Teori perpaduan gagal

MAHATHIR ROMBAK LAGI KABINET?

JELI, 23 Jan (Hrkh) - Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dikatakan berkemungkinan besar akan melakukan rombakan kabinet secara besar-besaran selepas ini, apabila formula untuk mengembalikan kekuatan Umno tidak berjaya.

Rombakan tersebut kemungkinan dibuat bukan sekadar membabitkan tokoh-tokoh daripada parti kompenan Barisan Nasional (BN), malah turut melibatkan parti lawan.

 Antara parti yang menjadi tarikan kepada Umno sekarang iaitu PAS, apabila parti itu pada dasarnya bersetuju untuk mengadakan pertemuan di peringkat tertinggi di antara dua pemimpin parti tersebut pada masa terdekat ini.

Malah, berdasarkan kepada laporan akhbar-akhbar arus perdana sekarang, mereka cuba mencipta gimik bagi memastikan perjumpaan di antara pemimpin utama PAS dan Umno menjadi kenyataan. Kejayaan itu dikatakan menjadi kunci utama kepada Dr Mahathir untuk terus mengukuhkan kedudukannya dan mengekalkan impian 'membuai mimpi' di mahligai Putrajaya.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau turut mendengar khabar kemungkinan akan berlaku lagi rombakan kabinet secara besar-besaran selepas ini.

"Ada dakwaan mengatakan rombakan tersebut adalah lebih besar berbanding apa yang dilakukan baru-baru ini," katanya pada ceramah di Kampung Ayer Lanas, di sini, malam semalam.

Minggu lepas, Dr Mahathir mengumumkan rombakan kecil kabinetnya dengan melantik muka-muka baru sebagai menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen. Antaranya termasuk bekas Ketua Pengarah Pusat Islam, Dato' Abdul Hamid Zainal Abidin dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri menggantikan Dato' Dr Abdul Hamid Othman.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz membuat telahan itu dengan berkata, pemimpin Umno difahamkan turut bersedia menyenaraikan PAS dalam senarai rombakan kabinet tersebut. Bagaimanapun katanya, pemimpin Umno harus ingat, PAS tidak akan melupakan sejarah lampau, di mana pernah ditendang setelah beberapa ketika berada dalam pakatan Barisan Nasional. Ketika itu, pemimpin PAS diberi jawatan tinggi dalam kabinet Umno.

Menurutnya, berdasarkan kepada himpitan yang berlaku dalam Umno sekarang, parti itu kemungkinan akan membuat tawaran menarik sekali lagi kepada pihak yang pernah menjadi lawannya sebelum ini.

Hadir sama pada majlis ceramah tersebut, Yang Dipertua PAS Jeli, YB Ustaz Abdullah Yaakob, Penyelia Parlimen Gua Musang, Haji Abdul Razak Abbas, Adun Kemahang, YB Mejar (B) Mohd Anizam Abdul Rahman dan Adun Pergau, YB Ustaz Razak @ Mamat Abdullah.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Mas, Hamid Abdul Aziz berkata, Dr Mahathir terpaksa melakukan sesuatu yang tidak pernah dibuat sebelum ini, sekiranya gimik penyatuan Melayu tidak menjadi kenyataan.

Katanya, pemimpin terbabit boleh melakukan apa sahaja termasuk merancang lagi rombakan kabinet secara besar-besaran, sekiranya apa yang dilakukan sebelum ini tidak berhasil.

"Banyak perkara yang tidak terfikir oleh orang lain dilakukan Dr Mahathir sebelum ini. Dan teori itu tidak dapat dinafikan akan berulang kembali apabila politiknya semakin terdesak," katanya.

Beliau juga melihat suasana yang begitu rimas menghantui Perdana Menteri sekarang apabila rakan-rakan di rantau ini, sudah kembali menjadi rakyat biasa dan tidak lagi berada di puncak kekuasaan.

Katanya, peristiwa yang dialami bekas Presiden Filipina, Joseph Estrada baru-baru ini, masih lagi menghantui Perdana Menteri, memandangkan detik-detik ke arah kejatuhannya juga sudah lama bermula.