah sama-sama kita amalkan, kita dapat mentadbirkan Kerajaan Negeri ini dengan sebaik-baiknya. Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT semoga Allah terus memberi kekuatan kepada kita supaya segala nikmat yang diberikan ini dapat dikekalkan malah di tambah lagi di masa-masa yang akan datang.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi junjung kasih atas limpah ampuni perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku AI-Sultan dan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Perempuan berangkat mencemar Duli ke Dewan Persidangan ini dan seterusnya menyempurnakan Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan bagi sidang yang Ke-Empat (Belanjawan) Bagi Tempuh Penggal Yang Pertama, Dewan Undangan Negeri Kelantan Yang Ke Sepuluh.

 

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Kita semua berasa bersyukur ke hadhrat Allah SWT, kerana kita telah berjaya menghadapi kegawatan ekonomi yang melanda selama lebih dari dua tahun dengan tabah. Berkat kesabaran dan kerja keras kita semua, serta dengan langkah bersungguh-sungguh Kerajaan Negeri menangani masalah ini, telah dapat membantu memulihkan kita dari kegawatan.

Kesan ini dapat dirasai dengan kadar pertumbuhan ekonomi negara yang telah mencatat pertumbuhan positif di dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.4% di dalam tahun 1999, dan di jangka pertambahan KDNK dalam tahun 2000 akan terus meningkat kepada 5.8%. Peningkatan tersebut telah turut di rasai oleh Negeri Kelantan dengan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar mencatat pertumbuhan sebanyak 3.3 % di dalam tahun 1999, berbanding dengan Negatif 5.1% dalam tahun sebelumnya.

 

Yang Berbormat Tuan Yang Di Pertua,

Namun begitu di dalam susasana ekonomi yang kian bertambah baik ini, tidak seharusnya membuat kita berasa lega malah kita perlu lebih berhati-hati serta berwaspada setiap masa agar masalah yang sama tidak akan berulang semula. Oleh itu Belanjawan Negeri Kelantan pada tahun 2001 akan membawa konsep “BELANJAWAN BERDIKARI DAN BERDAYA MAJU”

Berdikari dalam konteks ini membawa erti, Mengurus punca hasil yang sedikit secara bijaksana dengan memaksimumkan kutipan hasil negeri dan mengoptimumkan penggunaan hasil tersebut.

Berdaya maju pula menjelaskan bahawa belanjawan kali ini merupakan satu langkah permulaan ke arah usaha Kerajaan Negeri untuk merealisasikan potensi sebenar hasil dalam negeri yang mana kesannya akan boleh dirasai di dalam belanjawan-belanjawan yang akan datang.

MATLAMAT BELANJAWAN TAHUN 2001

Yang Berhormat Tuan Yang Di Perfua,

Di dalam usaha untuk mencapai perkara di atas, tumpuan utama Belanjawan Tahun 2001 adalah untuk memenafaatkan seluruh jentera kerajaan bagi menggerakkan semua aktiviti dalam usaha meningkatkan hasil. Maka dengan itu Kerajaan telah menetapkan matlamat-matlamat berikut:

1. Meneruskan dasar berjimat cermat dengan mengamalkan perbelanjaan berhemat  bagi mengukuhkan kedudukan kewangan negeri.

2. Menggembelingkan usaha kearah meningkatkan sumber hasil negeri bagi    mencapai Belanjawan seimbang di masa akan datang.

 

3. Meningkat program penguatkuasaan yang lebih tegas dengan mengambil langkah-

   langkah perundangan dan peraturan yang sedia ada tanpa campurtangan mana-

   mana pihak.

 

4.Memperkemas dan menyusun semula pengurusan pentadbiran bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti.

 

5. Meneruskan rancangan pembangunan tanah dan pengurusan hutan yang berkekalan untuk satu jangka waktu yang panjang bagi mempastikan kedua-dua sektor ini terus menjadi penyumbang utama kepada hasil negeri.

 

6. Meneruskan pelaksanaan program-program pembangunan yang dapat memberi pulangan hasil kepada rakyat serta mewujudkan masyarakat yang produktif dan berdaya maju terutama golongan belia, petani dan golongan berpendapatan rendah.

