Pemimpin Umno takut dengar tazkirah

KOTA BHARU,  Dis (Hrkh) - Pemimpin yang begitu takut dengan institusi masjid sehingga cuba menghalang tazkirah ringkas diadakan ketika solat Tarawih dianggap sebagai berfikiran sempit.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Tumbuh, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, beliau cukup hairan dengan telatah pemimpin yang begitu takut dengan tazkirah.

Katanya, tazkirah yang diadakan adalah untuk ingat mengingati sesama umat Islam sama ada berkaitan sosial, agama atau politik.

"Semua perkara tersebut adalah berkaitan dengan ajaran agama dan ia tidak boleh dipisahkan," katanya pada kuliah mingguan menggantikan Menteri Besar, di Dewan Zulkefli Muhamad di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad mendedahkan ceramah politik (tazkirah) diadakan di sebuah masjid di Subang ketika solat Tarawih.

Ekoran itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr Abdul Hamid Othman dilaporkan mahu tazkirah ringkas diadakan selepas solat Tarawih dengan alasan, kononnya ada pihak yang tidak suka.

Manakala, Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Khalil Yaakub pula dipetik sebagai berkata, perbuatan menyelit tazkirah berbau politik ketika solat Tarawih tidak sepatutnya berlaku.

Ustaz Ahmad Baihaki berkata, program tazkirah yang diselit ketika solat Tarawih adalah digalakkan bagi membolehkan umat Islam dapat menambah lagi ilmu agama.

Adun Guchil, Ustaz Zulkefli Yaakob menyifatkan pemimpin Umno terlalu takut kepada bayang-bayang sendiri apabila cuba menghalang takzirah agama yang semakin digemari umat Islam sekarang.

"Sepatutnya sebagai pemimpin beragama Islam mereka perlu memberi dorongan terhadap mana-mana pihak yang sanggup tampil untuk memberi tazkirah kepada orang ramai tentang agama.

"Tazkirah itu boleh menyentuh apa-apa sahaja kerana agama adalah berkaitan rapat dengan semua aspek kehidupan dan bukan terkongkong sudut ibadat semata-mata," katanya