
Remaja
Cari Hiburan Alternatif - Akil Hayy
KOTA BHARU, 11 Mac (Hrkh) - Golongan remaja di negara ini disaran mencari
hiburan alternatif yang bersandarkan Islam dalam usaha menjaga nilai murni
dan kesucian agama.
Bekas penyanyi kumpulan rock D'Riyadh, Ustaz Akil Hayy Rawa berkata,
pemilihan bentuk hiburan boleh mempengaruhi sikap remaja bagi membina
kehidupan yang lebih cemerlang pada masa depan. Katanya, Islam tidak
menghalang penganutnya untuk berhibur dengan mengambil kira batas-batas
agama dan moral.
"Malangnya sekarang, remaja kita sudah terikut-ikut dengan budaya
Bollywood yang tidak mencerminkan identiti moral. "Telah banyak
terbukti pengaruh negatif mempengaruhi remaja negara ini kesan pengaruh
filem-filem Bollywood. "Dengan pakaiannya yang menampakkan aurat,
pergaulan bebas dan macam-macam lagi telah dipamerkan oleh pelakon-pelakon
dalam filem Hindi," katanya pada program Gerak Gempur Remaja anjuran
Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) di sini, baru-baru ini.
Program itu berjaya mencapai sasarannya, apabila 80 peratus remaja
menghadiri majlis berkenaan yang di adakan di Dataran MPKB. Ustaz Akil
yang kini menjadi pendakwah bebas berkata, pandangan seorang mufti
terhadap kesan filem Bollywood hendaklah dipandang secara positif.
Sementara itu, ketika memberitahu media, beliau berkata, rakaman album
nasyidnya akan diterbitkan dalam tempoh yang terdekat ini. Menurutnya,
segala perancangan untuk menyelenggarakan penerbitan album nasyid
berkenaan dalam perbincangan. "Bagaimanapun sekarang saya lebih
menekankan ceramah motivasi kepada remaja termasuk video klip kerana
kesuntukkan masa. "Namun Insya Allah, jika diizinkan album nasyid
saya akan diterbitkan juga nanti memandangkan sambutan golongan remaja
khususnya begitu membanggakan," ujarnya.
Sementara itu, Ketua Anggota Majlis MPKB, Haji Zainuddin Abdullah berkata,
Ustaz Akhil mendapat jolokan 'Cate Stevan Malaysia' kerana kejayaannya
berdakwah sambil berhibur. Katanya, tidak menjadi kesalahan untuk
berdakwah sambil berhibur, selagi ia tidak bercanggah dengan nilai Islam.
Oleh itu, beliau berharap lebih ramai lagi golongan artis tanah air
berdakwah sambil berhibur seperti Ustaz Akhil dan beberapa temannya
seperti Sheqal dan Ito bekas penyanyi Blues Gang. Di akhir program Ustaz
Akil diserbu peminat yang berebut untuk bergambar, mendapatkan tanda
tangan dan bersalam. Turut memeriahkan program berkenaan, kumpulan nasyid
Soutul Amal dari Kuala Terengganu dengan persembahan tiga lagu nasyid.
Harakah Kelantan
Diterbitkan oleh:Lajnah
Penerangan & Dakwah PAS Kelantan |