 

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Usaha untuk merealisasikan perkara ini harus dijadikan fokus utama di samping juga mengenalpasti punca-punca baru yang boleh diteroka. Sekiranya usaha-usaha tambahan ini berjaya dilaksanakan, saya percaya sasaran kerajaan untuk mencapai tunggakan sifar akan berjaya. Dengan itu kerajaan negeri akan dapat mengemukakan satu belanjawan yang benar-benar realistik dengan defisitnya yang semakin berkurangan setiap tahun dan akhirnya menuju kearah Belanjawan Seimbang, InsyaAllah

 


BELANJAWAN NEGERI TAHUN 2001

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Belanjawan 2001 merupakan belanjawan defisit di mana Anggaran Hasil di jangka akan di perolehi sebanyak RM 178.49 juta, manakala Perbelanjaan Mengurus diang-garkan berjumlah RM 196.82 juta. Ini menunjukkan berlaku defisit sebanyak RM 18.33 juta . Walau bagaimanapun defisit tersebut telah jauh berkurangan daripada defisit di dalam belanjawan tahun 2000. Anggaran Hasil tahun 2001 telah menunjukkan peningkatan berbanding Anggaran Hasil tahun 2000. Namun peningkatan tersebut masih tidak dapat menampung sepenuhnya Perbelanjaan Mengurus yang turut juga meningkat.

 

ANGGARAN HASH TAHUN 2001

Yang Berhormat Tuan Yang Di Perfua,

Anggaran Hasil Negeri pada tahun 2001 dijangka akan diperolehi sebanyak RM 178.49 juta yang meliputi Hasil Cukai sebanyak RM 44.39 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM66.66 juta, sementara Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM 67.43 juta. Jumlah tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan hasil sebanyak RM 19.73 juta ataupun sebanyak 12.42% berbanding dengan Anggaran Hasil Tahun 2000 dengan jumlah sebanyak RM 158.77 juta sahaja.

Pertambahan hasil pada tahun 2001 ini adalah berpunca dari beberapa kenaikan dari sumber hasil Tanah. Adalah dijangka Kerajaan Negeri akan memperolehi sebanyak RM 39.85 juta dari sumber hasil Tanah yang melibatkan kenaikan sebanyak RM 5.98 juta atau 17.66%.

Daripada hasil tersebut, Cukai Tanah akan mengalami peningkatan sebanyak RM600,000, Lesen Menduduki Sementara (T.O.L) meningkat sebanyak RM 870,000, Permit Tanah meningkat sebanyak RM 3.82 juta, sementara Permohonan Tanah meningkat sebanyak RM 600,000. Dengan langkah-langkah yang sistematik yang dilaksanakan oleh Pejabat Pengarah Tanah dan Galian serta Pejabat-pejabat Tanah saya yakin peningkatan hasil ini akan dapat dicapai.

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Kerajaan Negeri sedar bahawa jumlah permohonan tanah yang telah diluluskan tetapi masih belum menjelaskan premium telah meningkat sebanyak RM 35.39 juta. Sementara tunggakan cukai tanah yang patut di pungut pada tahun 2000 telah mencapai angka RM 8.24 juta dengan tunggakan terkini sehingga Julai 2000 telah pun mencecah angka RM 10.29 juta.

Oleh itu Kerajaan Negeri akan meneruskan kutipan-kutipan berkenaan termasuk kutipan cukai tanah semasa dengan mempastikan tunggakan berada di peringkat minima. Langkah-langkah berikut akan dilaksanakan melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian bagi merealisasikan pungutan hasil berkenaan.

1. Membuat kutipan hasil bergerak di luar pejabat.

2. Membuat tindakan perampasan dibawah seksyen 100 KTN 1965.

3. Melaksanakan tindakan pendakwaan di bawah Seksyen 16 KTN 1965.

4. Menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk tujuan menguatkuasakan pungutan hasil.

5. Menyediakan sistem pungutan hasil berkomputer bagi memudahkan pemilik membayar hasil tanah di mana-mana pejabat tanah di Negeri Kelantan.

6. Mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dengan pelanggaran syarat tanah, dan

7. Operasi mengeluarkan notis melalui Borang 5A bagi mereka yang tidak menjelaskan premium tanah.

Yang Berhormat Yang Di Pertua,

 

Kerajaan juga sedar bahawa trend pungutan hasil hutan telah menurun dalam tiga tahun kebelakangan ini dan ia tidak lagi menjadi penyumbang utama kepada hasil negeri, namun usaha-usaha harus di ambil terutama di dalam penanaman semula hutan serta melaksanakan pengurusan hutan yang lebih baik. Dalam tahun 2001, sektor perhutanan akan menyumbangkan hasil sebanyak RM 43.6 juta.

Royalti Kayu kayan akan menyumbangkan sebanyak RM18.00 juta, Tribute Konsesi Hutan meningkat sebanyak RM 1.0 juta kepada RM 5.0 juta. Permit Lesen Perhutanan menyumbangkan sebanyak RM 1.8 juta, sementara Premium Perhutanan meningkat kepada RM 16.0 juta. Di samping itu punca-punca lain seperti Perlesenan Kilang Industri Hutan, Bayaran Jabatan Hutan dan Denda akan menyumbangkan sebanyak RM 3.1 juta. Saya yakin dan percaya sekiranya usaha yang bersungguh-sungguh dapat dijalankan, tidak mustahil perkara ini akan dapat dicapai.

Yang Berhormat Juan Yang Di Pertua,

Kerajaan Negeri sentiasa turut mengambil daya usaha bagi mengambil langkah-langkah mengenalpasti punca hasil baru. Di antaranya adalah usaha untuk mempastikan beberapa buah kuari batu marmar di Gua Musang akan dapat beroperasi sepenuhnya serta berupaya mengeluarkan hasil. Setakat ini ia sudah pun berada di peringkat pewartaan keluar dari kawasan Hutan Simpan Sungai Terah dan Hutan Simpan Nenggiri. Satu lagi ialah meneruskan langkah-langkah untuk mendapat balik tunggakan sewa Rumah Awam Kos Rendah yang akan sentiasa diberi keutamaan. Sebagai langkah terakhir tindakan perundangan akan dilaksanakan sebagai jalan terakhir untuk mendapat balik tunggakan. InsyaAllah dengan langkah-langkah yang diambil seperti di atas Anggaran Hasil sebanyak RM 178.48 juta akan diperolehi dengan tindakan yang akan di jalankan nanti.

 

ANGGARAN PERBELANJAAN MENGURUS TAHUN 2001

 

Yang Berhoimat Tuan Yang Di Pertua,

Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tahun 2001 berjumlah sebanyak RM 196.82 juta meningkat sebanyak RM 5.45 juta atau peningkatan sebanyak 2.84 % berbanding perbelanjaan tahun 2000, dengan Perbelanjaan Tanggungan sebanyak RM 33.64 juta dan Perbelanjaan Bekalan berjumlah RM 163.19 juta.

Dari jumlah tersebut, RM 78.99 juta atau 40% adalah untuk Emolumen, RM 78.13 juta atau 40% adalah untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, RM 29.46 juta atau 15% adalah untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM 7.68 juta atau 4 % untuk Aset dan RM 2.56 juta atau 1 % untuk Lain-lain perbelanjaan

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Pecahan Anggaran Perbelanjaan Mengurusmengikutsektoradalah sebagaimana berikut.

1. Pentadbiran                     - RM 84.66 juta

2. Pertanian                        - RM 33.77 juta

3. Infrastruktur                    - RM 16.18 juta

4. Sosial                             - RM 25.21 juta

5. Pendidikan dan Kerohanian  - RM 37.00 |uta

 

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Peningkatan yang jelas didalam Perbelanjaan Mengurus ialah bagi menampung perbelanjaan tahunan yang tidak dapat di elakkan iaitu kenaikan Gaji Tahunan. Di samping itu Kerajaan Negeri telah turut menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan Persekutuan Bil 7/2000 iaitu Pembayaran Pertambahan Kenaikan Gaji sebanyak 10% yang menyebabkan pembayaran gaji dibuat dengan menggunakan sifir gaji baru mulai Januari tahun 2000 lagi. Kerajaan telah turut juga menerima pakai Pekeliling Perkhidmatan Persekutuan Bil 6/2000 iaitu mengenai pertambahan Pembayaran Imbuhan Tetap Perumahan sebanyak 50% yang juga di bayar mulai Januari tahun 2000 lagi. Ini menunjukkan bahawa kerajaan Negeri bersedia dan komited   di dalam menjaga kebajikan dan perkhidmatan kakitangannya. Justeru itu kakitangan kerajaan hendaklah sentiasa mengekalkan atau pun meningkatkan prestasi kerja mereka dan seterusnya berusaha sedaya upaya mereka di dalam membantu kerajaan mempertingkatkan produktiviti.

