|
HYPOCRISY OF THE
HIGHEST DEGREE, SIAPA?
MERUJUK kepada kenyataan Abe Him di
dalam perhimpunan anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) yang
dipengerusikan beliau pada 25 Jun 2001 lalu bahawa Kerajaan Negeri
Kelantan ini merupakan "a hypocrite of the highest degree"
kerana ia melakukan pindaan ke atas perlembagaan negerinya, suka kita
mengingatkan beliau supaya lebih merenung ke dalam diri sendiri dahulu
sebelum menuduh orang lain.
Sebelum kita melabelkan seseorang atau
satu-satu pihak itu sebagai "hypocrite", mari kita
terlebih dahulu memahami apakah maksud perkataan berkenaan.
Mengikut takrifan Kamus Webster, "hypocrite" adalah merujuk
kepada "one who pretends to be pious, virtuous, etc. without
really being so", manakala mengikut takrifan Kamus Oxford pula,
"hypocrite" adalah merujuk kepada "person who pretends
to have opinions which he does not have or to be what is not."
Berdasarkan kedua-dua takrifan ini,
siapa agaknya orang yang berpura-pura memiliki pendirian yang
sebenarnya tidak beliau miliki dan yang berpura-pura menonjolkan sifat
baik yang sebenarnya tidak beliau miliki itu, selain dari orang yang
kononnya menentang pindaan Perlembagaan Negeri bagi menghapuskan
campur tangan istana dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan yang
kononnya mahu membela kedudukan Ke bawah Duli Tuanku Ismail Petra ini.
Dalam hal ini, kita menjadi hairan
yang amat sangat bagaimanakah Abe Him mahu menentang pindaan
Perlembagaan Negeri ini sedangkan beliau sendiri selaku Ketua UMNO
Bahagian Pasir Mas, pernah satu ketika dulu menegaskan bahawa UMNO
bahagian itu meluluskan resolusi meminta Menteri Besar Kelantan segera
meminda Perlembagaan Negeri bagi menghadkan kuasa Sultan selain
mendesak Menteri Besar menyediakan Kertas Putih berhubung campur
tangan Istana dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri. Pendirian
beliau ini boleh disemak oleh sesiapa jua pun di dalam akhbar-akhbar
perdana.
(Rujukan Berita Harian, 22 Jun 1996) Kita juga ingin mempersoalkan bagaimanakah Abe Him mahu membela kedudukan Ke bawah Duli Tuanku Ismail Petra sedangkan beliau sendiri selaku Ahli Parlimen Pasir Mas pernah menegaskan bahawa mengikut Salasilah Kesultanan Kelantan, Tengku Iskandar Tengku Ahmad adalah Sultan Kelantan yang sebenar dan bukannya Kebawah Duli Tuanku Ismail Petra. Tegas beliau lagi, YAM Tengku Ahmadlah yang sepatutnya menaiki takhta pada tahun 1944 dan bukannya Tengku (Sultan) Ibrahim?. Inipun boleh disemak di dalam akhbar Utusan Malaysia bagi sesiapa yang masih meragui kebenarannya. (Rujukan Utusan Malaysia, 4 Ogos 1993)
Persoalannya, bagaimana beliau mahu
membela Al-Sultan kita yang ada sekarang yang telah ditolaknya?
Berasaskan pendirian beliau ini, tidak salah agaknya untuk disimpulkan
bahawa dalam kamus hidup Abe Him kita ini, sekurang-kurangnya mulai 4
Ogos 1993 telah dapat dikesan secara nyata bahawa (pada beliau) KDYMM
Al-Sultan Kelantan yang ada sekarang bukanlah lagi Sultan Kelantan
yang sah.
Kedua-dua hujah ini amat mencukupi untuk
membuktikan yang Abe Him sendirilah yang telah merosakkan dirinya.
