
Perpaduan
Melayu: Pemikiran sempit - MB
TANAH MERAH, 11 Mac (Hrkh) - Pemimpin politik yang sibuk bercakap mengenai
perpaduan Melayu dianggap sebagai berfikiran sempit dan pendek. Menteri
Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pandangan seperti
itu tidak sampai ke mana-mana, kerana ia berada di ruang lingkup yang
sempit.
"Usaha mencanangkan perpaduan Melayu tidak sampai ke Padang Mahsyar
di akhirat kelak. "Ketika berada di Padang Mahsyar kelak, manusia
tidak lagi diambil kira berdasarkan bangsa Melayu atau bangsa apa
sekalipun," katanya pada sambutan Hari Raya Korban di Pasti Al Falah
di sini, Khamis lepas. Hadir sama di majlis itu, Senator Siti Zailah Yusof
dan Penolong Setiausaha PAS Tanah Merah, Mohd Shukri Yamin.
Sebelum ini, Umno cuba mencanangkan soal perpaduan Melayu sehingga mahu
menganjurkan perjumpaan dengan PAS bagi membincangkan isu tersebut. Ramai
pemerhati politik berpendapat, isu tersebut bermula selepas Barisan
Nasional tewas pada pilihan raya kecil di Lunas pada akhir tahun lalu.
Kekalahan itu memberi pukulan yang hebat selepas Umno kehilangan sokongan
majoriti orang Melayu pada pilhan raya uumum ke-10, pada November
1999.
Isu perpaduan Melayu turut dicetus oleh Gabungan Pelajar Melayu
Semenanjung, sebagai alat kepada Umno untuk berdepan dengan tuntutan Suqiu.
Kemuncak kepada isu perpaduan Melayu berlangsung apabila Barisan Bertindak
Melayu yang diketuai Dato' Paduka Ibrahim Ali menganjurkan perhimpunan 'Tidak
Melayu Hilang di Dunia' yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Menteri Besar juga berkata, sifir utama perjuangan Umno begitu berbeza
dengan PAS, di mana parti itu lebih mementingkan keuntungan peribadi
berbanding faedah orang ramai. "Sebab itu perjuangan parti itu tidak
mampu bertahan lama, berlainan dengan PAS yang tidak meletakkan
kepentingan kebendaan sebagai asas perjuangan," katanya.
Semalam, Presiden Umno, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata,
pertemuan di antara Umno dan PAS adalah untuk membincangkan perkara
membabitkan kepentingan orang Melayu seperti hak dan keistimewaan orang
Melayu. Menurutnya, pertemuan itu perlu memandangkan ada usaha kumpulan
tertentu mencabar dan mempersoalkan hak-hak berkenaan.
Sementara itu, Siti Zailah berkata, tidak ada sejarah dalam perjuangan
tanpa adanya pengorbanan. Menurutnya, perjuangan Islam adalah kerja secara
berjemaah dan bukan gerak kerja yang dilakukan bersendirian. "Ini
kerana kerja perjuangan tidak pernah selesai sampai bila-bila,"
tambahnya.
Harakah Kelantan
Diterbitkan oleh:Lajnah
Penerangan & Dakwah PAS Kelantan |