Kelantan Mundur: Pemimpin Umno terus
bersandiwara
KOTA BHARU, 9 Apr - Kenyataan 'Kelantan
tidak membangun di bawah PAS' yang sering kali meniti di bibir pemimpin
Umno, sebenarnya tidak lebih sebagai igauan ngeri pemimpin parti itu
terhadap keupayaan PAS mentadbir negeri ini.
Pemimpin Umno cuba menutup minda masyarakat terutamanya penduduk di
negeri-negeri lain dengan membuat dakwaan seperti itu. Bagaimanapun
hakikatnya, Kelantan masih terus dilimpahi pembangunan dan wajah bandarnya
semakin berubah sekarang.
Penyelia Parlimen Gua Musang, Haji Abdul Razak Abbas berkata, sebenarnya
pemimpin Umno tenggelam dan syok sendiri, sehingga sukar mengakui Kelantan
semakin pesat di bawah PAS.
Katanya, pemimpin parti itu usah banyak bersandiwara kerana mereka sendiri
boleh melihat perubahan bandar Kota Bharu, berbanding 12 tahun lalu iaitu
semasa di bawah Barisan Nasional (BN).
"Pertumbuhan bandar Kota Bharu begitu pesat sekarang, biarpun tanpa
BN. Pihak swasta mengambil kesempatan mengisi ruang yang ditinggalkan BN.
"Ini menggambarkan usaha untuk membangunkan Kelantan masih berjalan
lancar, tidak sebagaimana didakwa pemimpin BN termasuk Timbalan
Presidennya, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya di sini.
Baru-baru ini, Pak Lah dilaporkan berkata, dalam tempoh 12 tahun PAS
memegang tampuk pemerintahan, tidak ada perkara yang boleh dibanggakan.
Haji Abdul Razak berkata, pemimpin BN yang kurang berpotensi seperti Pak
Lah sahaja yang sering menutup minda rakyat untuk melihat keadaan sebenar
di Kelantan.
"Kita hairan bagaimana seorang pemimpin yang dikatakan mempunyai
keluarga yang alim boleh mengeluarkan kenyataan seperti itu dengan
membohongi rakyat tanpa rasa malu," katanya.
Menurutnya, pembinaan Hospital Pakar Perdana yang membabitkan kos RM50
juta oleh Kumpulan Perubatan (Johor) Sdn Bhd di Kota Bharu adalah di
antara contoh yang membuktikan Kelantan terus membangun. Hospital tersebut
merupakan hospital pakar milik swasta kedua selepas Kota Bharu Medical
Centre, yang beroperasi beberapa tahun lalu.
Hospital Pakar Perdana yang baru beroperasi baru-baru ini adalah projek
usaha sama dengan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dibangunkan
bersebelahan Hotel Perdana. Hospital berkenaan menyediakan 126 hatil dan
24 klinik berkaitan kepakaran di bidang termasuk bius, bedah, urologi,
bersalin, sakit puan, jantung pembedahan kanak-kanak, mata, telinga,
hidung, tekak dan tulang.
Adun Gual Ipoh, Mohd Kamil Harun berkata, pembangunan di Kelantan sekarang
kelihatan lebih menyeluruh berbanding 12 tahun lalu. Menurutnya, kawasan
hulu dan pedalaman semakin pesat dimajukan sekarang dengan pembinaan
rangkaian jalan raya yang lebih sempurna. Misalnya kata beliau, jalan raya
Gual Ipoh - Peralla, Jelawang - Gua Musang dan Lojing - Gua Musang sedang
pesat dibina sekarang.
"Biarpun projek itu dijalankan di bawah kerajaan Persekutuan, namun
hakikatnya duit tersebut adalah daripada pelbagai hasil yang dibayar
rakyat dan bukan duit milik Umno secara total," katanya.
Adun Pengkalan Kubur, Haji Wan Hussin Wan Ahmad berkata, Kelantan masih
mampu mengiringi negeri lain dalam pembangunan, biarpun ia sering kali
dinafikan pemimpin Umno. Katanya, hakikat itu boleh dilihat sendiri rakyat
Kelantan dan pelancong yang sering datang ke negeri ini.
Wakil rakyat Kelaboran, Haji Nordin Yaakub berkata, biarpun BN cuba
menyisihkan Kelantan dari arus pembangunan, namun pihak swasta memanfaat
peluang tersebut bagi memancu jentera ekonominya.
Kata beliau, sekiranya Kelantan tidak mempunyai potensi yang boleh memberi
keuntungan kepada pihak swasta, sudah tentu mereka tidak akan melabur di
negeri ini.
"Pemimpin Umno usah menjadi jurucakap bagi melaporkan keadaan semasa
di Kelantan, sekiranya masih jahil dalam suasana yang berlaku di sini,"
ujarnya.
|