Beliau bagaikan sesumpah yang boleh menukar warna kulitnya mengikut
perubahan suasana. Apa boleh buat. Dia secara semula
jadinya suka melompat dan kini terjerat hampir kedua-dua belah kaki di
lukah yang dipasangnya sendiri. Walau bagaimanapun, kami penuh yakin
kepada kebijaksanaan dan pandangan jauh Kebawah Duli Al-Sultan.
Tentunya Baginda tidak akan terpengaruh dengan perubahan rentak tari
Abe Him dari zapin ke tabla, tango dan cha cha, sebelum
berpusing 360 darjah ke goyang dangdut. Kini beliau
sibuk beralih ke ghazal pula dalam irama merayu "Pak Ngah balik"
Kesian!.
Sehubungan dengan ini, persoalan
Kerajaan Negeri Kelantan merupakan "hypocrite" tidak
timbul kerana pindaan Perlembagaan Negeri 2001 ini adalah selaras
dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan 1994 yang memang disokong oleh
Ahli-Ahli Parlimen PAS pada waktu itu. Sejarah ini sahih
dan boleh disemak oleh sesiapa juga. Silakan!
Lihatlah kepada laporan Akhbar yang membuat liputan untuk Sidang Dewan
Rakyat pada 10 Mei 1994 dan Sidang Dewan Negara pada 17 Mei 1994. Kita
sentiasa "consistant". Jangan-jangan Abe Him kot yang
sebenarnya "hypocrite". Beliau perlu sedar dan
UMNO Kelantan perlu sedar bahawa dengan menentang pindaan
Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan, bererti sudah tidak mentaati lagi
Presiden UMNO. Lupakah Abe Him kepada pindaan yang sama
yang telah dilakukan oleh Presiden UMNO
pada 10 Mei 1994?. Ini juga boleh disemak dari
laporan-laporan akhbar bertarikh 11 Mei 1994. Adakah UMNO Kelantan
mahu melanggar peringatan Presiden supaya taati Presiden.
Gesaan ini baru sahaja panas-panas dibuat oleh Dato' Seri Presiden
UMNO pada minggu yang lepas.
Saya sebenarnya cuma mahu mengajak diri
saya, Abe Him dan seluruh rakyat untuk lebih banyak berfikir dalam
memahami sebarang isu. Fakta harus tepat dan bukan diasaskan
kepada fakta, emosi atau sentimen yang bersifat "half
cooked" atau "half baked" atau 'masak separuh' atau 'masak
sebelah'. Kami mengemukakan hujah yang bersandarkan fakta
ini untuk menolak tuduhan ke atas Kerajaan Negeri dalam isu pindaan
ini. Apakah tidak mungkin, setelah dibuktikan, Abe Him
kita inilah yang sebenarnya wajar dianugerahkan dengan pingat
"Hypocrite of the highest order" dan bukannya
Tuan Guru Dato' Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Al Mursyidul Am PAS
merangkap Menteri Besar Kelantan.
Terpulanglah kepada semua rakyat untuk
menilainya.
Selain daripada itu, Abe Him juga tidak
boleh mendakwa dirinya merupakan jurucakap kepada rakyat Kelantan
kerana hanya lebih kurang 100 orang sahaja daripada 1.4 juta orang
jumlah penduduk Kelantan yang hadir di dalam perhimpunan anjurannya
itu. Ini juga boleh dibuktikan. Beliau juga
tidak boleh mendakwa dirinya merupakan jurucakap kepada UMNO kerana
kehadirannya di dalam UMNO sendiri sudah tidak diterima lagi.
Beliau sendiri telah dibantai teruk oleh Presiden partinya itu.
Buat Dato' Paduka Ibrahim Ali dan
orang-orang yang sewaktu dengannya, izinkan saya menyimpulkan
pemerhatian seperti berikut:
"Sebagaimana mudahnya untuk mencium
harum dari secangkir kopi yang panas, sebegitulah tidak sukarnya untuk
menghidu sebuah hanyir dari belakang seekor itik."
Katakan Iqra' dan kembalilah. Lidah bukan untuk meludah! Anak Jantan
1 Julai 2001
|
Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan