
3
Syarat Perkara Asas-Mursyidul AM
PENGKALAN CHEPA, 12 Mac (Hrkh) - Umno perlu menerima tiga syarat
ditetapkan PAS bagi membolehkan pertemuan di antara pemimpin tertinggi dua
parti berkenaan dapat dilangsungkan, kata Mursyidul Am, Tuan Guru Dato'
Nik Abdul Aziz Nik Mat.
"Syarat yang dikenakan oleh PAS mesti diterima, selepas itu hendak
bincang apa, bincanglah.
"Yakinlah nasihat ini boleh membawa kebaikan semua rakyat, kerana
semua orang tahu belaka, royalti minyak perlu dipulangkan kepada rakyat
Terengganu kerana ia adalah perkara wajib.
"Begitu juga cadangan Umno mahu membuang perkataan Islam pada nama
pertubuhan adalah perkara yang tidak masuk akal dalam pemikiran umat
Islam," katanya kepada pemberita selepas menunaikan Jumaat di Masjid
Tanjung Baru di sini, jumaat lalu.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, tiba-tiba kita hendak
buang perkataan Islam, yakni serupa dengan perbuatan orang tidak
Islam.Menurutnya, hak Perdana Menteri hendak kata apa tidak menjadi
masalah.
Semalam, Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Umno
meletakkan empat agenda mengenai kepentingan orang Melayu yang termaktub
dalam perlembagaan untuk dibincangkan pada pertemuan Umno - PAS. Empat
syarat itu, ialah mengenai hak keistimewaan orang Melayu, bahasa Melayu,
agama Islam sebagai agama rasmi dan status raja-raja Melayu.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, PAS telah menetapkan tiga syarat
terlebih awal yang mesti disempurnakan dahulu. Bagaimanapun beliau turut
melahirkan rasa sedih di atas perkembangan kebelakangan ini, di mana polis
menahan pemimpin pembangkang yang dianggap tidak sesuai dengan zaman
hendak bertenang dan mahu berunding di antara PAS - Umno.
"Pula tu....musim sambutan Hari Raya Korban pun ditangkap orang, kes
ini adalah perkara yang luar biasa," tambahnya.
Menjelang sambutan Hari Raya Korban baru-baru ini, polis menahan reman
Ketua Pergerakan Pemuda KeADILan Pusat, Mohd Ezzam Mohd Noor selama tiga
hari berhubung kenyataan akhbarnya, kononnya dia mahu mengguling kerajaan
melalui demontrasi secara besar-besaran.
Bagaimanapun Ezzam menafikan laporan akhbar berkenaan.
Menteri Besar berkata, setiap perundingan perlu ada syarat, di mana semua
perundingan di muka dunia ini ada syaratnya.
Ketika ditanyai pemberita mengenai syarat pakatan PAS dengan parti bukan
Islam, katanya, DAP hendak masuk dengan pakatan bersama Barisan Alternatif
(BA) berdasarkan syarat sebagaimana terdapat dalam manifesto.
Menurutnya, syarat dalam manifesto itu, sama ada DAP, PRM dan KeADILan
mesti terima Islam.
"Manifesto BA kita boleh tengok, memberi ruang kepada gerakan Islam
dengan baik, itu syarat kita," katanya.
Beliau juga berkata, sekiranya Umno tidak menunaikan tiga syarat
ditetapkan PAS, pertemuan di antara kedua parti tidak mungkin berlaku.
"Masalah Umno tidak boleh terima syarat ditetapkan PAS sebab apa...
tidak kah Umno sekarang memegang kerajaan.
"Apa yang tidak boleh, apa yang menyusahkan Umno, kalau zaman Tuanku
Abdul Rahman dia sanggup meletak jawatan ekoran peristiwa 13 Mei 1969.
"Dia letak jawatan ekoran peristiwa itu, tak kan anak-anak murid
Tuanku sekarang termasuk yang bergelar Perdana Menteri, bila benda dia
buat salah... tak kan dia tidak boleh mengaku salah," katanya.
Menurutnya, sepatutnya Perdana Menteri mengaku bersalah kerana menafikan
royalti petroleum hak rakyat Terengganu. Begitu juga katanya, usaha Umno
hendak menghapuskan perkataan Islam adalah jelas perkara yang salah di
dunia dan akhirat.
"Begitu juga halangan menerbitkan Harakah dua kali seminggu adalah
salah dari segi demokrasi. Ini kerana Harakah adalah perlu sebagai satu
saluran untuk memaparkan segala penyelewengan yang dilakukan kerajaan.
"Kalau laporan Harakah salah, kerajaan boleh dakwa, lagipun media
yang dipunyai kerajaan begitu banyak dan boleh menjawab balik setiap
laporan Harakah," katanya.
Sementara itu, Menteri Besar juga mengalu-alukan pemberian insentif RM500
juta kepada pekebun kecil sebagaimana diumumkan kerajaan semalam. Katanya,
sudah menjadi kewajiban kerajaan untuk membantu rakyat yang susah,
"Bantu RM500 juta baguslah, kalau kerajaan tidak buat maka berdosa
pula," katanya.
Harakah Kelantan
Diterbitkan oleh:Lajnah
Penerangan & Dakwah PAS Kelantan |