Bandar baru 'Green Valley' di Lojing

GUA MUSANG, 6 Ogos  - Sebuah bandar baru dikenali sebagai Green Valley akan diwujudkan di Lojing iaitu kira-kira 124 kilometer dari sini apabila lebuh raya kedua Timur Barat menghubungkan Gua Musang-Lojing-Simpang Pulai ke Kuala Berang siap sepenuhnya tahun 2003. Bandar itu lebih berasaskan pertanian dan pelancongan tanah tinggi kerana mempunyai suhu persekitaran yang sederhana, lebih sejuk berbanding Cameron Highlands.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Haji Abdul Halim Abdul Rahman berkata, kompenan yang dicadangkan itu akan menjadi projek pemandu ke arah melahirkan sebuah bandar baru di Lojing pada masa akan datang.  "Kerajaan negeri sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Pusat untuk mewujudkan jajahan kecil di Lojing, namun disebabkan kegawatan sebelum ini, kelulusannya belum lagi dipertimbangkan," katanya.  Menurutnya, kawasan itu akan menjadi pusat pentadbiran baru, bakal disiapkan dengan pelbagai kemudahan infrastruktur.

Beliau berkata, kewujudan bandar baru akan menjadi kenyataan apabila jalan raya baru menghubungkan Simpang Pulau di Perak ke Kuala Berang di Terengganu siap sepenuhnya. "Beberapa kompenan terutamanya industri hiliran berasaskan makanan akan dibangunkan di Lojing," katanya selepas pelancaran projek Pembangunan Usahawan Belia Tani di Lojing baru-baru ini. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Masyarakat dan Industri Desa, Haji Omar Mohamad, Timbalan Pengerusinya, Haji Buni Amin Hamzah, wakil-wakil rakyat; Pengarah Perancangan Jabatan Pertanian Malaysia, Dato' Khamsiah Muhamad, Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Othman Ngah; Pengarah Fama Perak, Haji Hamzah Othman dan Pengurus Kanan Bank Pertanian Perak, Putih Aminah Mohd Tajul Arof.

Lebuh raya kedua tersebut sepanjang 292.10 kilometer membabitkan kos sebanyak RM1.54 bilion sudah dimulakan sejak Mei 1997 dan dijangka siap sepenuhnya awal 2003. Pembinaan jalan itu membabitkan lapan pakej yang menyeberangi kawasan pergunungan dan bukit bukau di Banjaran Titiwangsa.

Timbalan Menteri Besar juga berkata, kawasan tanah tinggi berhawa sederhana tersebut sesuai dijadikan destinasi pelancongan komersial di Kelantan. Katanya, pada akhir tahun ini seminar berkaitan pelancongan akan diadakan di Kota Bharu untuk melihat secara dekat potensi kawasan rekreasi sedia ada di negeri ini.

"Biarpun kawasan pelancongan membabitkan tanah rezab kerajaan, namun penggantian kawasan rezab baru peru dibuat untuk mengelakkan tanah rezab di Kelantan tidak berkurangan," katanya.
Haji Abdul Halim juga melihat perkembangan pembangunan negara di zaman Tun Abdul Razak lebih menjadi model kepada kerajaan Kelantan kerana ia mengambil kira kepentingan orang Melayu.
Katanya, sekiranya pembangunan pesat dijalankan dengan membabitkan kos yang tinggi sudah tentu orang Melayu tidak mampu untuk memilikinya.

"Orang Melayu tentunya tidak mampu membeli atau menyewa bangunan dengan kadar yang tinggi dan sudah tentu pembangunan pesat itu tidak memberi banyak manfaat kepada mereka. "Kita tidak mahu menjadi seperti orang Melayu di Pulau Pinang yang semakin terpinggir kerana pembangunan pesat," katanya.

Sementara itu, Haji Omar Mohamad pula berharap agar hasil pertanian di Lojing akan menebusi pasaran ke seluruh negara tidak lama lagi seperti dinikmati usahawan tani di Cameron Highlands sekarang.  Katanya, Lojing berpotensi menjadi kawasan pertanian komersial memandangkan keadaan persekitaran setanding dengan Cameron Highlands.

Sehingga kini terdapat 78 pengusaha bukan Melayu yang menanam sayur-sayuran di kawasan seluas 137 hektar di sekitar Lojing dengan menghasilkan pendapatan sehingga RM12.6 juta setahun.
Lojing boleh dihubungi dari Blue Valley hanya tujuh kilometer (jalan tanah) dan 12 kilometer dari Kampung Raja di Cameron Highlands.