 

ANGGARAN PERBELANJAAN PEMBANGUNAN TAHUN 2001

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Dalam Tahun 2001 sebanyak RM 65.03 juta di peruntukkan untuk melaksanakan beberapa projek pembangunan yang memberi penekanan kepada projek-projek yang berpotensi meningkatkan hasil. Program-program yang boleh memberi kemudahan infrastruktur kepada rakyat serta program bagi memajukan sektor pertanian turut di beri keutamaan.

 

Secara ringkasnya Perbelanjaan Pembangunan mengikut Sektor adalah sebagaimana berikut.

1. Pentadbiran                                      - RM 12.98 juta

2. Pendidikan dan Kerohanian                   - RM   4.40 juta

3. Pertanian                                          - RM  12.77 juta

4. Sosial                                               - RM  15.61 juta

5. Infrastruktur                                      - RM  19.27 juta

 

ANGGARAN PERBELANJAAN KESELURUHAN MENGIKUT SEKTOR

Yang berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Anggaran Perbelanjaan Mengurus dan Pembangunan secara keseluruhannya mengikut sektor adalah sebagaimana berikut:

          1. Pentadbiran                           -  RM 97.64 juta

          2. Pendidikan dan Kerohanian       -  RM 41.40 juta

          3. Pertanian                              -  RM 46.54 juta

          4. Sosial                                   -  RM 40.82 juta

          5. Infrastruk                              -  RM 35.45 juta

 

PENTADBIRAN YANG CEKAP

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Kerajaan Negeri sentiasa sedar tentang kemungkinan-kemungkinan berbagai cabaran dalam aspek pentadbiran dan pengurusan kewangan Kerajaan dengan cekap dan berkesan. Dalam usaha untuk mengukuhkan kewangan Kerajaan Negeri, langkah berjimat cermat, kreatif, dan produktif akan terus diutamakan. Selaras dengan ini, perlaksanaan system pengkomputeran di Kompleks Kota Darulnaim serta pelaksanaan Sistem Pungutan Hasil Tanah Berkomputer (SPHTB) di seluruh Jajahan di Negeri Kelantan adalah merupakan langkah awal ke arah pembentukan sebuah pentadbiran yang cekap.

Dalam usaha memperkukuhkan pentadbiran dan pengurusan ini tentunya memerlukan pengemasan jentera pentadbiran serta seluruh anggotanya. Di sinilah mustahaknya amalan dan penghayatan kod-kod etika perkhidmatan Islam seperti yang telah diputuskan iaitu Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan sesuai dan selaras dengan wawasan Kerajaan Membangun Bersama Islam.

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Kod-kod etika perkhidmatan ini mempunyai konsep yang murni. Ubudiyyah menekankan budaya kerja menjadikan tugasan harian sebagai ibadat. Mas'uliyyah pula menekankan pertanggungjawaban dengan majikan dan Tuhan dalam melaksanakan tugasan. Manakala Itqan menekankan kepada pencapaian mutu atau kualiti perkhidmatan yang terbaik.

Kerajaan Negeri berhasrat, melalui kod-kod etika perkhidmatan ini akan memberikan peluang kepada kakitangannya beribadat dengan penuh amanah melalui perlaksanaan tugasan harian masing-masing di samping mengharapkan pulangan mutu perkhidmatan yang terbaik terutama dalam sector pentadbiran. Dalam hal ini. izinkan saya menggantungkan harapan yang setingginya supaya kakitangan Kerajaan benar-benar berusaha meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing bersandarkan konsep Ubudiyyah, Mas'uliyyah dan Itqan tadi.

