MB Kelantan sedih tragedi makan malam PTN

KOTA BHARU 16 Oktober  - Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato' Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan apa yang berlaku pada majlis makan malam ulang tahun jubli emas yang ke-50 Pegawai-pegawai Tadbir Negeri PTN di sini sepatutnya tidak berlaku.

Ini kerana, di bulan Rejab umat Islam sepatutnya membuat amal ibadat bukan sebaliknya. (Majlis Ulangtahun PTN telah diselitkan acara hiburan dan nyayian)

"Di bulan Rejab adalah bulan bagi umat Islam melakukan amal ibadat yang mana pada siang harinya umat Islam disunatkan berpuasa pada malamnya pula umat Islam digalakkan beramal serta memohon keampunan kapada Allah.

"Tapi apa yang diperintah oleh agama itu tidak berlaku tapi sebaliknya perkara lain yang berlaku ini amatlah mengecewakan saya sebagai ketua Kerajaan," katanya.

Beliau tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut kerana perkara itu berlaku ketika beliau tidak berada dalam negeri.

"Saya mahu menyiasat dulu perkara ini kenapakah ianya boleh berlaku," katanya ketika ditemui di Hospital Kota Bharu (HKB) selepas melawat ayah kepada YB Ahli Parlimen Kubang Kerian di wad ICU, sebaik sahaja beliau tiba di Kota Bharu dari Kuala Lumpur.

Bagaimana pun tinjauan Harakah mendapati, orang ramai menyifatkan apa yang berlaku itu juga adalah sebagai satu amaran dari rakyat di negeri Kelantan yang tidak sanggup melihat pegawai yang sepatutnya melaksanakan dasar kerajaan negeri melanggar sendiri dasar tersebut.

Yusuf Daud, 30, mempertikaikan tindakan pihak tertentu yang tidak bertindak kepada majlis yang berlawanan dengan peraturan negeri tersebut tetapi bertindak ke atas pihak yang membantahnya.

Ketua Bahagian Pembangunan Islam Majlis Perbandaran Kota Bharu MPKB, Haji Azhar Abdul Satar menceritakan bahawa beliau pergi ke majlis makan malam anjuran PTN itu dengan niat hendak hendak menasihati penganjur majlis tersebut bahawa perkara ini menyalahi undang-undang hiburan negeri Kelantan pindaan 1998.

"Tapi saya ditanya oleh pihak polis dengan kasar "buat apa awak datang sini?" Ustaz Azhar menceritakan dengan cara baik bahawa beliau adalah seorang pegawai penguatkuasa MPKB dan datang ke majlis itu kerana bertugas.

Kata Azhar lagi, kedatangan beliau ke situ bertujuan untuk menguatkuasakan undang-undang enakmen hiburan 1998 dan beliau bertanggungjawab untuk hadir kerana ianya ada sangkut paut dengan hiburan.

Dan Azhar juga menceritakan bagaimana beliau menerima panggilan telefon yang melarang beliau menguatkuasakan undang-undang tersebut dimajlis itu.

Tetapi beliau menjawab, "Jikalau saya tidak pergi mungkin timbalan saya yang akan pergi. Tapi kata suara ditelefon itu jikalau pergi juga aku akan sepak (terajang)," ceritanya.