Wan Abdul Aziz Wan Mahmud 

Pelajar Meninggal Di Mesir Hasrat Mati Syahid 

KOTA BHARU, 28 Feb (Hrkh) - Pelajar Malaysia yang meninggal dunia di Mesir akibat terhidu gas pemanas air, Allahyarham Noraziah Omar, 24, merupakan pelajar cemerlang dalam akademik serta aktif dalam persatuan. 

Beliau juga pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pejuang mendaulatkan Islam. Di Mesir beliau merupakan Bendahari Badan Hal Ehwal Wanita Islam (Hewi) Keluarga Pelajar-Pelajar Kelantan Mesir (KPKM). Selain itu, Allahyarham turut mempunyai semangat yang cekal dan bercita-cita untuk mati syahid. Hakikat itu dicerita bapa beliau, Omar Awang, 58, kepada Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menziarahi rumahnya di Kampung Telong, Kandis, di sini, semalam. 

Menteri Besar yang turut bersedih dengan peristiwa itu melahir rasa kagum dengan sifat Noraziah dan berharap kegigihannya menjadi contoh rakan-rakannya serta pelajar Yayasan Islam Kelantan (Yik). Apa yang membanggakan Allahyarham sentiasa mengingatkan ibu bapanya supaya mengambil berat pendidikan agama terhadap adik-adiknya. 

"Sebagai ketua kerajaan saya merasa cukup kagum dengan pelajar ini, semoga pelajar yang lain mengikut contohnya. "Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan takziah kepada keluarga beliau, kerana hidup mati bukan kerja kita, oleh itu kita yang masih hidup jangan rasa sedap, kematian tidak tentu di mana-mana, tidak tentu bila-bila," katanya. 

Semalam, Tuan Guru Nik Abdul Aziz serta anggota-anggota exco, Ustaz Hassan Muhammad, Haji Omar Mohamed dan Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin), Haji Zawawi Muhammad melawat keluarga Allahyarham di Kampung Telong. 

Ustaz Hassan turut bersimpati kepada keluarga Omar dan kagum dengan watak kepimpinan pada Allahyarham. Katanya, sifat yang dimiliki Allahyarham wajar menjadi ikutan kepada pelajar Yik. "Saya kagum kepada pandangan serta sifat yang dimilikinya, beliau mempunyai watak kepimpinan muslimat untuk masa depan, saya berharap syakhsiah pada dirinya menjadi contoh kepada pelajar lain," katanya. 

Allahyarham Noraziah disahkan meninggal dunia Ahad lepas selepas dikejarkan ke Hospital Damardesh, Kaherah, Mesir kira-kira jam 10 malam waktu Malaysia. Jenazah pelajar tahun akhir, Jurusan Syariah dan Undang-Undang itu dikebumikan di salah sebuah tanah perkuburan di Kaherah kira-kira jam 9 malam selepas mendapat persetujuan keluarganya. Sekolah terakhir beliau sebelum menyambung pengajian ke Mesir ialah Sekolah Menengah Ugama (Arab) Ar-Rahmah Kenali, Kubang Kerian, di sini. 

Sementara itu, ayah Noraziah berkata, anaknya itu menaruh harapan tinggi untuk melanjut pelajaran di Mesir dan pernah memintanya mengorbankan harta yang dimiliki demi cita-citanya. Menurutnya, Allahyarham selalu mengingatkan beliau bahawa tidak rugi mengorbankan harta dunia demi mencari ilmu agama kerana Allah akan membalas lebih baik lagi. 

Noraziah juga katanya, merupakan pelajar yang rajin serta banyak bermunajat kepada Allah dan sentiasa bangun di tengah malam untuk berqiyamullail. "Pak cik terharu dengan dengan kegigihannya, sebab itu pak cik rela berkorban dan mengizinkannnya pergi jauh kerana ilmu agama akan menjadi bekalan kita selama-lamanya bukan setakat di dunia saja. "Dalam kad hari raya terakhir yang dikirimkan, dia ada beritahu untuk solat Terawih bersama Qari terkenal Mesir, Syeikh Muhammad Jibril di Masjid Amru bin Al-As yang dipenuhi ribuan umat Islam," katanya. 

Dalam kad itu beliau menulis: "Teramat perlu untuk mewakafkan diri dalam kerja-kerja Islam sebelum Yah (panggilan Noraziah) menutup mata, kerana syurga benar-benar menginginkan hamba-hamba yang ingin mati syahid di jalannya. 

"Sebelum dia berangkat ke Mesir pada 1997 pak cik bertanya kepada dia kenapa hendak sangat belajar jauh-jauh, sebaliknya dia menjawab kalau mati di sana lagi baik sebab mati di jalan Allah, itulah antara kata-kata yang pak cik ingat sampai hari ini," jelasnya. 

Beliau berkata, anaknya merupakan pelajar cemerlang kerana dapat melepasi kesemua peperiksaan sepanjang pengajiannya sejak 1997. Tambah beliau, anaknya itu berkelakuan aneh semasa pulang bercuti dua tahun lalu, di mana dia selalu berdamping dengan ibunya. Menurut Omar, biasanya anaknya itu jarang berkelakuan seperti itu, bahkan sehari sebelum berangkat semula ke Mesir dia asyik menangis kerana akan berpisah dengan keluarga.



Harakah Kelantan

 

Kembali Ke Laman Utama


Diterbitkan oleh:Lajnah Penerangan & Dakwah PAS Kelantan