Ladang kelapa sawit Yik 28,000 ekar
GUA MUSANG, 19 Mac (Hrkh) -
Projek ladang kelapa sawit di tapak milik Yayasan Islam Kelantan (Yik)
di beberapa kawasan di sini menjadi realiti apabila kerja-kerja
penanaman anak-anak pokok dilakukan.
Pengarah Yik, Haji Abdul Aziz Yusof berkata, projek perladangan
kelapa sawit diusahakan oleh beberapa syarikat swasta melalui
perjanjian usahasama antara Yik dengan syarikat-syarikat terbabit.
Menurutnya, sehingga kini enam syarikat telah menandatangani
perjanjian usahasama dengan Yik bagi memajukan projek perladangan
kelapa sawit melibatkan kawasan keseluruhan seluas 28,000 ekar.
Katanya, antara syarikat-syarikat yang telah menandatangani
perjanjian bagi mengusahakan projek perladangan itu termasuk Fauzi
Lim Sdn Bhd di kawasan seluas 5,000 ekar di Relai, Gua Musang,
Tinjau Sepang Sdn Bhd di kawasan seluas 4,500 ekar di Stong, Kuala
Krai.
"Abolute Aslend Sdn Bhd di Nenggiri membabitkan kawasan
seluas 8,000 ekar dan Pantas Ketara Sdn Bhd di Chiku, Gua Musang
melibatkan kawasan seluas 7,000 ekar, Keruing Teknik Sdn Bhd di
Relai membabitkan kawasan seluas 1,500 ekar dan Golden Mill Sdn
Bhd di kawasan seluas 3,000 ekar di Limau Kasturi, Gua Musang.
"Langkah itu memberi peluang kepada pihak Yik yang sedang
berusaha ke arah berdikari bagi menampung pendapatannya
mengendalikan pembangunan sekolah-sekolah agama kelolaan yayasan
itu," katanya sempena lawatan Menteri Besar, Tuan Guru Dato'
Nik Abdul Aziz Nik Mat serta pemimpin kerajaan negeri ke kawasan
ladang kelapa sawit milik Yik di mukim Chiku dan Relai, di sini,
kelmarin.
Pada lawatan itu Menteri Besar melawat dua tapak ladang kelapa
sawit Yik yang diusahakan oleh syarikat Pantas Ketara Sdn Bhd di
mukim Chiku dan syarikat Fauzi Lim Sdn Bhd di Relai.
Haji Abdul Aziz berkata, melalui projek itu, Yik selaku pemilik
tanah, mewakilkan kepada beberapa syarikat bagi melaksanakan
projek pembangunan tanah pertanian, termasuk tanaman kelapa sawit
secara pajakan.
Katanya, selain pajakan tanah, Yik turut melaksanakan projek
tanaman secara usaha sama iaitu berdasarkan peratus pemilikan
ekuiti.
Beliau berkata antara syarikat yang menandatangani perjanjian
projek tanaman kelapa sawit secara pajakan ialah Syarikat
Perladangan Pantas Ketara Sdn Bhd melibatkan kawasan seluas
kira-kira 7,000 ekar di Mukim Chiku, di sini.
Tambahnya, perjanjian antara kedua-dua pihak dibuat pada 24 Mei
tahun lalu di Pejabat Menteri Besar, Kota Darulnaim. Dalam perjanjian itu Pantas Ketara Sdn Bhd diwakili Ketua
Eksekutifnya, Abdul Hamid Harun, manakala Yik diwakili Haji Abdul
Aziz sendiri selaku Pengarah Yik.Majlis menandatangani perjanjian itu disaksi Menteri Besar, Tuan
Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Pengerusi Yik.
"Menerusi perjanjian yang diadakan itu Yik bersetuju memberi
pajakan selama 66 tahun kepada syarikat berkenaan untuk
mengusahakan tanaman kelapa sawit.
"Kedua pihak bersetuju menetapkan kadar sewa minimum RM100
bagi setiap 0.4 hektar tanah, bagaimanapun kadar itu akan berubah
berdasarkan harga semasa kelapa sawit," katanya.
Pantas Ketara Sdn Bhd merupakan syarikat kelima yang
menandatangani perjanjian dengan Yik bagi melaksana projek
pembangunan tanah pertanian.
Tambah Haji Aziz, hasil yang diperolehi melalui projek itu akan
diguna untuk perbelanjaan Yik bagi pembangunan sekolah agama di
bawah kendaliannya yang meningkat setiap tahun.
"Projek ini dijangka dapat mengeluar hasil dalam tempoh empat
tahun lagi," katanya.
|