Di samping memperkemaskan jentera pentadbitan Kerajaan juga bercadang untuk mengemaskinikan portfolio-portfolio Exco Kerajaan Negeri dari masa ke semasa supaya menjadi lebih cekap dan berkesan.

PENDIDIKAN DAN KEROHANIAN

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Kerajaan Negeri sejak bermulanya Dasar Membangun Bersama Islam kira-kira satu dekad yang lalu telah meletakkan keutamaan pembangunan kepada Pembangunan Insan. Ini kerana Kerajaan percaya insan adalah aset yang paling penting di dalam kehidupan, lantaran mereka adalah Khalifah Allah. Di dalam memperkukuhkan sektor ini, Kerajaan Negeri sentiasa memberikan keutamaan dan peningkatan peruntukan dari setahun ke setahun kepada Sektor Pendidikan Islam yang dipertanggungjawabkan kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK). Dalam tahun 2001 Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM 41.40 Juta kepada Yayasan Islam Kelantan. Ini melibatkan pertambahan sejumlah lebih RM10 Juta berbanding peruntukan RM30 Juta pada tahun 2000.

 

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Penumpuan Kerajaan Negeri dalam mengutamakan Pendidikan Is­lam hendaklah dilihat dari sudut pengukuhan potensi sebenar ke atas sumber-sumber kemajuan Negeri ini. Negeri Kelantan dengan nama jolokan Serambi Mekah adalah pusat pendidikan Islam serantau sejak lama dahulu. Institusi-institusi pendidikan pondok dan seterusnya sekolah-sekolah agama telah lama berakar umbi di Negeri ini. Sejak tahun 1991 hingga tahun 2000 terdapat lebih kurang 40,000 orang pelajar yang mendapat manfaat pendidikan di sekolah-sekolah agama Yayasan Islam Kelantan pada setiap tahun. Ini tidak termasuk bilangan pelajar-pelajar yang berada di pusat-pusat penga|ian pondok di Negeri ini. Para penuntut ini bukan hanya terdiri daripada anak-anak pribumi Kelantan, tetapi juga yang datang dari seluruh pelusuk tanah air termasuk dari Sabah, Sarawak. Thai­land dan Kemboja. Dengan fenomena ini Kerajaan melihat bahawa Kelantan sebenarnya berpotensi besar untuk menjadi Pusat Pembinaan Insan yang melahirkan para ulama dan pendakwah Islam ke seluruh rantau ini.

Walau bagaimanapun Kerajaan sedar bahawa Yayasan Islam Kelantan (YIK) tidak boleh selama-lamanya bergantung sepenuhnya kepada Kerajaan. Oleh hal yang demikian, Yayasan Islam Kelantan (YIK) perlu mengorak langkah bagi memulakan usaha ke arah berdikari. Pelan-pelan yang dirancangkan termasuk mendapatkan kawasan pembalakan, mengadakan usahasama dalam bentuk Pajakan Kecil Kawasan Ladang Kelapa Sawit dengan syarikat swasta dan Projek Usahasama Ladang Hutan adalah merupakan langkah permulaan ke arah berdikari. Hasil daripada pemberian kawasan pembalakan seluas 10,000 ekar semenjak tahun 1996, YIK telah berjaya memperolehi pendapatan sebanyak RM 4.5 Juta dalam tahun 1999. Adalah dijangkakan lebih kurang RM 3.4 Juta setahun akan diperolehi daripada konsesi pembalakan ini dalam tempoh 8 tahun akan datang, yang dijangka berjumlah RM 27 Juta.

Yang Berhormat Tuan Yang DiPertua,

Program-program pendidikan dan kerohanian secara langsung kepada rakyat turut dimainkan peranannya oleh Unit Dakwah dan Halaqat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Pusat Pembangunan Pondok Berhad dan Program Desa Taqwa oleh Pejabat-Pejabat Tanah dan Jajahan. Kerajaan akan terus berbelanja untuk meneruskan program-program ini di samping program-pro­gram Bina Insan yang lain seperti sambutan Bulan Sembahyang, Ihya' Ramadhan dan Sambutan Hari Hudud. Memanglah usaha-usaha Kerajaan dalam mengadakan program-program Bina Insan ini tidak mudah diukur dengan mana-mana alat pengukur fizikal, namun Kerajaan yakin ia akan memperolehi berkat di dunia dan pahala di akhirat. Malahan orang-orang barat yang mengepalai system sekular pun turut mengakui kepentingan aspek ini, iaitu "make the man before the goods” maksudnya “bentuk jiwa manusia dulu sebelum mengeluarkan produk".

Alhamdulillah Negeri ini sejak sedekad yang lalu telah dikumiakan oleh Allah dengan nikmat kedamaian, ketenangan, keamanan dan tersasar daripada bencana-bencana alam yang besar dan wabak-wabak penyakit yang merbahaya seperti corxsakie, J.E., mahupun penyakit kuku dan mulut yang melanda hampir seluruh negara baru-baru ini. Kita juga bersyukur kerana di Negeri kita tidak ada kes-kes jenayah berat seperti rompakan bersenjata, kewujudan kumpulan-kumpulan gangstar dan sebagainya seperti yang melanda bandar-bandar besar lain di seluruh negara.

Memandangkan kewujudkan pusat-pusat pengajian pondok terbukti memberikan kesan yang besar dalam proses celik huruf dan celik agama kepada masyarakat di Negeri ini, Kerajaan mengharapkan Pusat Pembangunan Berhad supaya mengusahakan kewujudan sekurang-kurangnya "Satu Pondok Satu Jajahan" di Negeri Kelantan ini.

PERTANIAN

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Sektor Pertanian merupakan Nadi kepada pembangunan Negeri Kelantan di mana sebahagian besar daripada penduduk di negeri ini bergantung kepada sektor ini. Justeru itu dalam mengukuhkan falsafah pembangunannya, Kerajaan Negeri meletakkan pergantungan yang tinggi kepada sektor ini dan berhasrat membangun dan memajukannya dengan mewujudkan sektor pertanian moden dan komersil sebagai teras pembangunan ekonomi Negeri. Dalam hal ini Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM 46.54 juta untuk membangun dan memajukan sektor pertanian. Dengan peruntukan yang besar ini jelas menunjukkan kesungguhan Kerajaan Negeri menjadikan Kelantan Sebagai Jelapang Makanan Negara selaras dengan keutamaan Dasar Pertanian Negara (DPN 3) dan sekaligus menjadikan Malaysia sebagai Pusat Makanan Halal  Antarabangsa.

 

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Dalam usaha untuk meningkatkan sumbangan pertanian kepada ekonomi negara dan Negeri, Jabatan Pertanian akan meneruskan Program Pembangunan Komoditi Pertanian Bersepadu dengan agensi-agensi pertanian Persekutuan seperi KADA, FAMA, PERKASA dan LKIM untuk memajukan sektor-sektor pertanian, perladangan, penternakan, perikanan dan pemasaran. Di antara kemajuan-kemajuan yang telah dicapai dalam sektor ini ialah satu Perjanjian Persefahaman pada 19/6/2000 antara Kerajaan Negeri dengan Kementerian Pertanian Malaysia telah ditandatangani dalam usaha menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan utama negara. Dalam melaksanakan usaha ini, program Taman Kekal Pengeluaran Makanan telah diwujudkan di lima tempat di Negeri ini.

Seterusnya di bidang perikanan Kerajaan Negeri bersama LKIM sedang membina kompleks Pelabuhan Perikanan Tok Ball, Pasir Putih. Pihak Kementerian Pertanian Malaysia telah memaklumkan kepada Kerajaan Negeri bahawa sejumlah RM 58 Juta telah dimasukkan ke dalam RMK 8 untuk pembinaan tersebut. Adalah dijangkakan dengan siapnya projek ini ia akan menjadi Pelabuhan Perikanan terbesar di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

 

Untuk melengkapkan pemasaran hasil-hasil pertanian, Kerajaan Negeri bercadang membina satu Kompleks Pasar Borong yang lengkap di Bandar Baru Tunjong yang bakal dibangunkan nanti. Dalam hal ini Kerajaan Negeri telah meluluskan satu kawasan tanah seluas 50 Ekar sebagai komponen utama dalam Bandar Baru tersebut. Dalam menyempurnakan pembinaan ini, Kerajaan Negeri telah meminta pihak FAMA untuk memajukan projek ini. Buat sementara ini Pasar Borong tersebut telah beroperasi dengan jayanya di Wakaf Che Yeh. Setakat ini ia telah berjaya mewujudkan rangkaian pengedaran barangan segar yang melibatkan pemborong dari Gerik, Perak dan juga Kuantan, Pahang.

