ISA tambah semangat tingkat perjuangan

PASIR PUTEH, 15 Ogos  - Penahanan aktivis PAS termasuk anak Menteri Besar Kelantan, Nik Adli Nik Abdul Aziz, 34 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hendaklah dijadikan semangat untuk meneruskan perjuangan dan bukannya medan menitiskan air mata.

Anggota Dewan Undangan Negeri Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat berkata, biar pun kerajaan bertindak rakus terhadap aktivis PAS, namun perjuangan hendaklah diteruskan. Menurutnya, perjuangan untuk menegakkan keadilan hendaklah diteruskan biar pun dikenakan pelbagai tekanan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Sudah menjadi asam garam perjuangan untuk menegakkan Islam dan kebenaran akan berdepan dengan pelbagai halangan termasuk ISA iaitu akta tidak berperikemanusiaan," katanya di sini. Beliau berkata, kerajaan BN sekarang menggunakan polis sebagai senjata paling akhir untuk berdepan dengan kebangkitan rakyat. Katanya, detik perjuangan sekarang adalah paling mahal sekali ditempuhi oleh pejuang Islam dan keadilan sebelum memetik buah kejayaan tidak lama lagi.

Baru-baru ini, seramai 10 pemimpin PAS termasuk Nik Adli ditahan di bawah ISA di atas dakwaan kononnya terbabit dengan Kumpulan Mujahadin Malaysia (KMM). Pemimpin BN termasuk Presiden Umno menuduhkan KMM mahu menggulingkan kerajaan menggunakan kekerasan, sedangkan bukti ke arah itu masih gagal dinyatakan sehingga sekarang.

Sementara itu, Drs Zainuddin juga berkata, Majlis Tindakan Dun Limbongan baru-baru ini mengadakan Hari Keluarga di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu. Sepanjang perjalanan dari Pasir Puteh ke Tasik Kenyir pelbagai aktiviti diadakan di atas bas seperti pembacaan puisi, berkhutbah, kuliah agama dan slot untuk kanak-kanak. Program julungkali diadakan itu bertujuan untuk mendedahkan ahli PAS kepada pelbagai kegiatan riadah dan mengenali secara lebih dekat tempat-tempat menarik di negara ini. Pada pertandingan pembacaan puisi, Salmah Mat Husain muncul sebagai johan bersama Norafifah Abdullah, Abdul Ghani Deraman (kedua) dan Abdul Majid (ketiga). Seramai 22 peserta mengambil bahagian dalam pertandingan puisi tersebut.