DEWAN NEGERI KELANTAN

PERSIDANGAN KALI YANG PERTAMA 
BAGI TEMPOH PENGGAL YANG KETIGA 
DEWAN NEGERI KELANTAN YANG KESEPULUH

PADA 05 ZULHIJJAH 1422 BERSAMAAN 18HB FEBRUARI 2002


SOALAN-SOALAN YANG DIKEMUKAKAN UNTUK MENDAPAT JAWAPAN MULUT

Soalan-Soalan yang dikemukakan oleh:


1. YB Mejar(B) Encik Md Anizam bin Abd. Rahman - Kemahang
Minta YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar nyatakan apakah kerajaan bercadang untuk menyelaraskan kutipan hasil hutan samada premium atau royalti dengan negeri lain di Semenanjung Malaysia.


2. YB Encik Mamat bin Abdullah - Pergau

Minta YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar nyatakan apakah kerajaan akan membuat kajian terperinci tentang banjir yang berlaku di kawasan Jeli baru-baru ini. Banjir tersebut dikatakan berlaku melebihi kadar biasa atau mungkin mempunyai sebab-sebab yang tertentu.


3.YB Tuan Hj Hanafi bin Hj Daud - Chetok
Prestasi Sekolah Menengah Agama dalam pelajaran akademik adalah semakin cemerlang.  Ramai pelajar tidak berkesempatan untuk melanjutkan pelajaran mereka dalam aliran sains kerana pengambilan adalah terhad, sedangkan kita memerlukan lebih ramai profesional berjiwa Islam.  Minta YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar nyatakan:
a) Adakah Kerajaan telah membuat kajian tentang keperluan membangun Sekolah Menengah Agama (Sains) samada berbentuk swasta atau tajaan mana-mana pihak.
b) Jika kajian telah dibuat, apakah hasilnya.


4.YB Tuan Hj Wan Hussin bin Wan Ahmad - Pengkalan Kubor
Pada tahun 1993 - 1995 kedudukan bekalan air di Negeri Kelantan agak serius.  Kerajaan Negeri menanggung bebanan pengurusan air dan defisit meningkat setiap tahun menyebabkan Kerajaan Negeri  tidak mempunyai alternatif lain selain daripada melaksanakan pengswastaan Air Negeri Kelantan.  Minta YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar nyatakan:
a) Sejauhmanakan Kerajaan Negeri dapat mengatasi masalah kekurangan air dan defisit yang bertambah setiap tahun.
b) Apakah kemajuan yang telah dicapai oleh Air Kelantan dalam menyelesaikan masalah air di Kelantan.


5. YB En. Saipul Bahrin bin Mohamed - Selising
Minta YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar nyatakan apakah tindakan yang akan diambil terhadap media massa terutamanya RTM yang membuat provokasi jahat terhadap Kerajaan Negeri Kelantan terutamanya Kerajaan menghalang wanita cantik bekerja dan menghalang hiburan.


6. YB Tuan Hj. Husin bin Awang-Semerak
Minta YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar nyatakan apakah perkembangan dan kemajuan tentang pembinaan Pusat Pendaratan ikan dan pelabuhan perikanan di Tok Bali, Pasir Puteh.


7. YB Tuan Hj.Hanafi bin Hj. Daud-Chetok
Dokumentari bertajuk "Kelantan-Ceria Dalam Gundah" yang disiarkan melalui media elektronik dalam bulan Ramadhan 1422, telah menimbulkan  tandatanya masyarakat luar Kelantan tentang kesahihan maklumatnya. Minta YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar nyatakan:
a) Adakah benar bahawa 300,000 rakyat Kelantan telah berhijrah ke negeri lain, disebabkan Kelantaan tidak menyediakan pekuang pekerjaan.                                        
b) Apakah faktor-faktor yang menyebabkan rakyat Kelantan berada di luar Kelantan.


8. YB Tuan Hj. Wan Othman bin Wan Yusoff -Tendong
Selepas peristiwa 11 September 2001, adalah dijangkakan pelancong dari negara-negara Islam akan beralih ke negara-negara Islam lain. Minta YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar nyatakan apakah persiapan yang akan dilakukan oleh Kerajaan Negeri Kelantan dalam sektor pelancongan tahun 2000.


9. YB Drs Zainuddin bin Awang Hamat-Limbongan
Minta YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar nyatakan kenapa wujudnya perbezaan prestasi pencapaian pertumbuhan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Kelantan dan senaraikan PBT mengikut pencapaian tersebut.


10. YB Tuan Hj Mohd Shukri bin Abd. Rahman-Kadok
Minta YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar nyatakan:
a) Apakah sistem lembu pawah yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Haiwan masa ini masih relevan untuk menambah pendapatan petani.
b) Berapakah jumlah bilangan lembu pawah yang sudah berada di tangan petani.
c) Berapakah bilangan lembu pawah yang ditambah pada setiap tahun.


11. YB Tuan Hj Zakaria bin Yaacub-Banggol Judah
Minta YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar nyatakan sehingga sekarang berapakah Hospital Islam yang beroperasi di negeri ini.


12. YB Tuan Hj Mohd Shukri bin Abd. Rahman-Kadok
Kawasan pesisir pantai Kelantan terdedah terus kepada Laut China Selatan dan hakisan merupakan masalah utama. Minta YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar nyatakan:
a) Berapakah keluasan pantai yang terhakis setiap tahun dan kawasan mana yang paling teruk mengalami hakisan.
b) Berapa ramai penduduk yang terlibat dan di mana mereka itu dipindahkan.


13. YB Tuan Hj. Abd Ghafar bin Yusof-Dabong
Banjir yang berlaku pada tahun 2001 tidaklah begitu besar berbanding dengan tahun sebelumnya, kecuali beberapa Jajahan seperti Jajahan Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli.  Minta YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar nyatakan apakah benar banjir yang berlaku khasnya di kawasan Gua Musang adalah kesan daripada pembalakan yang tidak terkawal.


14. YB Tuan Hj Zakaria Yaacub-Banggol Judah
Minta YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar nyatakan:
a) Berapa banyakkah manfaat yang diperolehi oleh rakyat hasil dari pengenalan sistem ar Rahn yang diperkenalkan sejak sepuluh tahun yang lalu.
b) Berapakah jumlah pajak gadai ar Rahn yang sedang beroperasi di seluruh Negeri Kelantan sekarang.  Tidakkan Kerajaan melalui agensi yang sedia ada bercadang untuk memperluaskan sistem ini keseluruh bandar dalam negeri ini. Sehingga penutupan akaun bagi 31 Disember 2001, berapakah jumlah modal berbayar dan keuntungan yang dipungut dalam operasi berkenaan.





BAHAGIAN DEWAN NEGERI
PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN KELANTAN
KOTA DARUL NAIM
KOTA BHARU.