INFRASTRUKTUR

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam tetap merupakan fokus pembangunan yang penting bagi membangun negeri ini terutama di kawasan luar bandar.

Dengan sumber kewangan yang terhad, kerajaan terpaksa menentukan agar sektor ini dapat memberi kesan yang positif kepada rakyat terutama sekali bagi membolehkan kemudahan ini dapat di nikmati oleh semua golongan. Di dalam tahun 2001 sejumlah RM 19.27 juta telah di peruntukkan di bawah sektor ini untuk meneruskan pembinaan jalan negeri serta memperelokkan jalan-jalan kampong, justeru itu akan memudahkan pengeluaran dan pemaasran hasil pertanian dapat dilaksanakan. Peruntukan sejumlah RM 3.4 juta di khaskan bagi pembinaan dan memperelokkan jalan-jalan kampong.

Di dalam tahun 2000 Kerajaan Negeri telah dapat menyiapkan Jambatan Sungai Tanjong Hilir Bachok dengan kos sebanyak RM 600,000.00. Projek pembesaran Jalan Bayam telah juga dapat di siapkan sepenuhnya dalam tahun 2000 dengan melibatkan kos sebanyak RM 300,000.00. Sebagai meneruskan agenda pembangunan infrastruktur, dalam tahun 2001 tumpuan utama akan di teruskan bagi merancang pembinaan jalan dan jambatan seperti berikut;

 

1.     Memperluaskan Jalan Simpang Tiga Kemudi / Kg. Balai Bachok, di mana proses pengambilan balik tanah telah pun di sempurnakan di dalam tahun ini.

2.   Projek Membina jambatan Sg. Kemasin di Perol / Peringat yang akan melibatkan

      kos sejumlah RM 2.7 juta.

 

KEADILAN SOSIAL

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Di Dalam Sektor Sosial Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM 15.61 juta dari peruntukan pembangunan. Peruntukan ini akan meliputi beberapa program yang akan dilaksanakan seperti Pembinaan Rumah Awam Kos Rendah serta pembangunan Kerajaan Tempatan. Pada tahun 2001 sejumlah RM 3.4 juta di peruntukkan di bawah program pembinaan Rumah Awam Kos Rendah. Pada dasarnya cadangan pembinaan Rumah Awam Kos Rendah akan di tumpukan kepada usaha untuk mengatasi masalah setinggan terutama di jajahan Kota Bharu, Gua Musang dan Jeli. Dengan kerjasama pejabat-pejabat Jajahan, beberapa tapak yang sesuai telah dikenalpasti untuk di jadikan projek RAKR. Di dalam tempoh Rancangan Malaysia ke 8 Kerajaan Negeri akan merancang untuk membina 23 projek RAKR mengandungi sebanyak 3.158 unit rumah teras bagi memberi peluang kepada golongan yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah yang sesuai dan selesa.

 

Di samping itu golongan miskin tidak di lupai. Bagi tujuan ini kerajaan memperuntukkan sejumlah RM1.0 juta untuk projek PPRT serta menyediakan peruntukan sebanyak RM 800,000.00 untuk program penempatan semula penduduk. Bantuan kepada keluarga miskin, mangsa malapetaka seperti kebakaran ribut dan sebagainya akan di teruskan pada tahun 2001 dengan peruntukan RM 4.59 juta.

 

Disamping itu sejumlah RM 1.2 juta diperuntukan untuk Program Pembangunan Desa Taqwa dan Program Bina Insan bagi meneruskan agenda pembangunan kerohanian selaras dengan dasar kerajaan untuk membangun masyarakat semada secara fizikal mahupun secara spritual.

Program-program keagamaan di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam seperti mengadakan kursus Dakwah, Kursus-kursus Persedian Perkahwinan, Pembangunan Islam serta Program Pembangunan Sukan di peringkat negeri dan jajahan akan terus diberi perhatian. Saya yakin dan percaya pelaksanaan program-program ini akan dapat sekurang-kurangnya mengurangkan masaalah gejala sosial dikalangan masyarakat khususnya remaja.

PEMBANGUNAN BELIA DAN WANITA

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Bella merupakan aset terpenting dalam mana-mana masyarakat kerana mereka adalah bakal pemimpin di hari muka. Oleh itu pembinaan syakhsiyyah para belia mesti diberikan perhatian serius oleh pemimpin semasa. Dalam hubungan ini Kerajaan Negeri melalui agensi-agensinya telah melaksanakan program pembangunan belia terutama melalui potfolio Penerangan, Dakwah, Bella dan Hal Ehwal Wanita. Wawasan Kerajaan adalah ingin melihat seluruh belia Mus­lim di Negeri ini mampu menjadi Imam Sembahyang, yang kemudiannya kelak akan menjadi Imam/Pemimpin dalam masyarakat.

Wanita diakui memainkan peranan yang sama pentingnya dengan kaum lelaki dalam membangunkan masyarakat. Justeru itu Kerajaan Negeri memberikan hak yang sama kepada kaum wanita dalam menduduki sektor-sektor pentadbiran awam dan pendidikan di sekolah-sekolah yang terletak di bawah Kerajaan Negeri. Ini menunjukkan Kerajaan sentiasa mengiktirafdan menghargai segala sumbangan kaum wanita kepada pembangunan Negeri.

PELANCONGAN

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Sektor Pelancongan tetap merupakan salah satu dari sektor utama yang dapat menyumbangkan kepada pengaliran masuk wang ke negara kita, sekali gus dapat menjana ekonomi negeri serta memberi peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Di dalam tahun 1998 negeri Kelantan telah menerima pengunjung sejumlah 2.63 juta or-ang meliputi 2.20 juta orang pelancong domestik dan 426,000 or­ang pelancong antarabangsa. Kehadiran pelancong ini telah menjana pendapatan berjumlah RM 767.22 juta kepada ekonomi negeri.

Walau bagaimana pun kesan dari kegawatan ekonomi maka di dalam tahun 1999 jumlah kehadiran pelancong ke negeri Kelantan telah merosot sedikit kepada 2.53 juta orang melibatkan 2.12 juta orang pelancong domestik dan 407,000 orang pelancong antarabangsa yang memberi pendapatan berjumalah RM 766.63 juta. Adalah di jangka dengan berbagai program yang dilaksanakan di dalam tahun 2000 serta dengan pemulihan ekonomi adalah di jangka kehadiran pelancong ke Negeri Kelantan pada tahun 2000 dan 2001 di jangka akan meningkat pada kadar 12 atau 13 %.

Di dalam hubungan ini bagi meningkatkan kehadiran pelancong ke negeri Kelantan, beberapa program tahunan seperti Karnival Kebudayaan, Pesta wau antarabangsa, Karnival Membeli Belah serta Program-program Keagamaan seperti Penghayatan Ramadahan akan terus di utamakan. Apa yang lebih menarik sekali ialah keutamaan negeri Kelantan untuk menarik pelancong ialah mengenai rakyat Kelantan itu sendiri, di mana rakyat negeri ini terkenal dengan keramahan, kesopanan, kemesraan penduduk yang mempunyai budaya hidup tersendiri dapat di jadikan sebagai produk untuk menarik pelancong ke negeri ini. Oleh itu kita harus berbangga dengan dri-ciri ini dan di harap tradisi ini akan dapat di kekalkan sampai bila-bila.

 

PENUTUP

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

Sebagai kesimpulannya , Belanjawan 2001 ini lebih memfokuskan ke arah Kecekapan Pengurusan sama ada di bidang pentadbiran mahupun pengurusan kewangan ke arah kecemerlangan berpandukan etika-etika berkonsep murni, sesuai dengan wawasan Kerajaan, Membangun Bersama Islam. Ini semua memerlukan kerjasama dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak untuk melihat Kerajaan dan Negeri ini bergerak dengan jayanya, Insya Al­lah.

 

Yang Berhormat Tuan Yang Di Pertua,

 

SAYA POHON MENCADANGKAN.

Sekian.

Wabillahi Taufik Walhidayah

Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.